Tip Survival Penerbit dan Pengarang: Buku Pelampung Keselamatan
Dalam suatu laporan kajian yang dijalankan di Australia, didapati apabila ekonomi jatuh, angka perceraian naik!
Adalah hukum Tuhan bahawa ekonomi turun naik. Jika saudara mahu tahu tanda-tanda awal ekonomi turun, perhatikan berapa ramai orang masuk restoran-restoran mahal, seperti restoran Cina.
Bisnes yang mula-mula terpukul apabila gawat ekonomi mula menunjukkan kepalanya adalah produk-produk mahal. Manakala produk-produk lain belum terasa, produk mahal terkena paling dahulu. Restoran mahal, kasut mahal, kereta mahal... apa-apa yang mahal terkena paling awal, dan pulih paling lewat.
Dalam sektor bisnes buku, ada buku-buku yang bagus jualannya selagi ekonomi bagus, tetapi apabila ekonomi turun, jualan buku itu ikut turun. Ini amat membahayakan surival penerbit sekaligus penulis. Apabila penerbit bungkus, penulis pun senasib.
Jika saudara seorang penerbit, 70% judul yang saudara diterbitkan hendaklah terdiri daripada judul-judul yang dapat dijual baik dalam keadaan ekonomi bagus mahupun dalam zaman gawat. Manakala 30% lagi adalah buku-buku tebal dan mahal.
Jika saudara seorang penulis, perkara yang serupa perlu saudara lakukan. Jangan hanya menulis buku-buku yang tebal dan mahal-mahal. Saudara perlu mempunyai buku-buku tahan gawat supaya saudara tetap menerima royalti meskipun dalam zaman ekonomi merudum.
Sesetengah kategori buku memang tahan gawat. Buku-buku itu disebut "buku pelampung keselamatan". Sebagai contoh adalah buku-buku agama yang dijual pada harga kurang RM20.
Pengalaman lalu menunjukkan, dalam zaman gawat, buku-buku agama tentang sembahyang, buku taubat, buku doa-doa, buku panduan umrah, tetap laku sebagaimana biasa.
Hmmm.... Barangkali banyak orang yang terpukul oleh gawat, apabila bisnes mereka jatuh, mereka menderita stress dikejar oleh bank dan penagih hutang, diugut oleh pembekal, bergaduh dengan rakan niaga sendiri, konflik rumahtangga, lalu mereka mula kembali kepada Tuhan.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment