Tip Survival Penerbit: Bagaimana Membekalkan Buku ke Rangkaian Kedai Buku Elit

Apabila kita baru membuka bisnes penerbitan buku, tentulah kita mahu supaya buku kita dapat dijual di dalam kedai-kedai buku seperti Popular dan MPH.
Rangkaian kedai buku mempunyai kriteria yang ketat apabila memilih pembekal buku. Mereka tidak mahu berurusan dengan terlalu banyak pembekal kerana perkara itu menyusahkan kerja-kerja pengurusan. Justeru mereka hanya mahu berurusan dengan pembekal yang mempunyai banyak judul (baca 'minimum berpuluh-puluh judul'). Bagi penerbit baru, kriteria itu tidak dapat mereka penuhi.
Disebabkan penerbit baru tidak mempunyai berpuluh-puluh judul, ini memaksa mereka menggunakan perkhidmatan pengedar buku yang besar, yang sudah menjadi pembekal kepada rangkaian kedai buku seperti Popular dan MPH.
Apabila kita menggunakan perkhidmatan pengedar, ada beberapa isu yang akan dialami:
(i) Pengedar akan menekan kita supaya memberikan diskaun yang tidak masuk akal, yang akhirnya membunuh kita.
Pengedar mempunyai kuasa menekan (baca 'mencekik') yang sangat tinggi ke atas penerbit baru muncul. Sebenarnya, pengedar adalah faktor No. 1 pembunuh bisnes penerbit baru.
Apabila penerbit gulung tikar, pengedar bertambah untung disebabkan mereka tidak lagi terpaksa membayar hutang yang berbaki kepada penerbit.
(ii) Pengedar adalah juga pesaing kita.
Sikap pengedar lokal tidak profesional. Di negara maju, pengedar buku hanya mengedarkan buku.
Pengedar buku di negara kita tidak profesional kerana mereka juga mempunyai bisnes penerbitan buku, terutamanya novel. Disebabkan mereka juga menerbitkan novel, mereka utamakan novel-novel mereka dahulu. Apabila kedai memesan novel kita, pengedar akan berkata: "Itu novel sudah habis (maksudnya novel kita). Novel lain ada (maksudnya novel yang dia terbitkan)."
Pengedar akan promo novel-novel terbitan mereka sendiri kerana mereka sudah keluarkan modal mencetaknya. Kalau tidak dijual, novel-novel itu berlonggok menjadi kertas buruk dalam gudang pengedar. Lagipun menjual novel mereka sendiri memberi margin lebih besar, oleh itu lebih menguntungkan.
(iii) Etika bisnes pengedar lokal tidak cukup tinggi, khususnya dalam isu membayar hutang.
Menagih hutang dari pengedar adalah sangat perit. Mereka terkenal suka melambat-lambatkan membayar hutang. Ada yang sampai 9 bulan, malah lebih daripada itu pun ada.
Apabila kita gagal mengutip hutang dari pengedar, cash-flow kita tercekik. Kita tidak dapat membayar hutang printer, sedangkan kredit printer cuma 3 bulan. Akibatnya printer tidak mahu mencetak buku baru kita. Tanpa buku baru, kerja mengutip hutang dari pengedar menjadi bertambah perit (baca, takkan dapat dikutip)!
Jalan selamat bagi penerbit baru adalah dengan mengedarkan sendiri buku-buku terbitannya. Ini bermakna modal bisnes yang diperlukan adalah besar kerana kita terpaksa (i) segera menerbitkan banyak judul, dan (ii) mengambil beberapa orang salesman, kerani dan pekerja setor.
Adalah menjadi realiti dalam survival bisnes penerbitan buku, di mana bisnes ini memerlukan modal besar.
Bisnes buku serupa dengan bisnes hotel. Peniaga hotel tidak dapat survive jika hotelnya cuma mempunyai 10 ataupun 20 bilik. Dalam bisnes buku, penerbit tidak dapat survive jika kita cuma menerbitkan 10 ataupun 20 judul buku.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment