Surat Pilihan: Remedi buat SN Dato’ A Samad Said
Assalamualaikum, Puan Sifu.
Semoga Puan Sifu sihat dan selamat di bawah jagaan tuhan serta diberikan umur yang panjang, kesihatan yang baik dan keberkatan dalam beramal. Amin.
Puan Sifu yang bijaksana,
Saya menaip emel ini dengan tujuan untuk berkongsi maklumat tentang remedi yang ada bagi SN Dato’ A Samad Said (selepas ini saya sebut sebagai SN) atau sesiapa sahaja penulis atau individu yang pernah terjebak dalam kontrak yang tidak munasabah. Saya sempat membaca posting Puan yang lepas tentang hak cipta dan hak penerbitan, tetapi saya tidak sempat respon dalam kadar yang segera.
Sebelum itu Puan Sifu, saya terlebih dahulu meminta maaf kerana dalam emel ini saya akan menggunakan beberapa perkataan Inggeris bagi perkataan yang tidak dapat saya terjemahkan dalam Bahasa Melayu dengan tepat.
Puan Sifu yang budiman,
Dalam undang-undang, secara amnya, kita mempunyai dua remedi iaitu legal remedy dan equitable remedy.
Equitable remedy ini berbeza daripada legal remedy kerana ekuiti (equity) yang menjadi alasan penghakiman adalah berasaskan natural justice (secara common sense, dan keputusan penghakiman adalah atas budi bicara hakim sepenuhnya.), tidak terikat kepada perkara-perkara teknikal, rigid sesuatu kontrak atau undang-undang.
Secara amnya, orang awam mudah melihat legal remedy. Sebagai contoh dalam kes sasterawan negara, secara kasarnya, sekirannya SN mengulangcetak karya yang telah dijual hak penebitannya kepada DBP, maka SN akan didapati bersalah kerana telah melanggar kontraknya dengan DBP. Sebagai denda, SN mungkin boleh dikenakan denda membayar ganti rugi kepada DBP. Bayaran ganti rugi itu ialah legal remedy bagi DBP.
Dalam kes SN, saya dapati kontrak tersebut terlalu teknikal, tidak munasabah, tidak jelas dan tidak menyebelahi SN langsung.
Isu pertama: Sesuatu yang tidak munasabah dan tidak menyebelahi SN langsung apabila SN memegang hak cipta tetapi tidak memegang hak penerbitan selama-lamanya. Ibaratnya, SN ialah pemegang geran kereta dan DBP ialah pemandu tetap kereta SN. SN menjadi seperti orang yang ada geran kereta tetapi tidak boleh memandunya. Apabila pemandu tidak mahu memandu, SN tidak ada kuasa memaksa dan tidak boleh memandu. Dalam masa yang sama tidak mendapat wang sewa kereta juga. Jadi, SN tidak dapat menikmati keretanya (harta) walaupun beliaulah yang bersusah payah membelinya. Dalam kes ini, SN bersusah payah mengeluarkan idea yang kemudiannya menjadi karya dan hartanya, tetapi tidak ada hak menikmati hartanya sendiri.
Isu kedua: Tempoh kontrak yang tidak jelas – selagi ada bulan dan matahari. Adakah bulan dan matahari perlu ada sekali? Bagaimana pula kalau matahari tidak nampak ketika mendung? Bolehkah kita pasti matahari itu benar-benar ada walaupun tidak nampak ketika hujan? Memang boleh dipertikai dengan pelbagai definisi dan kefahaman. Sekiranya DBP meletakkan tarikh atau tempoh, contohnya 3 tahun, maka 3 tahun itu tidak ada makna lain, tidak boleh dipertikaikan melainkan 3 tahun.
Isu ketiga: Terlalu teknikal. Kontrak yang mengikat SN dan DBP sangat teknikal iaitu penerbitan mestilah dibuat dengan DBP. Sekiranya DBP tidak menerbitkan karya tersebut, SN tidak ada pilihan apa-apa lagi. DBP tidak boleh dipaksa dan dalam masa yang sama tidak boleh menerbitkannya dengan penerbit selain DBP. Terlalu rigid sehinggakan seperti tidak ada remedi bagi SN.
Puan Sifu yang dihormati,
Apabila sesuatu kontrak itu terlalu teknikal, terlalu rigid, tidak munasabah, tidak jelas dan ada unsur-unsur unfair advantages, undue influence, atau mistake of fact, pihak yang tidak berpuas hati boleh memohon kepada mahkamah equitable remedy.
Equitable remedy ialah remedi selain ganti rugi. Remedi-remedi ini tercatat dalam Specific Relief Act 1950 (Selepas ini saya sebut sebagai SRA). Antaranya remedi yang mungkin bagi SN ialah:
Seksyen 30, membaiki kontrak yang telah dipersetujui (seperti meminda) atau,
Seksyen 38, iaitu membatalkan kontrak terdahulu atau,
Seksyen 41, iaitu mengisytiharkan hak penerbitan karya-karya tertentu SN adalah miliknya.
Setiap satu remedi ini ada kriteria yang perlu dipenuhi dan keputusan untuk mendapat remedi di bawah SRA ini adalah atas budi bicara hakim secara sepenuhnya. Prosedur dan kebarangkalian untuk menang, saya secara peribadinya tidak pasti. Soal itu perlu dirujuk kepada peguam yang bertauliah (saya belum lagi mengambil subjek prosedur dan belum lagi menjadi peguam bertauliah).
Puan Sifu yang dihormati,
Di sini saya kepilkan sekali peruntukan (klausa) remedi-remedi daripada SRA tersebut sebagai rujukan. Semoga ianya dapat membantu SN.
Sekian, Assalamualamualaikum.
Aini Murni
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment