Thursday, February 21, 2008

Khutbah Jumaat PTS: Tidak Menulis Buku Melayu Sebab Berfikir dalam Bahasa Inggeris

Nabi Muhammad (salam dan selawat untuk beliau, untuk anggota keluarga beliau, dan untuk sahabat-sahabat beliau), apabila beliau berfikir, beliau berfikir dalam  bahasa ibundanya, yakni bahasa Arab.

Meskipun beliau hidup pada zaman kegemilangan empayar Rome dan empayar Parsi yang merupakan 2 kuasa dunia waktu itu, manakala bahasa Latin dan bahasa Parsi adalah bahasa ilmu, namun Nabi Muhammad berfikir menggunakan bahasa Arab, padahal waktu itu bahasa Arab bukan bahasa ilmu, bukan bahasa antarabangsa.

Dalam sejarah Zaman Emas Islam, para ilmuan dan cendekiawan Islam, para saintis, ahli astronomi, ahli kimia, ahli matematik, arkitek, jurutera, doktor dan lain-lain, mereka berfikir dalam bahasa ibunda mereka dan berkarya dalam bahasa yang sama. Mereka membangunkan tamadun sains dan teknologi dengan tidak berfikir dan menulis dalam bahasa-bahasa asing.

Kita berkali-kali mendengar orang Melayu yang terpelajar, yang ingin menulis buku, berkata begini:

"But... I can't write in Malay."

"But... My Malay is not good."

"But... My problem is, I think in English."

"But... I am English educated." 

Kata-kata seperti itu diucapkan oleh individu-individu Melayu yang berpelajaran tinggi, yang melihat dirinya sebagai lebih pintar daripada mereka yang tidak fasih bahasa Inggeris, yang moden, yang tinggal di bandar-bandar utama, yang berjawatan tinggi, yang membaca buku-buku Inggeris, yang menyatakan minatnya mahu menulis buku, tetapi bahkan mereka itu tidak mampu menulis buku, baik dalam Bahasa Melayu mahupun dalam Bahasa Inggeris.

Fenomena ini adalah suatu paradoks: Mengapakah, dan apakah faktor-faktor yang menyebabkan mereka yang mengaku bahasa Inggerisnya baik itu tidak juga mampu menghasilkan karyanya dalam bahasa Inggeris, jangankan dalam Bahasa Melayu.

Dalam sejarah manusia, tidak ada mana-mana tamadun yang dibangunkan oleh bangsa-bangsa dengan menggunakan bahasa asing.

Sehingga hari ini pun kita dapat melihat bagaimana bahasa-bahasa besar dunia, sebagaimana halnya bahasa-bahasa Sepanyol, Perancis, Inggeris, Jerman dan Rusia, gagal membangunkan tamadun di mana bahasa-bahasa itu dipinjam oleh golongan berpelajaran di kalangan bangsa-bangsa bekas jajahannya.

Maka, kita mengajak golongan terpelajar Melayu kembali kepada tradisi linguistik yang diajarkan oleh Nabi Muhammad, dan kembali berfikir dalam Bahasa Melayu.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Khutbah Jumaat
(3) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: TV BERNAMA Previous entry: Radio IKIM akan Bantu Promosikan Novel Syariah-Compliant
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/21  at  11:48 PM

Assalamualaikum wbt.,

Saya pernah terbaca bahawa Pak Arena Wati yang berasal dari Makasar, Indonesia, berfikir dalam bahasa ibundanya sebelum dituliskan dalam bahasa Melayu.

Sekian.

sab2  on  02/23  at  09:50 AM

Puan Sifu,
assalamu’alaikum.

Terima kasih kerana menyediakan n3 ini, yang juga menjadi permohonan saya melalui email kepadada Puan berhubung n3 ‘virus fikiran’ [http://sab2.blogspot.com/2008/02/virus-fikiran.html]

Mohd Nadzrin Wahab  on  02/24  at  04:28 AM

Salam UNIKA,

Marilah kita menyahut saranan SifuPTS. Tidak mustahil ia dijayakan. Saya tahu, kerana saya sendiri begitu tidak lama dahulu.

Maklumat peribadi sendiri:
-Berketurunan India-Melayu-Parsi di sebelah ayah, Yaman-Acheh-Sri Lanka-Portugis di sebelah ibu, dibesarkan berbahasa Inggeris sebagai bahasa utama tetapi berbudaya Melayu.

-Dididik di sekolah bandar raya di kalangan anak-anak kaya yang tiada kemahiran berbahsa ibunda. (Hanya kemahiran berbahasa Inggeris saya yang memudahkan berkawan dengan mereka, tetapi kemampuan keluarga tetap di bawah paras mewah).

-Berfikir di dalam Bahasa Inggeris sepenuh masa.

-Prejudis terhadap bahasa dan bangsa Melayu kerana pelbagai gejala sosial yang disaksikan sendiri.

-Mula bercinta dengan Bahasa Melayu ketika Tingkatan 4, dibantu sahabat jati Melayu, Mohd Razee Mohd Salleh dan guru kelas Puan Azniza, akhirnya melonjak dari gred F9 ke A1 dalam kertas Bahasa Melayu SPM.

-Menulis cerpen dan novel berbahasa Inggeris untuk kepuasan diri mulai umur 12 tahun.

-Cubaan menulis cerpen dan novel berbahasa Melayu untuk kepuasan diri mulai umur 17 tahun.

-Bercinta dengan budaya Melayu menerusi Silat Melayu dengan bantuan guru-guru silat saya dan mentor-mentor budaya.

-Menjadi wartawan dan editor majalah SENI BELADIRI dari 1999-2004 dan menulis sepenuhnya dalam Bahasa Melayu.

-Kini menjadi penulis dwibahasa, berfikir dalam dua bahasa serentak, mengikut pembaca sasaran.

Pada saya, bagi memenangi hati puak-puak yang menganaktirikan Bahasa Ibunda sendiri, kita perlu menyelami sebab-musabab asal yang menjadikannya begitu.

Ada seorang sahabat yang nekad tidak mahu menonton filem Melayu disebabkan terlalu kecewa dengan bangsanya yang tidak mahu berubah sikap pembohong dan hasad. Saya tidak salahkannya, kerana beliau hanya sempat bergaul dengan orang Melayu yang sebegitu. Tetapi, terdapat ramai lagi peribadi tinggi yang belum ditonjolkan untuk menjadi ikon umum.

Sebelum kita memaksa mereka menggunakan Bahasa Melayu, berikan mereka sebab yang boleh diterima hati.

Pada saya, akal sesuatu yang cukup dangkal kerana apa-apa keputusan tetap ia rujuki hati jua. Akal hanya boleh menghampirkan kita kepada kebenaran, tetapi hati yang menerimanya dengan redha.

Dalam kajian kes diri saya, Allah mentakdirkan saya jatuh cinta dengan bahasa dan budaya Melayu dahulu. Mungkin kaedah ini boleh diguna pakai kepada ramai lagi sasaran.

Dalam pemerhatian saya, kebanyakan kaedah PTS pula menggunakan pendekatan pembinaan wibawa (penulis bernama besar, penggunaan Bahasa Melayu Tinggi, kaedah kawalan mutu terperinci, dan lain-lain) bagi menarik minat karyawan (bak kata orang Singapura dan Indonesia) untuk menulis dalam bahasa Ibunda mereka.

Harap maaf jika ada yang tersinggung. Hasrat diri hanya mendukung. Jika buah dokong menjadi harapan, silalah ke rumah, insyaAllah ada tersedia.

Salam persilatan,

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.