Tip Survival Penerbit: Mengapa Kedai Buku Mahukan Penerbit Membekalkan Judul Baru Setiap Masa
Buku adalah sejenis barangan konsumer. Sebagaimana dengan pengeluar barang-barang konsumer yang ada di dalam kedai-kedai runcit dan supermarket, penerbit buku adalah pengeluar produk konsumer untuk kedai-kedai buku dan supermarket buku.
Salah satu tabiat pembeli barangan konsumer adalah: Setiap kali dia masuk kedai, dia mahu melihat produk baru, jika tidak dia tidak seronok. Apabila dia tidak seronok, akibatnya dorongan dia mahu pergi semula ke kedai itu jatuh, dan dia pergi ke kedai lain.
Inilah faktor yang menyebabkan kedai memerlukan barangan baru dipamerkan setiap masa, supaya pelanggan tetap mereka suka kerap datang.
Bagi penerbit yang amat komersial seperti PTS, ia terpaksa menerbitkan banyak buku baru sepanjang bulan, supaya peminat buku-buku PTS suka berulang-ulang kali pergi ke rak buku-buku PTS di dalam kedai-kedai buku, kerana mereka yakin setiap kali mereka pergi ke rak PTS itu sudah tentu ada buku terbaru dipamerkan.
Kedai buku hanya mahu menjual buku-buku yang laku. Bak kata seorang pemilik kedai buku, kedai buku bukan setor tempat penerbit menyimpan buku-bukunya yang tidak laku!
Mindset 'penerbit adalah pengeluar barangan konsumer' perlu ada pada setiap anggota jabatan editorial dan jabatan grafik.
Para editor perlu mempunyai 'feel' buku yang bagaimana yang laku. Editor mungkin suka kandungan buku itu, tetapi pembeli buku belum tentu suka.
Sebagai contoh, penulis dan editor mungkin suka buku agama yang menderet-deretkan ayat Quran dan hadith dalam buku, tetapi pembeli mungkin tidak suka sebab buku seperti itu lebih merupakan deretan koleksi ayat-ayat dalam bahasa Arab. Pembaca mahukan analisis, prinsip-prinsip, teknik dan aplikasi ayat-ayat itu supaya dapat mereka gunakan.
Begitu juga dengan judul buku. Editor perlu ada 'feel' judul bagaimana yang laku. Jika tersalah memilih judul, buku yang sepatutnya laku menjadi tidak laku.
Sebagai contoh, buku "Dahsyatnya Doa Ibu" laku keras. Jika judul buku itu ditukar kepada "Doa Ibu adalah Makbul" buku itu belum tentu mendapat sambutan yang serupa.
Begitu juga desainer cover buku dan desainer layout buku perlu mempunyai feel desain yang bagaimana yang pembeli buku mahu.
Inilah yang ditekankan di PTS, sehingga hasilnya buku-buku PTS digemari oleh para pekedai buku dan pengurusan supermarket buku, kerana buku-buku terbitan PTS digemari oleh peminat buku.
Di seluruh negara, lebih 700 kedai buku kini mempamerkan buku-buku terbitan PTS. Jumlah ini akan terus ditambah dari bulan ke bulan.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Saya selalu pergi ke kedai buku, mesti mencari buku baru dipasaran. JUDUL memang memain peranan penting!
Post a comment