Thursday, December 27, 2007

Khutbah Jumaat PTS: Menulis Buku Agama Fasa Mekah

Dakwah Nabi Muhammad SAW terbahagi kepada dua fasa yang amat jelas ciri-ciri perbezaannya. 

Fasa pertama adalah "Fasa Mekah". Dalam fasa ini Nabi Muhammad menerangkan apa itu Islam kepada orang-orang bukan Islam  -  malah bukan setakat menerangkan Islam kepada bukan Islam, juga menerangkan Islam kepada orang-orang yang memusuhi Islam, dan kepada orang-orang yang berjuang mahu melihat Nabi Muhammad SAW mati!

Dakwah Fasa Mekah mengambil masa 13 tahun. Menurut sesetengah ahli sejarah, selama tempoh itu hanya sekitar lebih 40 orang sahaja yang masuk Islam. Justeru fasa ini adalah fasa yang amat sukar.

Fasa kedua adalah "Fasa Madinah". Fasa ini adalah selama 10 tahun. Dalam fasa ini Nabi Muhammad menerangkan hal-hal terperinci berkenaan Islam kepada orang-orang yang sudah masuk Islam, malah sudah sangat kuat imannya. Justeru fasa ini adalah fasa yang kurang sukar apabila dibandingkan dengan kesukaran Fasa Mekah.

Ayat-ayat Quran yang diturunkan dalam Fasa Mekah juga mempunyai ciri-ciri yang amat jelas perbezaannya dengan ayat-ayat Quran yang diturunkan dalam Fasa Madinah. Sebagai contoh, majoriti ayat-ayat Quran dalam Fasa Mekah menggunakan perkataan "Rab", yang bermakna "Tuhan", sebagaimana ayat pertama yang diturunkan bermaksud, "Bacalah dengan nama Tuhanmu..." bukan "Bacalah dengan nama Allah..."

Dalam dunia penerbitan buku-buku agama, tersangat kurang buku-buku yang ditulis sesuai dengan ciri-ciri Fasa Mekah  -  yakni buku-buku tentang agama Islam yang ditulis bagi bacaan orang-orang bukan Islam. Pada masa ini buku-buku yang memenuhi rak-rak agama adalah buku-buku yang sesuai bagi dakwah Fasa Madinah  -  yakni buku agama untuk bacaan orang-orang yang sudah Islam.

Kita mengajak pakar-pakar agama kita, baik pakar akidah, pakar Quran, pakar hadis, pakar sejarah Islam, pakar ketatanegaraan Islam, pakar undang-undang Islam, pakar ekonomi Islam, pakar psikologi Islam, pakar pengurusan Islam dan lain-lain, supaya menulis buku-buku dalam bidang masing-masing, yang ditulis khusus menggunakan strategi dan teknik dakwah Fasa Mekah, yakni buat bacaan orang-orang bukan Islam.

Islam di negara ini wujud dalam masyarakat berbilang agama. Islam perlu diterangkan kepada orang-orang bukan Islam, supaya mereka bersikap lembut terhadap pelaksanaan sistem-sistem Islam. Apabila mereka sudah faham Islam, mudah-mudahan mereka menerima Islam. 

Dakwah Fasa Mekah tidak pernah berakhir. Di mana ada orang-orang bukan Islam, di situ dakwah Fasa Mekah diperlukan. PTS adalah sebuah rumah penerbitan yang didedikasikan bagi memikul tanggungjawab berat ini.

Kita mengajak, marilah berganding bahu menjadi pendukung dakwah Fasa Mekah. 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(4) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Ada-ada sahaja: Kisah gerabak LRT kosong Previous entry: Buku Ini Dipesan 1092 Naskhah oleh PNM
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  12/28  at  12:26 AM

Assalamualaikum,

(Sedang bertafakur di Masjid Pts)

Syahrul  on  12/28  at  03:42 AM

Saya tiada ijazah dalam pengajian Islam.
Tetapi rasa terpanggil menulis buku-buku terutama untuk Fasa Mekah.

Apa penerimaan orang awam nanti?

.(JavaScript must be enabled to view this email address)

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  12/28  at  03:49 AM

Tuan Syahrul,

Mereka yang lulus fakulti pengajian Islam lebih suka menulis buku-buku Fasa Madinah, kerana memang buku Fasa Madinah lebih mudah ditulis. Tidak perlu datang kursus pun sudah dapat menuliskannya.

Tinggallah orang macam saudara, yang biarpun terkial-kial, tetap berusaha menulis buku-buku Fasa Mekah.

Mujur masih ada sekumpulan kecil lulusan fakulti pengajian Islam yang bersedia membantu dan sering memberi kita perangsang, supaya teruskan bekerja di jalan yang sukar ini.

Firdaus  on  12/28  at  04:17 AM

Saya dan rakan-rakan juga sedang mengusahakan satu buku dakwah fasa Mekah. Alhamdulillah, ada input dari pensyarah dalam bidang dakwah di UIA. Beliau telah memberi maklum balas bernas tentang soalan-soalan yang diutarakan.

Tetapi yang saya tidak boleh lupa ialah sebaik sahaja beliau habis membaca kertas cadangan itu sepintas lalu, beliau bertanya; “Kamu orang Indonesiakah?”

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.