Monday, December 31, 2007

Surat Pilihan: Sokong Letak “SAW”

Assalamualaikum, Puan Sifu.

Perletakkan perkataan SAW atau seumpanya selepas nama Nabi Muhammad (SAW) secara tradisinya memang dilaksanakan oleh para ulama sejak dahulu lagi. Persoalannya yang saya ingin bangkitkan adalah, adakah apabila kita membaca buku dan terdapat nama Nabi Muhammad (SAW) kita sebagai Umatnya sekadar membisu dan meneruskan pembacaan yang selanjutnya?

Kalau kita lihat dari konteks ini, sememangnya saya juga secara peribadi tidak bersetuju tidak meletakkan perkataan SAW selepas nama Nabi Muhammad (SAW). Nabi Muhammad (SAW) saban kali mengingatkan umatnya, agar tidak menjadi orang yang bakhil kerana tidak berselawat ke atas baginda.

Dari Hussein bin Ali ra. bin Abi Thalib bahawa Nabi (SAW) bersabda:

البخيل الذي من ذكرت عنده فلم يصل عليَّ

“Orang yang bakhil adalah mereka yang di peringatkan aku disisinya akan tetapi tidak berselawat diatasKu" (Hadith Riwayat al-Tirmidzi, dikelaskan sahih oleh di dalam Irwa’ al-Ghaleel)

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra. bahawa Nabi (SAW) bersabda:

رغِم أنفُ رجلٍ ذُكرتُ عنده فلم يصلِّ عليَّ

“Semoga digosokan hidungnya dengan debu bagi lelaki yang di peringatkan aku di sisinya akan tetapi tidak berselawat di atasKu" (Hadith Riwayat al-Tirmidzi, dikelaskan sahih di dalam Irwa’ al-Ghaleel)

Banyak lagi hadith yang menunjukkan, tentang peri pentingnya kita berselawat ke atas nabi Muhammad (SAW). Anjuran dari hadith-hadith ini sebenarnya bukanlah satu beban kepada kita, malahan ia membawa kebaikan kepada mereka yang berselawat. Kebaikan yang dimaksudkan ialah, ganjaran pahala yang dijanjikan kepada mereka yang berselawat ke atas Nabi Muhammad (SAW).

Dari Abu Hurairah ra. bahawa Nabi (SAW) bersabda :

من صلى عليَّ واحدة صلى الله عليه بها عشراً

“Barang siapa yang berselawat ke atasKu 1 kali, Allah akan berselawat ke atasnya 10 kali" (hadith sahih riwayat Muslim)

Selain daripada mendapat ganjaran pahala, dengan berselawat juga kita akan mendapat syafaat dari Nabi Muhammad (SAW) di akhirat kelak dan diampunkan dosa. Perkara ini telah dijelaskan oleh baginda sendiri dalam satu hadith:

Dari Ibn Mas’ud ra., telah bersabda Nabi (SAW):

أولى الناس بي يوم القيامة أكثرهم علي صلاة

“Manusia yang utama di sisiku pada hari Kiamat adalah yang paling banyak berselawat keatasKu” (Hadith Riwayat Ibn Hibban, al-Tirmidzi dan beliau (Tirmidzi) mengatakan bahawa hadith ini Hasan Gharib)

Dan juga hadith ini:

من صلى على حين يصبح عشرا و حين يمسي عشرا أدركته شفاعتي يوم القيامة

“Sesiapa yang bersalawat ke atas-Ku pada waktu pagi dan petang sepuluh kali, akan memperolehi syafaatku di akhirat kelak" (Hadith ini dinilai Hasan dalam Sahih wa dhaif jami’ wa saghir)

Diampunkan dosa oleh Allah:

Dari Anas bin Malik, Nabi Muhammad (SAW) berkata:

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ وَحَطَّ عَنْهُ عَشْرَ خَطِيئَاتٍ

“Sesiapa yang berselawat keatas-Ku sekali, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali dan mengampunkan sepuluh kesalahannya" (HR Ahmad, dalam Musnad Ahmad)

Keutamaan berselawat ini dikukuhkan lagi, dengan perintah Allah terhadap Malaikat dan orang-orang yang beriman agar berselawat ke atas Nabi (SAW) sebagaimana firman Allah swt :

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا

“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya." (surah al-Ahzab: 56)

Menurut Syeikh Abdul Aziz bin Bazz, matan Mufti Am Arab Saudi, beliau berkata:

“Bahawa berselawat keatas Nabi (SAW) merupakan perkara yang disyariatkan di dalam tashahud dalam solat, di dalam Khutbah, ucapan, doa, istighfar, selepas Azan, ketika masuk masjid, ketika keluar dari masjid, berzikir dengan berselawat di tempat-tempat lain, memastikan buku-buku ditulis namanya, atau pengarang, atau dalam risalah, artikel atau seumpamanya, dan disyariatkan menulis penuh sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah" (Majmu’ Fataawa bin Baaz, (cetakan Dar al-Watan, 1416H) 1/445)

Akhir kata, sebagai sebuah syarikat penerbitan yang bermotokan memandaikan bangsa dan mementingkan nilai-nilai islami, selain mempunyai ramai peminat di luar sana. Saya secara peribadi mengsyorkan puan untuk membenarkan penggunaan SAW atau seumpamanya selepas perkataan Nabi Muhammad (SAW). Kalau syarikat penerbitan luar negara yang rata-rata pemiliknya bukan beragama Islam, membenarkan para penulisnya meletakkan perkataan (Pbuh) selepas nama Nabi Muhammad (SAW). Maka sebagai umat Islam yang mengaku tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah, lebih utama untuk mendahului mereka dalam hal-hal sebegini. Saya berharap puan Ainon mempertimbangkan pandangan saya yang dhaif ini.

WaAllahualam.

Yussamir Yusof

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Surat Pilihan: Tidak Sokong Letak "SAW" Previous entry: Surat daripada Seorang Peminat Buku-buku Paderi Norman Vincent Peale

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.