Tuesday, May 01, 2007

Tip Survival Penerbit: Branding dan Perkaitannya dengan Masa Depan Syarikat

Apabila saudara hendak menjadi penerbit buku, ambil masa memikirkan jawapan kepada persoalan ini: 10 tahun daripada sekarang saudara mahu menjadi penerbit yang bagaimana?

Katakanlah, 10 tahun daripada sekarang saudara mahu menjadi penerbit cerita-cerita misteri terbesar di Malaysia, maka sejak mula lagi saudara perlu menerbitkan cerita-cerita misteri sahaja.

Tujuannya adalah bagi menjadikan nama syarikat saudara 'brand' terkenal. Apabila orang fikir buku misteri, maka orang fikir nama syarikat saudara. Sebagaimana apabila orang fikir novel cinta, orang fikir Alaf21. Barulah nanti, sebagaimana Alaf21 menjadi kapten industri novel cinta, saudara dapat menjadi kapten industri buku misteri negara ini.

Branding penting dalam industri barang konsumer, dan buku adalah barang konsumer. Nama syarikat saudara bukan hanya perlu masuk ke dalam minda pembeli buku, tetapi ia juga mesti masuk ke dalam minda penulis buku.

Apabila nama syarikat saudara sudah sinonim dengan buku misteri, semua penulis buku misteri akan tertarik menghantar karya mereka kepada saudara. Inilah yang berlaku kepada Alaf21 sehingga syarikat itu berjaya menjadi pilihan pertama penulis novel cinta negara ini. Manuskrip yang ditolak oleh Alaf21 barulah dihantar kepada penerbit lain.

Buat sekian lama, kejayaan branding Alaf21 sebagai penerbit novel cinta No. 1 negara menyebabkan pembeli novel cinta menjadikan terbitan Alaf21 sebagai pilihan pertama mereka.

Hanya apabila Alaf21 kehilangan nama-nama besarnya seperti Fauziah Ashari, Norhayati Berahim, Aina Emir dan lain-lain, yang kemudian mereka membuka penerbitan masing-masing, barulah sedikit demi sedikit peminat novel cinta mula beralih.

Branding tidak dapat dilakukan melainkan penerbitan saudara mempunyai fokus. Justeru, kenalpasti saudara mahu memfokuskan penerbitan saudara pada kategori buku apa.

Meskipun branding amat penting bagi survival syarikat, branding juga mempunyai risikonya yang tinggi. Apabila syarikat Colgate & Palmolive sudah sinonim dengan 'ubat gigi' dan 'sabun mandi', maka syarikat itu sukar hendak melebarkan kategori produknya, sebagai contoh makanan dalam tin.

Justeru apabila nama syarikat saudara sudah sinonim dengan buku misteri, sukar bagi saudara hendak melebarkan kategori buku-buku terbitan saudara kepada sektor lain, buku agama, umpamanya.

Pertama-tama penulis buku agama, yakni ustaz-ustaz, berat hati hendak menerbitkan buku mereka dengan saudara. Mereka tidak mahu nama baik mereka rosak apabila nama mereka dikaitkan dengan penerbit cerita-cerita khurafat.

Kedua, pembeli buku agama berasa sangsi dan ragu terhadap kualiti buku agama yang saudara terbitkan disebabkan kepakaran saudara selama ini adalah buku misteri, bukan buku agama.

Memulakan bisnes penerbitan buku adalah serupa sahaja dengan memulakan bisnes lain. Saudara perlu menetapkan dengan jelas kejayaan bisnes yang bagaimana yang saudara mahukan pada jangka masa panjang.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Pengurusan Syarikat
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Pesta Buku: Sifu Menangis Previous entry: Hari Ini Sifu di Pesta Buku
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  05/01  at  08:31 PM

Assalamualaikum,

Saya orang baru di sini.  Baru semalam mula mengenali laman PTS.  Saya cuma hendak tahu, apakah hala tuju PTS sebagai penerbit.
——-

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: