Surat Pilihan: Mengapa Sifu Suka Menggunakan Kata Pinjaman Inggeris?
Assalamualaikum, Puan Sifu.
Sebelum saya mengajukan beberapa soalan yang berlari-lari di dalam kotak fikiran saya, terlebih dahulu saya ingin perkenalkan diri ini. Nama saya Amir, dan saya masih lagi menuntut di sebuah IPT sekitar Malaysia.
Saya telah lama membaca dan mengikuti blog Sifu sejak tahun 2006 lagi. Ya, walaupun Sifu telah memulakan blog ini pada sekitar awal tahun 2005, dengan sifat ingin tahu yang menebal saya telah khatam membaca arkib-arkib tersebut.
Usaha Sifu untuk memandaikan bangsa telah memberi sedikit sebanyak pengetahuan saya dalam Bahasa Melayu. Tambahan pula, ia telah mengembalikan semula semangat saya yang suka menulis dalam Bahasa Melayu. Untuk pengetahuan Sifu, minat saya untuk menulis (dalam Bahasa Melayu) bermula sejak peringkat sekolah menengah lagi. Tetapi setelah tamat peperiksaaan SPM, saya telah didorong oleh darah muda saya (yang ketika itu hanya tahu hendak berseronok dan bersuka-ria sahaja) dan berhenti melakukan perkara yang saya suka suatu ketika dahulu - menulis.
Walau bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini saya dapati terdapat banyak perkataan-perkataan yang digunakan oleh Sifu tetapi masih dianggap baru oleh saya (atau mungkin pada pandangan orang lain juga?). Antara perkataan-perkataan yang dianggap baru bagi saya adalah seperti perkataan "lokal", "inosen", "tivi", "konsultansi", "pakejing" dan lain-lain lagi.
Persoalan yang sering berdenyut-denyut di fikiran saya ini ialah mengapa Sifu tidak menggunakan perkataan-perkataan tersebut dari perkataan asal? Maksud saya, perkataan "lokal" boleh digantikan dengan perkataan "tempatan", tetapi mengapa Sifu tidak menggunakannya (perkataan tempatan)? Begitu juga perkataan "pakejing" yang boleh digantikan dengan perkataan "pembungkusan".
Saya percaya dan yakin bahawa Sifu sangat pakar dalam bidang ini. Tetapi saya tidak nampak dan masih lagi berpinau apakah sebenarnya tujuan menggantikan perkataan-perkataan tersebut secara terus daripada Bahasa Inggeris. Sedangkan pada pendapat saya, masih lagi wujud perkataan-perkataan Bahasa Melayu yang lain.
Seperkara lagi, saya sering dijadikan rujukan oleh rakan sebaya (sebab mereka menganggap saya mahir dalam Bahasa Melayu). Tetapi sehingga kini, saya tidak boleh menjawab soalan rakan saya, "Kenapa sekarang ini orang suka menggunakan perkataan transaksi, tetapi bukan perkataan urusniaga?"
Walaupun saya bukanlah orang yang benar-benar pakar dalam Bahasa Melayu (kerana saya sekarang berada dalam jurusan kejuruteraan, bukan kesusasteraan!), jadi saya amat berbesar hati jika Sifu dapat menjawab serba sedikit persoalan-persoalan saya tersebut (atas nama memandaikan bangsa).
Sekian, terima kasih. Semoga Sifu sekeluarga berada dalam keadaan sihat selalu. Amin.
AMIR
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Sifu,
Ada jawapan kepada persoalan ini? Saya pun ingin tahu.
Puan Sifu,
Saya pun ternanti-nanti apakah jawapan puan…
erm.. barangkali puan Sifu sibuk kebelakangan ni..
tapi macam mana tu Sifu.. saya pon juga nak tahu.. huhu..
saya pun mahu tahu. Sifu dianggap pakar rujuk dalam bidang ini.
Adakah ini ada kaitan dengan bahasa ‘consumer’?
Salam.
Puan Sifu kita ini seorang yg praktikal lagi pragmatis.
Bila umum sudah guna mana-mana kata tertentu (dalam hal ini kata Inggeris yg “dilocalisedkan"), maka kata itu diguna pakai - cuma mungkin ejaannya juga “dilocalisedkan” secara standard.
Oh ya, Puan Sifu juga seorang “old school” namun sentiasa bersifat “neo”.
Saya respon sebab Puan Sifu lambat respon - harap2 dapat menyebabkan beliau teruja sikit.
......................
Nota Sifu:
Hehehe! Betuuuuul............
Post a comment