Thursday, July 27, 2006

Terjemahan Sasterawan Waras

Dewa mana yang bikin mereka sengit bersengketa?

Apollo, Putera Zeus bersama Leto.


Dia mengirim bala celaka kepada tentera,

kerana marah kepada Sang Raja - maka manusia

diragut maut selepas Agamemnon

menolak rayuan Pendita Apollo.


Kraises mendatangi kapal perang Akia,

mahu menebus anak perempuannya,

membawakan hadiah tak ternilai,

dan menjulang tinggi tongkat emas

berikatkan pita Dewa Pemanah dari jauh.


Si bapa merayu kepada tentera Akia,

merafak sembah kepada kedua jeneral, Putera Atreus:


"Agamemnon, Menelaus dan orang Argos yang berhati waja!

Moga Dewata di Kayangan memberikan kalian

kota Priam bagi ditakluki,

kemudian tuan-tuan selamat pulang.

Cuma, kembalikan puteri buah hatiku.

Nah! Terimalah hadiah dan tebusan ini.

Muliakan Apollo, Putera Zeus, dewa yang memanah dari jauh!"


Namun hati Agamemnon jengkel,

si raja itu mengusir Sang Pendeta dengan herdikan:


"Orang tua! Jangan kulihat lagi bayang-bayangmu di kapal ini.

Sekarang, jangan merayau-rayau.

Esok, jangan datang lagi.

Tongkat dan pita Dewa tidak akan menyelamatkan kamu.

Anak perempuanmu? Aku tidak akan lepaskan.

Dia akan bersamaku, menjadi tua di rumahku, di Argos,

yang jauh dari rumah bapanya.

Akan kujadikan abdi, keluar masuk bilik menenun.

Akan kupaksa tidur di sisiku.

Kau berhambus sekarang!

Jangan menggoda marahku, kalau kau mahu hidup."


Terjemahan puisi Homer dalam karya agungnya

The Illyad, oleh Tuan Khalid Jaafar


.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Terjemahan
(3) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Terjemahan: Stail Natural Previous entry: Novel Realiti
Roslili  on  07/28  at  12:49 AM

Bahasa Melayu dalam puisi ini amat indah. Berkali-kali saya ulang-ulang membacanya.
——-

pena utara  on  07/28  at  10:25 AM

Tahniah kepada penterjemah puisi Yunani ini. Homer sasterawan agung, dan terasa agungnya Homer dalam versi Melayu ini. Saya setuju Puan Ainon menilai terjemahan ini sebagai terjemahan agung!

Kak Wan  on  07/28  at  01:37 PM

Tahniah kepada Tuan Khalid Jaafar. Saya kagum dengan keindahan bahasa puitis tuan. Sudah lama saya tidak membaca Bahasa Melayu yang indah-indah. Di manakah saya boleh membeli karya ini?

Saya ingin bertanya, kenapa susunan puisi ini lain antara blog Puan Ainon dan blog Tuan Khalid? Susunan dalam blog Puan Ainon lebih mudah dibaca.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.