Saturday, August 09, 2008

Surat Pilihan: Nasib Penulis Tidak Glamour

Assalamualaikum wbt buat Puan. Moga sihat bersama keluarga.
 
Pertama,saya ingin ucapkan terima kasih kerana PTS sudi menjemput saya untuk program sign book di PKNS dan PWTC. Walaupun di hati kecil agak kecewa kerana ketika program tersebut berjalan, tiada pembeli yang sudi meminta tanda tangan atau beramah mesra dengan saya.Walau bagaimana pun, saya tidak pernah putus asa. Mungkin ada hikmahnya perkara tersebut berlaku.
 
Buat pengetahuan Puan, saya pernah berbincang dengan seorang penulis yang telah banyak menulis buku-buku di PTS, menurut beliau, glamournya seseorang adalah penting untuk membantu peningkatan jualan sesebuah buku.
 
Soalan saya, benarkah pendapat penulis tersebut? Beliau memberitahu bahawa Puan ada membuat analisis dan fakta berkenaan perkara tersebut. Benarkah? Jika ya, saya ingin mendapat maklumat lanjut tentang nilai glamour seseorang boleh meningkatkan jualan buku seseorang penulis.
 
Bagi saya, pembaca membeli buku, kebanyakan melihat kepada tajuk dan isi, bukan kepada siapa yang menulis. Jika benarlah glamour boleh melariskan buku seseorang penulis, maka saya adalah orang yang rugi kerana saya tidak glamour dan tak dikenali. Malah staff PTS pun ramai tidak mengenali saya, namun saya tidak berkecil hati kerana PTS mempunyai ratusan penulis dan mungkin ribuan pada masa akan datang.
 
Buat pengetahuan Puan, saya pernah berniaga secara bergerak di kawasan Batu Caves pada tahun 2006 lalu. Malah saya pernah 2 kali memberikan makanan dan minuman percuma kepada staff PTS di Batu Caves. Saya tidak mengenalkan diri kerana saya sebenarnya tidak mahu dikenali atau gila glamour!
 
Saya berharap Puan memberikan penjelasan selanjutnya. Dan jika benarlah pendapat dan kajian  mengatakan glamour boleh melariskan buku, mungkin buku2 saya akan terus gagal di pasaran kerana saya tidak glamour... ia adalah kerugian kepada saya.
 
SS 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(20) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Ramalan Masa Depan Ekonomi Bahasa: Laporan Kongres FIT (iv) Previous entry: Perdagangan Buku di Australia: Laporan Kongres FIT (iii)
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  08/09  at  02:54 PM

Saya lihat SS seorang pendiam dan pemalu. Sewaktu di PKNS, beliau duduk tunduk diam membisu. Jadi, bagaimanakah hendak menarik pembaca membeli buku dan meminta tanda tangan beliau?

Ini berbeza dengan penulis SK yang saya lihat tidak segan bercakap berkenaan buku beliau, walaupun pada mulanya tidak ada orang mendengar tapi lama-kelamaan orang mula mendengar, lau membeli buku dan meminta tanda tangan beliau.

SK juga pada Pesta Buku tahun lepas selalu datang ke booth penerbit walaupun pada hari yang beliau tiada sesi tanda tangan, dan SK pergi bercakap secara one-on-one dengan pembeli-pembeli yang datang. Lama-kelamaan ada pembeli yag membelek buku beliau.

SK bukanlah seorang yang glamour pun.

Nasihat saya kepada SS, jangan malu, jangan segan, jangan rasa rendah diri. Jika mendapat peluang sebegini, berdiri dan bercakaplah tentang buku saudara. Agak ironi apabila menulis buku motivasi tetapi diri sendiri pemalu dan rendah diri.

Mohd Nadzrin Wahab  on  08/09  at  03:14 PM

Salam UNIKA,

Pada pendapat saya, unsur glamour itu berangkai-rangkai dengan unsur mutu. Ketika saya muda, saya meminjam buku Sherlock Holmes dari perpustakaan sekolah kerana saya meminati legenda detektif itu.

Setelah khatam novel pertama itu, saya terus jatuh cinta dengan penulisan Sir Arthur Conan Doyle kerana mutu penulisannya. Saya mula meminjam dan akhirnya membeli buku tulisannya.

Maka, glamour Sherlock Holmes dibuktikan mutu penulisan Doyle yang mengglamourkan nama Doyle.

Bagi buku-buku PTS pula, buku PTS pertama yang saya miliki ialah siri Seks dan Psikologi. Walaupun saya minat kepada subjeknya, tetapi buku itu dijual di gerai surat khabar mamak tepi jalan di Sri Gombak, membayangkan bahawa ia adalah bacaan picisan.

Saya tidak kenal nama PTS, tetapi saya kenal nama penulisnya, Prof Dr Abdullah Hassan, iaitu bekas pensyarah saya ketika di UIA dahulu (dan pernah memotong rumput di rumahnya di Janda Baik dengan mesin gegar bumi - dan gegar otak). Saya membeli siri buku itu kerana glamour penulisnya yang menjanjikan mutunya.

Buku “Siapa Wali” terbitan Progressive Publishing pula tidak cantik layoutnya tetapi penulisnya, Mustaffa Suhaimi adalah cucu kepada ulama Singapura terkenal, Sheikh Suhaimi. Maka, disebabkan mutu penulisannya, saya membeli kesemua buku-buku penulisannya daripada penerbit yang sama. Glamour datuk penulisnya menjanjikan mutunya dan setelah terbukti mutu itu mengglamourkan penulisnya dan setiap penulisannya.

Saya tidak lakukan kajian mengenai glamour, tetapi pendapat saya ialah glamour hanya sementara. Ia adalah hype yang menjanjikan mutu. Jika mutu tidak dibuktikan, maka pengguna tidak akan mempercayai hype itu lagi.

Kita dapat lihat perkara ini berlaku kepada artis-artis, ahli politik, industri perumahan, industri rangkaian telefon bimbit, restoran (makanan tak sedap tetapi didakwa dikena mandrem), kursus latihan dan banyak lagi produk dan perkhidmatan.

Pada saya juga, nama orang dan orangnya sendiri adalah dua perkara berlainan. Penulis, pengacara radio dan wartawan akhbar bukan seperti pelakon dan pengacara televisyen kerana wajah mereka tidak dikenali orang ramai, maka umpatan manusia jarang mengenai mereka.

Maka, glamourkanlah nama anda, bukan diri anda. Pisahkan nama anda sebagai satu jenama dan hanya janjikan mutu penulisan kepada jenama itu, bukan mutu peribadi.

Sebagai satu contoh yang tidak malu, saya cuba jenamakan nama pena ‘Mohd Nadzrin Wahab’ dalam dunia penulisan Silat antarabangsa berbahasa Inggeris, tetapi ia tiada kena mengena dengan peribadi saya, hanya minat saya.

Kini, walaupun nama ini dikenali peminat silat daripada beberapa negara asing, mereka masih tidak tahu siapa saya, apa lagi jika terserempak di tengah jalan.

Saya faham dilema saudara/ saudari dalam hal ini, tetapi percayalah, ia hanya akan berselisih dengan takabbur, riya, ujub dan sum’ah jika kita tidak pandai menjaga perbezaan jenama dan diri itu. Jika masalah ini berterusan, maka carilah mentor (seperti Sifu) untuk memimpin anda.

Salam persilatan,

Zamri Mohamad  on  08/09  at  03:47 PM

Mungkin Tuan SS tidak memahami konteks glamour. Glamour dalam beberapa hal membantu. Tetapi ada juga penulis yang tidak glamour tetapi bukunya laku.

Saya kira sudah ulang mesej ini yang saya terima daripada Puan Ainon tiga tahun lalu.

1. Pembaca yang membaca berdasarkan persepsi. Melihat siapa yang menulisnya baru bukunya. Ini kesan daripada pembinaan kredibiliti di media massa secara konsisten dan sahsiah di hadapan khayalak yang diyakini setelah sekian lama.

2. Pembaca yang membaca kerana konteks buku. Isi bukunya bagus maka dibelinya tanpa dikira siapa penulisnya.

Dalam kes PTS yang saya ingat dalam entri terdahulu. Peranan penulis glamour adalah membantu para penulis baru yang naik kerana nama selebriti dan jenama penerbit diangkat bersama. Lama kelamaan jenama PTS sudah tertanam dalam minda pembaca buku selebriti yang kemudian bergerak ke buku-buku oleh penulis lain.

Ya! Tuan SK adalah penulis mesra pembaca dan mesra suasana. Selain daripada gaya pemakaian beliau yang kemas dan meyakinkan, tutur bicaranya waduh bisa bikin hati pelanggan yang datang cair. Tuan SK suka berkongsi eksperimen beliau dengan penulis-penulis lain bagi mencuba tekniknya.

Glamor itu penting kerana itu intipati media massa. Dalam beberapa keadaan ia berlaku pengecualian (kecuali mahu terlibat dalam kejurulatihan. Tetapi isu ini tidak usah dijadikan alasan untuk mengatakan buku tidak terjual kerana tiada glamor.

Isi buku itu penting bagi memandaikan bangsa.

Personaliti penulis itu penting bagi mencipta aura mesra pembaca.


Nota: Jika penulis PTS tidak memperkenalkan diri kepada staf PTS, sukarlah kepada penulis bagi membina hubungan dan kerjasama pada masa akan datang. Bukan isu gila glamor jika memperkenalkan diri kita penulis kepada staf penerbitan ini.

ZAMRI MOHAMAD
http://www.zamrimohamad.com

MBA  on  08/09  at  03:50 PM

Salam SS;

Saya turut bersimpati dengan sdr apabila tidak ada seorangpun yang membeli buku sdr untuk ditandatangani pada sesi tersebut. Perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, samada penulis ataupun penjual di pasar malam. Ada kalanya seorang penjual di pasar malam pulang hampa apabila tiada pembeli, walhal gerai orang lain cukup laris sekali. Barang kali itu adalah memang rezeki masing-masing. Soal glamor atau tidak, kita tolak tepi dahulu.

Saya pernah ke sesi tandatangan buku dan membeli buku saya saya gemari dan penulis yang saya gemari. Ada penulis glamor di situ yang bukunya tidak dibeli orang. Sebabnya mungkin dia digandingkan dengan penulis yang lebih glamor. Di sini pesaing/kawan/pasangan juga memainkan peranan.

Bagi saya sendiri, saya rasakan buku saya juga tidak akan dibeli orang sekiranya saya hadir ke majlis sebegitu. Lantaran itu, saya wujudkan cara lain untuk menjual buku saya. Sebagai contoh, dalam kesibukan Pesta BUku Selangor dan Pesta Buku Malaysia minggu lepas, saya hadirkan diri di UiTM kerana program kerjaya. Buku saya laku jugala di situ, barangkali kerana tiada pesaing. Itulah yang dinamakan Blue Ocean.

Buku saya memang tidak dijual di kedua-dua pesta buku tersebut kerana PTS sudah kehabisan stok.

Jadi, saya syorkan kita carilah peluang yang tersendiri dan berbentuk Blue Ocean, sekiranya kita masih belum mampu untuk bersaing dengan penulis yang lebih glamor.

Wallahualam.

Amar Mahmood  on  08/09  at  04:18 PM

Salam buat Puan Ainon dan semua…

Sekadar berkongsi pandangan.

Pada saya sebuah buku dibeli kerana pelbagai faktor dan pengaruh. Salah satunya adalah kerana penulis yang “glamour”. Tidak dinafikan bahawa glamour akan menarik pembeli untuk membeli buku si penulis.

Tetapi bagaimana si penulis boleh menjadi glamour? Sudah pasti semua orang tidak dilahirkan untuk terus menjadi glamour. Maka, glamour boleh TERCIPTA dan BOLEH DICIPTA.

Tuan Ann Wan Seng tidak glamour sepuluh tahun dahulu. Saya masih ingat bagaimana beliau memberi ceramah pada pentas politik dan menulis buku-buku politik dalam membina ke"glamour"an yang beliau ada hari ini. Tetapi SIKAP dan KEINGINAN yang kuat akan membawa kita untuk menjadikan diri kita hari ini.

Tidak dinafikan, ada penulis yang sedia ada glamour seperti Ustaz Akil Hayy yang terus menerus glamour dalam bidang penulisan. Seperti juga Saudara “AMAR” (penyanyi nasyid) yang sudah sedia glamour.

Tetapi saya berpendapat, yang glamour boleh dicipta jika kita benar-benar ingin menjadi glamour. Lihat Saudara Azizi Ali. Yang penting kita perlu berani dan bersedia untuk berubah. Berubah dari tak glamour menjadi glamour.

ikhlas..
AMAR MAHMOOD
http://www.amarmahmood.com

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  08/09  at  05:55 PM

Salam.

Tumpang lalu.. Saya ni bukan seorang penulis.. tapi suatu hari nanti InsyaAllah dengan keizinanNya bakal menulis juga.

Pandangan dari seorang pembaca.

Bila saya ingin membeli sesebuah buku antara faktor faktor yang mendorong saya ialah :

1. TAJUK dan kandungannya buku tersebut.
2. PENULIS dan latar belakangnya.
3. HARGA BUKU dan kemampuan saya.
4. PENERBIT dan latar belakangnya juga.
5. TUJUAN saya membaca.
6. HUBUNG KAIT antara buku yang telah saya baca dengan
7. BIDANG yang ingin saya selidiki.
8. LAIN LAIN faktor.

SK menampilkan pakej yang baik. Oleh itu, pada pendapat saya, SK boleh dijadikan contoh yang baik cuma pakej adalah berlainan mengikut bidang atau topik buku tersebut.

Salam..tumpang lalu je..

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  08/09  at  06:27 PM

Barangkali posting Puan Norlela Zubir di sini berkaitan dengan pengalamannya boleh membantu:
http://bisneskeluarga.blogspot.com/2008/08/pengalaman-di-pesta-buku-selangor-part.html

Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad  on  08/09  at  09:41 PM

Assalamualaikum,

Entri yang sangat menarik dan perbincangan yang amat positif.  Saya sendiri tidak pasti kenapa orang membeli buku Motivasi Alihan Pelajar iaitu buku pertama tulisan saya hinggakan ia menjadi salah satu buku terlaris pada tahun 2007 dan berjaya menempatkan saya diantara sepuluh orang penerima royalti tertinggi. 

Tetapi saya percaya glamour bukanlah faktor utama yang membawa kepada kejayaan tersebut.

Berikut adalah beberapa perkara yang boleh saya ringkaskan:

1.  Apabila buku itu diterbitkan maka saya terus cetak 10,000 phamplet berwarna bagi mempromosikan buku MAP itu.  Sedangkan ketika itu PTS belum melakukan apa-apa promosi untuk buku saya.

2.  Apabila saya ke udara di radio kerana mempromosikan kursus motivasi saya maka saya sering sarankan pendengar memiliki buku tersebut.

3.  Saya pernah bertanya kepada pelajar yang membeli buku saya di kedai popular kenapa dia memilih buku MAP dan bukan buku-buku yang lain.  Katanya buku MAP setelah diimbas sarat dengan petua belajar yang dicari-cari olehnya.  Saya tanya lagi sama ada beliau kenal penulisnya, jawapnya, “tidak”.  Maknanya penulis buku belum cukup glamour kalau mahu dibandingkan dengan Dr. Danial Zainal Abidin, Dato’ Haron Din, Dato’ Fadillah Kamsah dan yang lain-lain.

4.  Apabila saya berada digerai PTS atau menjalankan promosi, saya tidak akan duduk diam.  Saya akan bercakap dan memberi pengunjung memegang buku saya sambil saya jelaskan akan kenapa buku itu akan membantu anak-anaknya.

5.  Apabila saya diberikan peluang berada dipentas untuk mempromosikan buku-buku saya, saya lebih suka berikan apa yang hadirin mahu dengar bukannya menyeru mereka agar membeli buku-buku saya.  Biarlah staf PTS yang lakukan kerja menyeru itu.  Saya tidak mahu hadirin rasa bosan dan berlalu pergi. 

Misalnya, saya akan kata, “Selepas ini saya mahu beritahu tiga cara yang apabila ibu bapa lakukan maka saya pasti anak-anak tidak akan tinggal solat lagi”.  Tetapi sebelum itu saya cerita dulu perkara-perkara yang lain sementara membiarkan hadirin tidak sabar mahu tahukan rahsia tersebut.  Mereka biasanya akan tunggu.  Bila sudah diberitahu, letakkan pula umpan baru.  Macam orang jual ubat di kaki lima juga, berpusu-pusu orang mengerumuninya dan tidak berganjak.

Apabila manusia makin ramai maka jualan juga kelak insyaAllah makin tinggi.  Itu yang saya lakukan ketika di Kedai Buku Badan Cemerlang, Johor, dan hasilnya lebih 200 naskah terjual dalam masa 3 jam.

Sekian.

Amiene Rev  on  08/10  at  12:47 AM

Hayakallah,

Saya bersetuju dengan Tengku Ismadi, penulis tidak perlu jadi glamour untuk melariskan buku.

Semasa saya menyertai Kelab Usahawan dahulu, saya melakukan promosi yang lebih kurang sama untuk seperti Tuan Asmadi. Hasilnya, produk yang orang sangkakan tidak akan laris itu, laris dijual.

Semasa saya bekerja di sebuah kompeni pelancongan dahulu, kompeni itu tidak laris. Saya menyarankan kaedah penyediaan risalah, dan meningkatkan promosi. Hasilnya kompeni itu maju besar dan Pengarah Urusan kompeni itu mahu saya bekerja tetap dengannya, tetapi atas kehendak ibubapa yang mahukan saya fokus kepada akademik, maka saya terpaksa berhenti biarpun dijemput sebanyak tiga kali oleh majikan tersebut.

Saya menganjurkan satu program. Ramai orang kata program itu mustahil untuk berjaya. Tetapi kerana usaha promosi yang berterusan, program itu mendapat sambutan di luar dugaan dan kemudiannya dipamerkan di hadapan Naib Canselor. Saya menerima anugerah tertinggi daripada fakulti untuk program tersebut.

Dan yang paling penting, setiap apa yang kita buat, pastikan kita mendapat restu daripada ibu bapa kita. Restu ibu bapa, adalah doa, yang membantu kita untuk terus berjuang.

Glamour? Itu rezeki… tetapi bukan penghalang jika tidak memilikinya. Mahu kekal low profile, tidak menjadi masalah, kerana yang penting cara mempromosikannya. Ada orang berjaya dalam senyap, dan ada orang berjaya dalam bising. Itu rezeki masing-masing.

Minta maaf sekiranya pandangan saya ini menimbulkan perselisihan pendapat di kalangan pembaca. Ini pendirian saya, ia berjaya dan telah dibuktikan oleh saya sendiri, untuk diri saya sendiri, untuk ibu bapa saya sendiri, untuk rakan-rakan terdekat saya sendiri dan untuk guru-guru dan pendidik-pendidik saya sendiri.

Orang lain? Orang lain barangkali ada pendirian dan tekniknya sendiri. Kaedahnya tersendiri.

Selamat berjaya! Tidak mengapa low profile, tetapi jangan terlalu merendah diri. Mesti optimis! Mesti tegas dengan diri sendiri! Mesti fokus pada matlamat.

Jika matlamat saudara mahu melariskan buku-buku saudara, fokus kepada matlamat tersebut, dan carilah jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut, tanpa sebarang alasan. Selagi ada alasan, maka alihkan ia, atau pecahkan ia supaya tidak lagi menjadi penghalang saudara.

Insya-Allah anda akan berjaya!

Norlela Zubir  on  08/10  at  09:47 AM

Assalamualaikum.

Selepas sesi author signing saya di Pesta Buku Selangor yang lalu, saya pergi ke ruang legar dan ketika itu Dr. Tengku Asmadi sedang bercakap di pentas. Saya duduk mendengar ceramah beliau dan dapat mengesan beberapa perkara :-

1. Beliau bercakap dengan sepenuh hati (tiada malu-malu langsung).

2. Beliau pandai memikat hati (penonton ketawa terkekek-kekek mendengar celotehnya sebab dalam diam-diam, banyak sindiran terkena pada batang hidung mereka). Ini satu skil istimewa yang dimiliki Dr. Tengku, memang menarik persembahan beliau.

3. Paling selamba ketika beliau bertanya : “Siapa di sini yang ingin menjadi ibu-bapa cemerlang?” Beliau bertanya beria-ia sampai 3 kali dan hampir semua penonton mengangkat tangan. Ketika itulah Dr. Tengku berkata : Ha, kalau nak jadi ibu-bapa cemerlang, beli buku ini!

Hohoho, memang kelakar habis taktik Dr. Tengku itu! Patutlah beliau menjadi penulis ngetop. Bagi saya, rahsianya ialah beliau sendiri seorang jurujual profesional untuk buku-bukunya.

Saya dapati Tuan Shamsuddin Kadir, Tuan Zamri Mohamad dan Tuan Sunthara Segar pun begitu - mereka memang pandai menjual. Apa kata PTS adakan bengkel sehari untuk membantu penulis-penulis pemalu. Saya yang pertama akan mendaftar.

Salam,
Norlela Zubir
http://bisneskeluarga.blogspot.com/

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  08/10  at  10:54 AM

Puan Norlela,

Saya setuju dengan cadangan Puan itu.

Nanti kita tanya YM Dr. Tengku Asmadi, apakah beliau sudi membantu penulis-penulis lain belajar (meminjam istilah Tuan Shamsuddin Kadir, “menadah ilmu”) tip-tip bagaimana mempromo buku sendiri.

Saya pun mahu belajar juga.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  08/11  at  10:16 PM

Alhamdulillah, seronok baca komen sifu-sifu semua.  Saya beroleh manfaat yang sangat berguna dari sifu-sifu semua. Oh ya, sedikit pertanyaan; Adakah sama menjual buku tulisan sendiri dan buku tulisan orang lain?  Saya pengedar buku ‘part time’ dan sedang menulis buku sendiri pula.  Saya ada pengalaman menjual buku dari yang berharga RM2.00/buah hingga berharga lebih RM1000/set. Segala penjelasan didahului ‘Jazakumullah’

MBA  on  08/11  at  11:05 PM

Sdr W Nor Ainon;

Saya juga pernah menjual buku orang lain. Kini baru menulis sebuah buku.

Pengalaman peribadi saya ialah, menjual buku orang lain adalah lebih mudah, lebih senang dan kurang tekanan. Saya pernah melelong buku penulis lain sehingga kehabisan stok. Ia laku bagaikan pisang goreng panas. Saya hanya jual, jual dan jual. Saya tidak perlu menjawab soalan berkaitan dengan buku tersebut. Saya tidak perlu berhadapan dengan kritikan. Saya juga tidak perlu menerima pujian. Kerja saya hanyalah menjual.


Bagi buku sendiri pula, saya mempunyai perasaan segan, malu dan barangkali rasa rendah diri. Barangkali, bagi penulis jenis begini, PTS perlu adakan program timbal balik. Ia itu jadi jurujual bagi pihak penulis lain.

Itu pengalaman peribadi saya.

Zamri Mohamad  on  08/11  at  11:36 PM

Kata Tuan MBA, “Pengalaman peribadi saya ialah, menjual buku orang lain adalah lebih mudah, lebih senang dan kurang tekanan”

Saya bersetuju!

Dengan tambahan, kita memilih buku yang pernah kita baca dan yakini kualitinya untuk dijual. Lebih mudah hendak bercerita.

ZAMRI MOHAMAD
Entri terkini! http://www.motivasimindamu.blogspot.com

Fadzli Yusof  on  08/12  at  10:22 AM

Usah gundah Saudara SS. Itu sudah menjadi lumrah dalam kehidupan. Adakalanya kita tidak dapat apa yang kita inginkan, tetapi anggaplah ianya sebagai teladan, bukannya satu kegagalan.

Sewaktu sessi autograf pada Pesta Buku Selangor dan Pesta Buku Malaysia tempoh hari, hanya DUA ORANG yang datang ke meja saya. Seorang meminta supaya saya sain autograf, seorang lagi wanita berperangai pelik datang ke meja saya, bertanya di manakah kertas untuk dia sain autograf! Kemudian dia membebel-bebel sehingga saya dan para editor terkebil-kebil. (Ini pengalaman penulis yang sudah ada 29 judul di pasaran).

Fokus fikiran kita kepada; Menghasilkan karya berkualiti, dan bagaimana untuk ‘position’ diri kita dalam bidang tersebut.

Sekadar berkongsi idea.

Fadzli Yusof

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  08/12  at  11:38 AM

Tuan Fadzli,

Saya terkekek-kekek membaca apa yang Tuan tulis!

Betul juga… dalam “kotak biasa” yang betul adalah penulis yang ada buku yang sain autograf. Tetapi dalam “kotak luar biasa” apa salahnya pengunjung yang tidak ada buku yang sain autograf.

Lateral thinking!

Shamsuddin Kadir  on  08/12  at  02:52 PM

Salam kepada semua,

Kepada Puan Ainon dan Tuan Fadzli,

Nampaknya saya perlu belajar ‘lateral thinking’ bermacam-macam perangai orang di luar sana.

Kepada SS, jadikan kisah Tuan Fadzli itu sebagai penguat semangat untuk terus berusaha.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  08/12  at  03:41 PM

Tuan Shamsuddin Kadir,

Saya ada terbaca dalam salah satu buku Edward de Bono, antara manusia-manusia yang paling tidak pandai berfikir secara lateral adalah (i) peguam, (ii) akauntan!

Hmmm…. (sambil senyum-senyum sinis)

rastom  on  08/12  at  04:10 PM

Puan Sri Ainon,

Guru sekolah memandu pernah maklumkan kepada saya, di antara mereka yang belajar memandu, golongan akauntan, doktor dan peguamlah yang cukup payah diajar. Suruh tekan brek, dia tekan minyak dan sebagainya.

Shamsuddin Kadir  on  08/13  at  12:01 AM

Salam Puan Ainon,

Uhuk-uhuk (sedang batuk)terkedu membaca entri Puan Ainon. Nampaknya saya perlu sambung belajar dalam bidang lain pula.

Bila kelas lateral thinking akan bermula Puan Sifu?

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: