Sunday, September 23, 2007

Tip Survival Penerbit: Bertahan Menjalani Naik Turun Pasaran Buku

Semenjak PTS membuka pasaran buku-buku motivasi dan pembangunan diri 7 tahun lalu, pasaran kategori ini terus berkembang. Sehingga saat ini belum ada tanda-tanda ia mula menguncup.

Dibandingkan dengan pasaran novel-novel cinta yang saat ini sudah menyaksikan penguncupan, data jualan buku-buku motivasi PTS terus menunjukkan peningkatan normal, maknanya jualan judul-judul itu tidak meletup-letup, sebaliknya perlahan tetapi terus meningkat. Keadaan ini menbolehkan judul-judul motivasi PTS diulangcetak setiap tahun.

Mungkinkah jualan buku-buku motivasi PTS menguncup? Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu memahami faktor-faktor yang menyebabkan pasaran sesuatu kategori buku itu menguncup.

Turun naik pasaran sesuatu produk adalah fenomena normal. Prosesnya berlaku begini. Mula-mula ada sebuah penerbit yang amat berjaya membuka pasaran baru itu sehingga ia menjadi besar.

Melihatkan kejayaan penerbit itu, maka muncullah banyak penerbit kecil-kecil yang terjun masuk ke dalam pasaran.

Model bisnes yang digunakan oleh penerbit-penerbit kecil itu adalah “tidak sustainable” yakni tidak dapat bertahan lama.

Disebabkan mereka adalah penerbit kecil, mereka tidak memiliki staf profesisonal. Mereka ambil manuskrip tanpa memilih-milih dengan teliti, tidak diedit oleh editor profesional, tidak dipakejkan dengan betul, lalu diserahkan kepada pengedar dengan memberi diskaun yang tidak munasabah. Akibatnya mereka beramai-ramai melambakkan buku-buku yang kualitinya rendah ke dalam pasaran.

Meskipun buku-buku yang diterbitkan itu tidak berkualiti, namun ia tetap dapat merosakkan pasaran buku-buku terbitan penerbit besar. Ini yang berlaku apabila jumlah jualan novel-novel cinta ALAF21 jatuh daripada RM18 juta pada 2005 kepada RM15 juta pada 2006.

Sejak 2 tahun yang lalu ini, setiap bulan antara 15 hingga 20 judul baru novel cinta masuk pasaran, 3 judul sahaja oleh ALAF21, menjadikan sekitar 200 judul diterbitkan setahun.

Adakah lebih banyak judul diterbitkan menyebabkan lebih banyak judul terjual? Tidak semestinya. Malah salah satu tingkah laku pengguna adalah begini: Apabila terdapat terlalu banyak pilihan, pengguna akan berpatah balik kepada tabiat lama mereka, yakni membeli apa yang mereka sudah biasa beli.

Lihat sahaja tingkah laku ini dalam TV. Apabila terlalu banyak channel ditawarkan, pengguna cuma menonton beberapa channel sahaja.

Data yang dikutip oleh PTS menunjukkan, pada masa ini hanya sekitar 7 - 10 “nama-nama besar” dalam novel cinta sahaja yang jualan novel mereka masih bertahan. Manakala jualan nama-nama baru adalah lembap ataupun gagal.

Disebabkan penerbit-penerbit kecil itu menggunakan model bisnes yang tidak sustainable, bisnes mereka akan gagal. Dan ini sudah banyak berlaku ke atas penerbit-penerbit kecil. Fenomena ini disebut dengan istilah market-correction pada pasaran itu, dan akhirnya penerbit yang dapat bertahan adalah mereka yang menggunakan model bisnes yang sustainable.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Novel
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Lelaki dan Komik: Surat Seorang Isteri Previous entry: Formula Hero Jepun

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.