Saturday, September 26, 2009

Testimonial dari Blog Orang Besar Lagi Terkenal

Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim, Pengarah UiTM Segamat menulis dalam blog beliau seperti di bawah:

PTS menerbitkan karya Ibnu Qayyim bertajuk Bahagiakan Hati Mu. Puan Ainon memetik tulisan Ibnu Qayyim berkaitan dengan airmata. Tulisan beliau di sini seperti berikut:

Ibnu Qayyim adalah salah seorang pakar psikologi Islami yang sangat terkenal. Beliau lahir hampir 800 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1292 Masehi di kota Damsyik, Syria. Sebagai contoh, menurut Ibnu Qayyim, tingkah laku menangis dapat dikategorikan ke dalam 10 jenis tangisan:

a. Air mata yang tercetus oleh emosi kasih sayang, dan hati yang lembut.
b. Tangisan yang disebabkan oleh perasaan amat takut.
c. Air mata yang disebabkan oleh rasa cinta.
d. Air mata gembira.
e. Tangisan yang disebabkan oleh penderitaan.
f. Air mata kesedihan.
g. Air mata yang mengalir disebabkan diri berasa lemah dan hina.
h. Air mata belas kasihan.
i. Menangis kerana terikut-ikut orang lain menangis.
j. Tangisan hipokrit, yakni pura-pura.

Saya cuba-cuba mengingati jenis-jenis tangisan yang pernah saya lalui. Saya menitiskan airmata apabila dikhabarkan yang ayah telah pergi buat selama-lamanya. Ketika itu saya dalam perjalanan pulang daripada majlis Minggu Suai Kenal pelajar baru di UiTM Sarawak. Saya memberhentikan kenderaan dan membiarkan air mata mengalir.

Air mata saya juga mengalir ketika pasukan Kesatria UiTM Johor melakukan pembarisan hormat di awal-awal kedatangan saya sebagai Pengarah Kampus. Saya terfikir: “Adakah mereka sudah melakukan solat asar?”. Saya tidak nampak mereka di masjid dan masa di antara solat asar dan pembarisan mereka tersangat hampir. Saya bertekad untuk melakukan sesuatu.

Hampir setiap malam - selama setahun - saya menangis kerana takutkan Allah tidak menerima kedatangan saya di Mekah dan Madinah. Saya rasa lemah dan hina kerana tidak pandai membaca Al-Quran, tidak tahu berdoa dalam bahasa Arab dan ketika merayu-rayu supaya Allah menjadikan saya sebagai tetamu yang paling istimewa.

Saya pernah menitiskan airmata merasai pengorbanan Roza sebagai seorang isteri yang benar-benar bersabar dengan tingkah-laku saya terutamanya ketika saat-saat sebelum menunaikan fardhu haji.

Pagi ini, air mata saya mengalir ketika berjaya membaca surah 284-286 Al-Baqarah pada rakaat pertama menjadi imam subuh. Saya rasa sebak melihat makmum daripada Bahagian Keselamatan yang sentiasa menghidupkan Masjid As-Syakirin pada musim cuti kali ini.

Saya tidak pernah menitiskan air mata ketika menerima surat-surat layang. Kali ini saya menangis, bukan kerana surat tersebut tetapi apabila Tan Sri Naib Canselor menyebut: “Mil, youlah orang yang paling saya percaya dalam UiTM…….”. Saya percaya begitu tetapi ia tidak pernah terucap. Selepas 20 tahun berkhidmat, saya sangat terharu dengan kata-kata spontan yang keluar daripada bibir beliau.

Saya mengalirkan air mata apabila melihat Kaabah buat kali pertama.

Saya mengalirkan air mata setiap kali berdoa di Mekah dan Madinah. Menangis teresak-esak apabila berjaya khatam A-Quran buat pertama kali. Air mata mengalir ketika mengusung jenazah di Madinah.

Saya pernah menangis kerana “ikut-ikut” orang menangis dalam satu kursus motivasi.

“Tahniah, Dr Ibrahim,” kata Alex Russell selepas tamat VIVA PhD. Saya tidak menangis. Namun saya mengalirkan air mata ketika majlis konvokesyen. Ketika itu kesemua graduan berdiri, bertepuk tangan dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang tersayang. Saya terharu melihat Roza, Sara dan Amirul berada di antara barisan hadapan tetamu yang hadir.

Seingat saya, saya tidak menitiskan air mata kerana berpura-pura terhadap sesuatu. Bagaimanapun saya menitiskan air mata mengenangkan bagaimana orang berpura-pura melakukan sesuatu kerana saya. Emmmm…..

Air mata bukanlah boleh dipaksa-paksa. Air mata saya sentiasa mengalir ketika menyampaikan syarahan yang berkait rapat dengan perjalanan hidup. Ia kekal begitu kerana setiap kali bercerita, emosi saya seolah-olah berada pada ketika dan saat tersebut.

Pernahkah anda menangis atau mengalirkan air mata? Di bahagian mana air mata itu tumpah?

Saya akan mencari dan membeli buku ini.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Saya Membentangkan Kertas Kerja Previous entry: AHAD 18 Oktober 2009: Bengkel Penulisan Novel Menggunakan Teknik Surah Yusuf
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  01/07  at  03:29 AM

wah membaca komen Dr. Kamil dah rasa nak mengalir air mata

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.