Monday, February 28, 2011

Tip Survival Penerbit: Fasa Mencabut Rumput Menyebabkan PTS Rugi hampir RM400 Ribu

Simpulan bahasa 'mencabut rumput' digunakan di kalangan orang bisnes bidang pengeluaran. (Penerbitan buku adalah bidang pengeluaran.)

Para pengeluar mengedarkan dan menjual produk mereka melalui kedai-kedai milik peniaga lain.

Pengeluar melantik kedai-kedai sebagai agen mereka. Kedai-kedai itu diberi kredit, maknanya pembekal menghantar produk kepada kedai dan kedai hanya perlu membayar dalam tempoh yang ditetapkan, sebagai contoh 30 hari, 60 hari ataupun 90 hari.

Bagi penerbit buku yang baru memulakan bisnes, salah satu kesilapan yang lazim kita lakukan adalah melantik sebanyak-banyak kedai buku sebagai agen. Akibatnya, kita menghadapi situasi di mana akan ada kedai-kedai buku yang tidak membayar hutang. Buku kita sudah dijualnya tetapi mereka tidak membayar hutang kepada kita.

Keadaan ini menyebabkan buku kita laku tetapi akaun bank kita kosong.

Ciri kedai-kedai yang berisiko tinggi tidak membayar hutang adalah:

(i) Kedai buku kecil

Termasuk dalam kategori ini adalah kiosk buku dalam supermarket. Disebabkan mereka berniaga dengan modal kecil, maka isu tarik-duit-di-sana-letak-di-sini menjadikan mereka tidak mempunyai aliran tunai yang baik.

(ii) Kedai buku yang lokasinya jauh dari Kuala Lumpur

Jadi, apa yang kita lakukan adalah menutup akaun bisnes dengan kedai-kedai itu. Inilah yang disebut fasa 'mencabut rumput jahat'. Selepas seselsai menutup akaun kedai-kedai jahat itu, kita meneruskan bisnes dengan kedai-kedai baik sahaja.

Apabila kita melakukan tindakan mencabut rumput jahat, kerugian tidak dapat dielakkan. Kita tidak dapat hendak mengambil semula buku-buku yang dibekalkan sebab buku-buku itu sudah dijual! Dengan menutup akaun kedai itu pula, semakin towkay kedai tidak mahu membayar hutangnya.

PTS melakukan tindakan mencabut rumput jahat pada tahun ke-3 ia beroperasi. Nilai hutang lapuk yang terpaksa dilupuskan adalah RM380 ribu.

Sebagai penerbit, dengan menutup akaun, kita menanggung bukan kerugian itu sahaja. Bagi buku-buku yang sudah dibekalkan kepada kedai-kedai jahat itu, royalti pengarang tetap wajib dibayar, meskipun hutang gagal dikutip.

Bagi mengelakkan kita daripada menanggung kerugian ditipu oleh kedai-kedai buku jahat, sebelum melantik mana-mana kedai sebagai agen, lakukan ini:

(i) Semak rekod kewangan towkay kedai itu dengan membeli laporan dari agensi seperti CTOS supaya dapat dipastikan nama towkay itu bersih, sebagai contoh dia tiada masalah hutang kad kredit dan lain-lain.

(ii) Tengok di dalam kedai itu, jika buku-buku penerbit besar tidak ada di dalam kedai itu, ambil perhatian serius. Tentu ada sebab mengapa penerbit besar tidak melantik kedai itu sebagai agen. Jika buku-buku mereka ada, itu belum tentu kedai itu adalah agen, dia mungkin membeli buku-buku itu secara tunai!

(iii) Bertanya dahulu kepada salesman penerbit lain yang sudah lama beroperasi. Mereka akan memberi maklumat kedai-kedai mana yang mempunyai rekod baik.

Sebagai penerbit, galakkan saleman kita berkawan-kawan dengan salesman penerbit besar, supaya mudah mendapatkan nasihat dari mereka.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Senarai Judul Dijangka Masuk Gudang PTS Minggu Ini Previous entry: Tip Survival Penulis: Mencipta Nama untuk Cerita Kanak-Kanak dan Awal Remaja
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  03/02  at  04:15 AM

Saya cadangkan, senaraikan nama-nama kedai ini dalam blog ini supaya penerbit tidak tertipu dan sebagai pengajaran pada kedai buku ini dan kedai buku lain supaya tidak membuat lagi.

Dan pihak penerbit boleh membuat aku janji dengan kedai buku, jika ia tidak membayarnya maka namanya akan disenaraikan diblog. Walaupun mulanya mungkin rugi kerana kedai buku tidak menjualnya, tapi pada jangka panjang penerbit untung dan kedai buku rugi kerana jika buku itu popular tidak ada dijual di kedainya. Lama-kelamaan kedainya tidak akan dikunjungi.

wassalam

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.