Tip Menulis Emel kepada Penerbit
Jabatan editorial di mana-mana syarikat penerbit menerima banyak surat-surat emel dari individu yang mahu menjadi penulis, penterjemah, editor, ilustrator dan lain-lain.
Banyak penulis emel tidak menulis dengan teliti dan berhati-hati. Mereka tidak menggunakan dengan betul (a) sistem ejaan, (b) tanda bacaan, (c) tatabahasa serta (d) adab sopan berbahasa. Akibatnya apabila emel mereka dibaca ia menyebabkan orang yang menerima emel itu mendapat persepsi negatif berkenaan si penulis emel itu, lalu tidak dijawab (serupa dengan surat kertas yang dibuang ke dalam bakul sampah sahaja).
Surat-surat yang kita tulis adalah duta peribadi kita.
Apabila seseorang itu menghantar surat emel, dia juga menghantar banyak maklumat berkenaan (a) mutu penguasaan bahasanya, (b) taraf intelektualnya, (c) sikap-sikap positif dan negatifnya, dan (d) ciri-ciri personalitinya.
Oleh itu, bagi mendapatkan respons positif, emel yang ditulis perlu menghantarkan maklumat-maklumat yang positif sahaja berkenaan diri kita.
Sebagai contoh, apabila seseorang memohon kerja sebagai editor freelance, tetapi dia menulis emel yang menunjukkan dia tidak fasih menggunakan tanda-tanda bacaan yang betul (contohnya, selepas noktah, ayat hendaklah dimulakan dengan menggunakan huruf besar), maka emel seperti itu menunjukkan dia tidak layak diterima menjadi editor.
Perbuatan menulis emel yang buruk adalah serupa dengan seseorang ingin menjadi penyanyi lalu dia mengirimkan rakaman suara nyanyiannya kepada syarikat penerbit muzik, sedangkan dalam rakaman itu dia melakukan kesilapan-kesilapan yang sangat asas dalam nyanyiannya.
NOTA: Ada saranan supaya penulis emel yang buruk bahasanya diterima juga bekerja dengan cara penerbit memberi latihan, tetapi syarikat-syarikat penerbitan bukan sekolah yang mengajar bahasa. Penerbit sentiasa menerima banyak permohonan, justeru mereka akan memilih calon yang terbaik sahaja, kerana calon-calon yang terbaik dapat meringankan beban penerbit, bukan yang menambahkan beban kerja, masalah, serta menaikkan kos.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment