Tip Buat Pengarang (yang ‘ter’ingin) Berpoligami
Sebelum tuan membaca entri ini, baca kisah poligami bertajuk Strategi Tujuh Bahagian ini dahulu.
Adakah saudara seorang pengarang? Berapa ribukah pendapatan saudara daripada royalti buku-buku saudara? (Beberapa orang pengarang PTS sudah mula menerima royalti lebih RM70 ribu setahun.)
Karya-karya saudara adalah harta. Cuma nama harta itu adalah HARTA INTELEK. Manakala harta-harta lain seperti tanah, rumah dan kereta disebut dengan istilah 'harta' sahaja.
Harta intelek tetap harta. Apabila seseorang itu mengarang buku-bukunya semasa dia sedang berkahwin dengan pasangannya, maka karya-karya itu bertaraf harta sepencarian juga.
Jangan terkejut: Pendapatan royalti daripada karya-karya saudara itu boleh dimasukkan ke dalam tuntutan pembahagian harta sepencarian yang dikemukakan oleh pasangan saudara.
Kalau saudara lelaki, bekas isteri saudara boleh menuntut bahagian harta sepencariannya ke atas royalti saudara. Kalau saudara perempuan, bekas suami saudara pun boleh menuntut bahagiannya juga.
Jadi, kalau tidak mahu berkongsi royalti setiap tahun dengan bekas pasangan, jangan bercerai-berai. Tetapi kalau isteri tidak mahu bermadu dan berkeras mahukan perceraian, isu buku saudara sebagai harta sepencarian tetap akan timbul.
Bagi saudara yang bertuah kerana isteri-isteri saudara sanggup bermadu, saudara boleh menghadiahkan harta intelek saudara kepada isteri-isteri saudara supaya apabila saudara wafat, mereka tidak bergaduh berebut royalti saudara.
Kepada isteri tua, hadiahkan hakcipta buku pertama saudara. Kepada isteri muda, hadiahkan hakcipta buku kedua saudara. Tetapi ini pun tidak menjamin mereka puas hati. Buku kedua mungkin lebih laku dan lebih evergreen daripada buku pertama....
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment