Thursday, January 03, 2008

Surat Pilihan: Terkena Batang Hidung

Salam Puan Ainon,

Saya banyak sekali membaca artikel dan komen yang Puan tulis sama ada di blog Prof Dr. Muhd. Kamil Ibrahim, Kassim Selamat dan juga kadang kala bila berkesempatan saya menjengah ke laman web PTS.

Maafkan saya kerana saya ingin mengambil sedikit masa puan berkongsi perasaan saya ketika ini. Artikel puan bertajuk 'Surat Terbuka buat Prof MKI' yang saya baca pagi tadi sangat menarik minat saya kerana ianya sangat tepat mengena atas batang hidung saya.

Asalnya saya semasa di Sekolah Menengah Agama Ampangan, Seremban, amat berminat menulis dan membaca novel.  Di MRSM Jasin juga begitu. Dipendekkan cerita, semasa di USM dan menuntut dalam bidang sains farmasi, saya selalu keputusan wang kerana buku dan peralatan yang mahal menuntut hampir semua wang biasiswa saya digunakan ke arah itu. Tambahan pula ibu bapa saya bukanlah orang berada.

Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk mula menaip cerpen-cerpen yang pernah saya tulis secara main-main untuk dihantar ke majalah Remaja dan Muslimah. Saya tidak tahu prosedurnya. Saya cuma mengikut apa yang dilakukan oleh salah satu watak dalam novel kanak-kanak yang dibaca suatu ketika dahulu. Hantarkan cerpen yang saya tulis beserta surat iringan. Kemudian sertakan sekali sampul surat berstem dan beralamat sendiri. Saya nyatakan juga di dalam surat tersebut, jika pihak editor tidak berminat menerbitkan cerpen saya di dalam majalah mereka, sila kembalikan cerpen saya menggunakan sampul surat yang saya sertakan. Haaa... naif sungguh saya ketika itu.

Dengan izin Allah, Alhamdulillah kedua-dua cerpen yang saya dihantar diterima dan diterbitkan. Saya menerima bayaran pertama berjumlah RM100 dan yang kedua bernilai RM150. Saya sangat gembira kerana dapat menampung perbelanjaan saya di kampus.

Selepas bekerja sebagai pegawai farmasi pelatih, saya melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dengan biasiswa dari UiTM, dan sejak itulah saya tidak menulis lagi. Saya tidak tahu kenapa.

Sekarang saya sedang melanjutkan pengajian saya di peringkat PhD di UiTM. Betullah kata puan, sudahlah saya tidak mampu hendak menulis artikel dalam bidang-bidang lain, dalam bidang saya sendiri juga saya masih merangkak-rangkak.

Saya sendiri tidak tahu apa yang perlu saya lakukan ketika ini. Cuma saya rasa sedikit bersemangat selepas membaca balasan surat terbuka dari Prof MKI. Benar, ianya memerlukan semangat yang kuat untuk menulis sesuatu di luar bidang akademik dan melihat ianya diterbitkan. Perasaan malukah ataupun tidak cukup keyakinan yang membuatkan saya tidak mahu menulis lagi?

Selalu saya mendengar rakan-rakan sekerja berkata, "Menulis untuk jurnal saintifik ataupun lebih baik jangan menulis langsung!" Ermm...pilihan yang sangat terhad, bukan?

Moga saya dapat memberikan sumbangan dalam bidang saya pula sedikit hari lagi. Remaja kita memang perlu didedahkan dengan Sains dan Teknologi, jika tidak mereka akan takut... seperti mana saya yang satu masa dahulu sangat takut kerana terpaksa menukar aliran pendidikan dari aliran syariah ke aliran sains tulen.

Jemputlah melayari blog saya: www.epelijau06.blogspot.com. Saya menulis apa yang saya ingin tulis. Catatan yang saya lakukan ketika saya ingin meluah rasa. Segan juga kerana bahasa yang saya gunakan tunggang-langgang.

Terima kasih atas kesudian puan membaca surat saya ini. Moga PTS lebih maju di tahun mendatang.

Salam hormat,
Nor Amlizan Ramli
Pensyarah
Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi MARA,
Shah Alam 40450, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Motivasi Penulis
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Bagaimana Orang Pintar Menyekat Produktiviti, Prestasi dan Kejayaannya Sendiri Previous entry: Contoh Buku-buku Pensyarah Universiti yang Tidak Relevan untuk Kenaikan Pangkat
sab2  on  01/03  at  10:48 PM

Puan Sifu dan Epelijau,
assalamu’alaikum.

Ingin kongsi cerita: Selepas majlis membaca Yassin malam Jumaat di masjid tadi, sempat bertegur-sapa dengan seorang jemaah (Pensyarah universiti, ada PhD). Secara kebetulan, baru saya hadiahkan kepadanya buku TH Prof Kamil dua hari lalu.

Ikuti dialog ringkas kami:

Sab2: Dah habis baca buku TH tu?
Dr: Baru selak-selak… Siapa dia tu?
Sab2: Kawan blogger, Prof Accounting UiTM. Baru pindah ke UiTM Segamat. Pengarah baru di sana… sekarang Dr buat apa?
Dr: Menulis program (komputer) untuk _<&^%$#>_ (aplikasi subjek kejuruteraan)
Sab2: Tak tulis buku ke?
Dr: Tak ada masa…sibuk dengan program tu. Lagi pun buku-buku (Bahasa Inggeris) di pasaran dalam disiplin yang nak ditulis tu berlambak-lambak…

Sab2: ooo.. ooo… hmmm… (melopong dengar jawapannya…)

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: