Sunday, July 26, 2009

Tip Survival Penerbit Buku: Jaga Hutang, Jaga Hutang, Jaga Hutang….

Selama 9 tahun PTS beroperasi, jumlah hutang dari kedai-kedai buku indie yang gagal dikutip dan sudah menjadi hutang lapuk adalah lebih RM400 ribu, yakni hampir setengah juta ringgit!

Banyak penerbit gagal bertahan bukan disebabkan buku-buku mereka tidak laku, tetapi disebabkan mereka gagal mengutip hutang. Jadi, buku laku, setor kosong, tetapi duit dalam bank pun kosong. Jikalau anggota lembaga pengarah PTS tidak cukup kuat mengepam duit baru bagi dijadikan modal tambahan, sudah lama PTS gulung tikar.

Di PTS, kita mempunyai 2 orang pegawai pengawal kredit (credit controller) yang tiap-tiap hari kerjanya adalah mengutip hutang yang sudah matang tempoh kreditnya. Mereka adalah Puan Khalilah Mad dan Puan Halimahton Abd. Rahman.

PTS sedang dalam proses mengambil seorang lagi pegawai bagi meningkatkan kecekapan kerja-kerja mengutip hutang.

Tugas mengutip hutang adalah amat mudah bagi pelanggan korporat seperti MPH, Popular dan Kinokuniya. Yang menjadi sukar adalah mengutip hutang daripada kedai-kedai buku indie, disebabkan mereka cenderung membayar secara berdikit-dikit. Istilah yang digunakan adalah mereka akan 'tarik' hutang kita selama tempoh yang boleh.

Tidak semua agen dan kedai buku indie suka menarik hutang kita lama-lama. Dalam senarai pelanggan PTS ada beberapa kedai yang sangat elok disiplin membayar hutangnya, seperti syarikat Badan Cemerlang, Pustaka Azhar dan kiosk buku Sabar RM di Bangi.

Beberapa faktor yang mendorong agen-agen pengedar dan kedai-kedai liat membayar hutang adalah:

(i) Duit kita itu digunakan untuk urusan bisnes rutin, seperti membayar sewa, gaji dll.

(ii) Duit kita itu disimpan dalam bank, dengan itu mereka sempat mendapat bunga lebih banyak daripada bank.

(iii) Mereka belum dapat mengutip hutang daripada peruncit yang mengambil bekalan buku daripada mereka.

(iv) Duit kita digunakan bagi urusan bukan bisnes, seperti membeli kereta mewah, bercuti ke luar negara, membesarkan rumah, kahwin lain dll.

Walaupun hutang buku belum dikutip, namun apabila penerbit mengira royalti penulis, royalti mesti dibayar, sebab buku-buku itu dikira sebagai sudah 'dijual' apabila ia keluar dari setor penerbit. Isu hutang gagal dikutip adalah masalah penerbit, bukan masalah penulis.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Poster Kempen Promosi Buku-buku Agama PTS Previous entry: Terbaru dari PTS: Novel Sejarah "Mat Kilau" bagi Menyambut Bulan Merdeka
saiFz  on  07/29  at  11:47 AM

Di IQRA’ BOOKS, kami cuba sedaya upaya hanya praktis faktor nombor (iii).

Esok Pn. Khalilah akan dapat 2 keping cek dari kami bernilai hampir 20K grin.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.