Saturday, September 30, 2006

Teknik Me-Remix Buku Lama

Berapakah jumlah judul backlist saudara bagi buku-buku yang serupa temanya? 2, 3 ataupun berapa? Lebih banyak judul backlist saudara, lebih mudah dan lebih cepat saudara dapat menghasilkan buku baru saudara dengan cara remixing.

Remixing ini dapat dianologikan seperti orang bermain daun terup. Daun terup itu banyak. Dikocok-kocok... dan zas! Lihat, kombinasi baru!

Nama "Kang Razzi Armansur" sudah menjadi brand dalam bidang motivasi keusahawanan sektor MLM dan beliau mempunyai berbelas-belas backlist dalam bidang bisnes MLM, justeru beliau dapat dengan mudah menghasilkan judul-judul buku baru dengan meremix bahan-bahan dalam buku backlistnya.

Proses menghasilkan buku remix adalah sebagaimana yang diterangkan di bawah. Kita ambil kes Kang Razzi sebagai contoh:

Langkah 1: Cipta judul buku baru. Contoh: "Networking Sebagai Modal Kekayaan". Langkah ini wajib dibuat dulu. Jika saudara tidak ada judul buku baru itu, saudara tidak dapat melakukan langkah 2 dan seterusnya.

Langkah 2: Buka dan baca buku-buku lama saudara. Ambil semua bahagian yang ada kaitan dengan (a) Networking, (b) Modal, dan (c) Kekayaan.

Langkah 3: Kumpulkan dalam 1 folder.

Langkah 4: Susun bahan-bahan itu sebagai deraf alfa buku "Networking Sebagai Modal Kekayaan".

Langkah 5: Kalau bahan belum cukup untuk 1 buku, tengok balik kandungan dalam buku-buku lama saudara itu dan cari apa lagi yang dapat dikaitkan dengan tema buku "Networking Sebagai Modal Kekayaan".

Langkah 6: Fikirkan maklumat-maklumat tambahan yang perlu saudara tulis sebagai tambahan supaya kandungan buku itu lengkap bagi kegunaan pembaca. Sebagai contoh (a) definisi apa itu networking, (b) jenis-jenis networking, (c) tip-tip menjalin networking, (d) memilih target networking, (e) pantang larang dalam menguruskan jaringan networking, (f) wanita dan networking, dan banyak lagi.

Langkah 7: Mula lakukan re-editing, tokok dan buang, bahan-bahan lama supaya dapat di-retailor dengan keperluan buku baru.

Cuba saudara beli buku-buku Sifu seperti tajuk di bawah, dan saudara dapat melihat contoh jelas bagaimana remixing dilakukan:

1. Komunikasi Intim
2. Komunikasi Interpersonal untuk Guru
3. Komunikasi untuk Pemimpin
4. Komunikasi di Tempat Kerja
5. Komunikasi untuk Pendakwah
6. Seni Bercakap-cakap dan Berbual-bual
7. Teori dan Teknik Ucapan Berpengaruh
8. Menyelesaikan Masalah dalam Hubungan Peribadi
9. Berunding
10. Teori dan Teknik Motivasi di Tempat Kerja
11. Guru Sebagai Pendorong dalam Bilik Darjah

Setiap judul buku di atas sudah diulang cetak berkali-kali. Sudah ada judul-judul yang terbit dalam edisi paperback, yang itu pun sudah diulang cetak. Justeru, apa hairannya apabila saya katakan sesetengah ayat saya sudah terjual lebih 150 ribu kali? (sebenarnya lebih!)

Cuba saudara analisis kandungan buku-buku saya di bawah siri "BERFIKIR" dan begitu juga siri kamus-kamus "PERIBAHASA" saya (termasuk edisi kamus-kamus elektroniknya, dan edisi yang dilesenkan ke MIMOS).

Kuat bekerja tidak cukup! Banyak orang kuat bekerja, dari Subuh sampai Maghrib, malah sampai jauh malam, tetapi pendapatan mereka tidak setimpal dengan tenaga yang dicurahkan.

Lebih penting daripada kuat bekerja adalah lakukan kerja itu dengan cara-cara yang betul, supaya kerjanya tidak teruk, dan perolehannya tinggi.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Sains Penulisan
(10) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Kejayaan Sebagai Penulis: Bakat ataupun Minat? Previous entry: Optimisme dan Pesimisme: Prinsip Surah Yusuf
Ainon Mohd.  on  09/30  at  02:53 AM

Kepada Tan Sri Kang Razzi, diharap tuan puas hati dengan entri ini!
——-

alang bidara  on  09/30  at  03:45 AM

“KERJA PINTAR vs KERJA KUAT” atau [“WORK SMART” vs “WORK HARD”], ye Sifu?

Kang Razzi  on  09/30  at  03:54 AM

Assalamualaikum… Uwalah Mbakyu… Isin aku, hehehe… Terima kasih sebanyak-banyaknya atas tip, pengalaman dan strategi remix yang sangat menguntungkan semua pihak ini. Sebelum ini saya dan ramai lagi penulis baru dan lama yang tidak tahu kaedah remix. Jangankan kaedah, kewujudannya pun tidak diketahui.

Itulah yang saya kata, betapa ruginya penulis dan juga usahawan yang tidak melawat ke Universiti PTS untuk mendapatkan berbagai-bagai ilmu PERCUMA dari Pengasasnya sendiri. Juga, betapa ruginya ‘penulis ego’ yang enggan belajar lagi—mana ada dalam dunia ini ‘eksport’ saja tanpa ‘import’? Mana ada kedai runcit yang hanya menjual tanpa membeli?

Mbakyu, mohon pendapat Mbakyu—biasanya penulis lebih menumpukan pada penulisan dan kurang atau tidak memberi perhatian kepada isu-isu teknikal penerbitan, kalau remix ini dikatakan lebih kepada teknikal penerbitan. Pada pendapat Mbakyu, proses remix ini bolehkah dibuat oleh—misalnya satu jabatan khusus di PTS? Ramai penulis handalan, mempunyai lebih dari 5 backlist bernaung di bawah PTS. Setiap remix dikenakan bayaran tertentu (misalnya tolak dari royalti).

Sekali lagi, terima kasih sebanyak-banyaknya kepada Mbakyu. Moga Allah SWT terus mengurniakan kekuatan dan kelebihan kepada Mbakyu untuk meneruskan bakti mendidik menyalurkan ilmu.

Ainon Mohd.  on  09/30  at  04:15 AM

Tan Sri Kang Razzi,

Kerja-kerja me-remix buku adalah kerja kepakaran oleh itu pe-remix perlu mempunyai pengetahuan dalam bidang buku yang hendak di-remix itu. Tuan takkan dapat me-remix buku-buku saya!

Salah satu tingkah-laku orang yang melihat dirinya sebagai seorang ‘pakar’ adalah mereka hanya mahu menghasilkan bukunya sendiri.

Dari sudut tekniknya, buku-buku yang ditulis menggunakan KJ METHOD lebih mudah diremix (oleh orang lain yang pakar bidang). Tetapi buku-buku yang ditulis menggunakan kaedah penulisan tradisional hanya dapat diremix oleh pengarang asalnya sahaja.

Ainon Mohd.  on  09/30  at  06:34 AM

Sdr Alang, saya kurang berminat menggunakan frasa WORK SMART sebab ada semacam sangkaan frasa itu mengatakan pakai otak sahaja sudah cukup.

Kerja pakai otak sahaja tidak cukup!

Banyak orang yang pintar tetapi dalam kehidupan tidak jauh perginya sebab mereka tidak suka bekerja keras! Ada orang dapat kelas 1 di universiti, tetapi dia makan gaji sampai bersara.

Ada orang tidak dapat kelas 1, tetapi mereka kuat bekerja, akhirnya banyak orang pandai (akauntanlah tu!) yang terpaksa diambil bagi menolong dia mengira duitnya.

Kita mesti guna otak dan kerja keras, barulah perolehan kita melebihi keperluan. Jika tidak, ada PhD pun duit tak pernah cukup, hendak hantar balik kampung RM500 sebulan pun berkira-kira!

alang bidara  on  09/30  at  07:04 AM

Em, nampaknya saya mesti kerja keras untuk siapkan sinopsis jibunsyi itu tanpa melupakan Travelogue.

Kuat berfikir dan keras kerja, saya akan cuba Sifu…

Ainon Mohd.  on  09/30  at  10:48 AM

Sdr Alang, betul begitu! Ikut Sifu, kuat berfikir dan kerja keras. Menulis, bisneswoman, mentor, up-date web hari-hari, jaga Orang Asli, pergi hospital jaga ibu hari-hari… Janji Tuhan, “Kamu dapat apa yang kamu usahakan.” Tapi banyak orang Melayu yang pandai2, sekolah sampai hujung dunia, bercita-cita hendak kerja kerajaan, tak mahu kerja swasta sebab katanya swasta kerja teruk, dan tak terjamin. (Macamlah jaminan rezeki datang dari kerajaan.) Sekolah tinggi-tinggi kemudian tidak mahu kerja keras. Sudah dapat kerja kerajaan yang tidak teruk tu, yang terjamin tu, kemudian dia komplain pulak katanya gaji kerajaan rendah. Tapi dia tahu bahawa 9 daripada 10 pintu rezeki dibukakan bagi mereka yang berniaga (kerja swastalah tu!). Sah mereka ni confuse, mereka hendak semua, tapi tidak sanggup kerja keras. Yang confuse tu orang pandai-pandai pulak tu…. Hmmm…. ini yang saya rasa nak jadi motivator semula!

Along_Safa  on  09/30  at  01:16 PM

Pertama kali saya masuk ke laman web ini, saya merasakan ada sesuatu daya tarikannya. Walaupun laman web ini tidak ada gambar kelip-kelip, tidak ada pengunjung yg ramai, tidak ada rekabentuk yg menarik, namun, ada satu perkara yang membuatkan saya terpana dan memaksa saya untuk menerokainya secara keseluruhan….

Saya membaca entri teratas ini, disusuli entri2 di bawahnya, saya merasakan ini adalah gedung ilmu bagi seseorang yang inginkan kejayaan melalui penulisan. Mungkin saya boleh menulis, tapi saya belum mampu untuk berjaya. Belum mampu bukannya tidak mampu!

Terima kasih Tan Sri Tun Haji Kang Razzi Armansur yang sering juga menasihati saya untuk berkarya dan menulis dan mempromote web ini juga. Insyallah saya cuba usahakan yang terbaik.

Terima kasih Mbakyu!

Ainon Mohd.  on  09/30  at  09:31 PM

Sdr Along-Safa,

Saya petik kata-kata sdr, “Mungkin saya boleh menulis, tapi saya belum mampu untuk berjaya. Belum mampu bukannya tidak mampu!”

Ayat yang saya petik itu adalah ayat yang mencipta kegagalan bagi diri saudara.

Jangan sekali-kali kita menggunakan ayat-ayat yang mengandungi sikap tidak mahu membuat komitmen kepada diri sendiri.

“Mungkin saya…...” (SALAH)
“Belum mampu…..” (SALAH)

Ayat-ayat yang kita gunakan bagi menerangkan siapa diri kita, ayat-ayat itu semua mencipta realiti!

Ayat self-description adalah doa2 yang kita ucapkan ke atas diri kita sendiri. Apabila kita mengatakan kita “belum mampu….” itulah doa kita, maka sampai bila-bila kita “belum mampu”. Itulah realiti yang kita doakan ke atas diri kita sendiri, maka itulah yang dikabulkan.

Hati-hati apabila kita mengucapkan kata-kata self-description. Gunakan self-description yang positif dan komitted kepada kejayaan sahaja. Ingat! Itu adalah doa!!!

Along_Safa  on  10/01  at  02:07 PM

terima kasih!

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.