Thursday, December 30, 2010

Tip Survival Penerbit: Pasaran Novel Cinta Islami

PTS Litera Utama Sdn Bhd adalah penerbit yang tekun meneroka pasaran novel-novel cinta Islami. Sehingga saat ini ia sudah menerbitkan lebih 50 judul, namun jualan setiap judul masih rendah dibandingkan dengan jualan novel-novel cinta popular.

Ada 2 sektor pasaran yang dijadikan target novel-novel cinta Islami PTS:

(i) Pasaran perempuan muda yang ala-ala ustazah dari sudut nilai hidup mereka.

Antara ciri-ciri golongan ini: Mereka mempunyai pendidikan agama formal dan informal yang baik, meminati lagu-lagu nasyid, mendengar radio IKIM, memakai tudung labuh dan baju longgar.

Mereka memang tidak membeli dan membaca novel-novel cinta popular disebabkan mereka mempunyai anggapan negatif terhadap novel-novel cinta itu.  Mereka percaya novel-novel cinta popular tidak meninggalkan pengaruh murni ke atas minda pembaca.

Pada masa ini, golongan inilah yang menjadi pembeli utama novel-novel cinta Islami PTS. Mereka membeli kerana mereka melihat judul dan desain kulit novel-novel cinta Islami itu amat Islamik, lalu mereka yakin cerita dalam novel-novel itu selaras dengan nilai-nilai mereka.

Bagi meyakinkan golongan ini bahawa novel-novel cinta PTS itu benar-benar Islamik, desain kulitnya menggunakan:

(a) Perkataan agamawi yang dipinjam daripada bahasa Arab, seperti tasawuf dan hakikat, dan

(b) Lambang-lambang agama seperti masjid, kopiah, tasbih dan baju tok.

Tetapi, saiz pasaran sektor ini tidak cukup besar bagi menghasilkan jualan tinggi.

(ii) Pasaran perempuan muda yang sudah banyak membaca novel-novel cinta popular dan sudah berasa jemu dengan cerita cinta yang 'serupa' sahaja.

Peminat novel-novel cinta popular akan sentiasa ada. Mereka adalah golongan muda remaja.

Apabila mereka sudah berkahwin dan mempunyai keluarga, mereka menukar  bahan-bahan bacaan mereka sesuai dengan keperluan menjadi isteri dan ibu, seperti buku-buku panduan penjagaan kesihatan semasa hamil, buku parenting dan lain-lain judul seperti itu.

Bagi peminat novel cinta popular yang lambat berumah tangga, apabila usia mereka sudah lebih dewasa, mereka cenderung mencari bahan bacaan ringan yang lebih sesuai dengan kedewasaan mereka. Golongan ini berpotensi beralih kepada membaca novel sastera yang lebih serius, ataupun kepada novel-novel cinta Islami PTS.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: TOP 50 Judul Kreatif Dewasa (1 Januari - 31 Disember 2010) Previous entry: Ciri-Ciri Buku Kanak-Kanak dan Prasekolah yang Bermutu Tinggi

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.