Surat Pilihan: Pautan pada Web Rasmi PTS
Assalam alaikum wbt,
Tuan dan Puan dirahmati Allah. Saya doakan Tuan dan Puan berada dalam keadaan sihat sejahtera dan diberikan kelapangan serta keceriaan dalam setiap urusan yang dijalankan.
Selepas sesi brainstorming dan perbincangan secara ringkas bersama Tuan Aizat Abdul Razak pada Selasa 18 November 2008, saya ingin mencadangkan satu idea kepada pihak PTS bagi dinilai sama ada ia bersesuaian atau sebaliknya.
Ketika ini salah satu promosi yang giat dijalankan oleh pihak PTS ialah seminar Law of Attraction yang dikendalikan oleh Micheal J Losier.
Seminar Law of Attraction ini mengingatkan saya kepada laman web PTS terdahulu tahun 2005. Dalam paparan laman web PTS versi terdahulu terdapat pautan seminar. Dalam pautan itu ia mempromosikan dua woksyop kendalian dua penulis PTS iaitu Tuan Haji Ahmad Fadzli Yusof dan Tuan Naim Jaafar.
Mohon rujuk contoh di sini: http://www.pts.com.my/v2/modules.php?name=News&op=theindex&new_topic=17
Saya mencadangkan laman web rasmi PTS menghidupkan semula pautan seminar atau diberi nama lain seperti woksyop, kursus, bengkel atau seumpamanya sebagai sebahagian cara menarik pengunjung ke laman web rasmi PTS.
Berdasarkan orientasi bengkel dikendalikan oleh Puan Ainon Mohd, latihan penulisan yang diberikan juga memberi fokus kepada pembangunan penulis sebagai trainer mengikut lapangan masing-masing. Ini dapat dilihat apabila para penulis yang dibimbing dilatih menjadi trainer dalam bidang yang berbeza. Sebagai contoh:
Tuan Shamsuddin Ab Kadir dalam bidang pengurusan kewangan.
Puan Norlela Zubir dalam bidang perniagaan keluarga dan keusahawanan wanita.
Tuan Wan Mohd Syazwan Wan Sukri dan Sabri Hassan Assa'ari dalam bidang keusahawan internet.
Tuan Azahar Abdul Rahman dalam bidang bisnes E-bay.
Tuan Sunthara Segar dalam bidang pengurusan risiko unit amanah.
Terdapat beberapa lagi penulis PTS yang sudah menerbitkan buku mereka di bawah penerbitan ini yang memfokus kepada peluang training ini. Ini ditambah lagi dengan penulis-penulis selebriti yang sudah menjalankan khidmat yang sama sebelum menjadi penulis PTS seperti YM Dr Tengku Asmadi, Tuan Osman Affan, Ustaz Mohd Zawawi Yusoh.
Saya ingin mencadangkan laman web PTS diwujudkan bahagian seminar dan kursus untuk para jurulatih dan perunding yang mahu mempromosikan khidmat mereka. Namun demikian, ia masih menekankan konsep menang-menang-menang kepada penerbit, penulis dan pembaca.
Penulis merangkap trainer diberi ruang mempromosikan program mereka. Ia boleh dibuat melalui hebahan ringkas, imej dan pautan muat turun risalah dalam format PDF. Setiap penulis-trainer PTS dibahagikan mengikut kategori khidmat latihan yang diberi.
Pihak penerbit memberikan ruang untuk promosi tersebut dengan syarat yuran pelanggan yang dikenakan kepada peserta oleh penulis-trainer turut memasukkan satu judul buku yang dibeli oleh penulis untuk peserta.
Pelayar laman web PTS juga berpeluang mendapatkan informasi program yang dijalankan oleh penulis-trainer PTS.
Jangkaan daripada implementasi idea ini:
Pertama, penulis diberi ruang dan peluang mempromosikan program latihan mereka melalui laman web berkredibiliti seperti laman web PTS.
Kedua, laman web PTS menjadi rujukan pencari buku dan mereka yang mahu menyertai kursus dan mengendali kursus di tempat mereka.
Ketiga, jualan buku secara konsisten dapat digerakkan melalui kursus mingguan atau bulanan yang dijalankan penulis. Ini dapat dilihat melalui belian buku yang dimasukkan dalam yuran peserta. Buku yang dibeli bertindak menjadi bacaan tambahan dan modul program sendiri.
Keempat, trafik web PTS meningkat dengan kata kunci yang relevan dalam enjin pencari Google dan Yahoo.
Mohon idea, kritikan, cadangan dan maklum balas Tuan dan Puan berkenaan cadangan ini. Terima Kasih.
ZAMRI MOHAMAD
Dapatkan sesuatu yang akan mengubah hidup anda.
Layari www.zamrimohamad.com
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment