Wednesday, August 15, 2007

Tip Survival Penerbit: Jangan Keliru antara “Promosi Buku” dan “Event-Buku”

Ada sebuah penerbit sudah 2 kali mengadakan majlis besar-besaran di tempat mahal, atas nama mempromosi buku pertama yang diterbitkannya.

Melakukan promosi buku amat penting supaya angka jualan buku itu naik. Semasa jumlah judul masih sedikit, baru 1 ataupun 2, kos promosi akan ditanggung oleh 1 ataupun 2 buku itu sahaja. Ini tidak ekonomikal. Apatah lagi jikalau promosi itu melibatkan kos yang tinggi.

Mengadakan majlis-majlis pelancaran buku, majlis baca buku, baca puisi, pameran mengenang pengarang, dan seumpamanya adalah aktiviti event-management.

Penerbit buku jangan sampai keliru antara "promosi buku" dan "event-managemet".

Majlis-majlis "event" yang gilang-gemilang belum tentu berjaya meningkatkan jualan buku, malah data yang ada menunjukkan kos event itu tidak dapat dibayar daripada hasil jualan bukunya.

Apabila saudara mahu hidup sebagai penerbit buku, fokuskan perbelanjaan saudara pada penerbitan buku. Terbitkan sekurang-kurangnya 2 judul sebulan, baru saudara dapat survive dan berdaya maju sebagai penerbit buku.

Mengapa 2 judul sebulan?

Dengan menerbitkan minimum 2 judul sebulan, pada tahun pertama saudara sudah mempunyai 24 back-title. Pada tahun berikutnya saudara sudah mempunyai judul-judul yang dapat diulangcetak. Margin judul ulangcetak adalah lebih besar daripada margin judul baru.

Dengan jumlah 2 judul sebulan itu saudara dapat pusingkan duit saudara cukup-cukup bagi membayar kos operasi syarikat saudara yang masih kecil itu, pada waktu yang sama, jumlah itu membolehkan bisnes saudara berkembang.

Jika duit modal bisnes yang ada digunakan bagi mempromosi 1 judul, nanti cash-flow saudara tercekik. Hendak membayar pencetak pun duit sudah tidak ada lagi. Mengadakan event-buku tidak wajib diadakan, manakala membayar hutang pencetak wajib.

Semua pencetak berkawan sesama mereka dan mereka saling bertukar-tukaran maklumat berkenaan penerbit mana yang membayar hutang dan yang tidak membayar hutang. Itulah cara mereka menjaga risiko ditipu penerbit.

Apabila saudara tidak membayar pencetak ikut tempoh kredit yang diberikan, dalam masa sekejap sahaja pencetak-pencetak lain sudah tercium bau saudara. Tidak ada lagi pencetak yang berani beri kredit kepada saudara.

Tanpa kepercayaan pencetak, saudara takkan dapat survive sebagai penerbit.

Promosi buku yang paling efektif adalah:

(1) Menghadiahkan buku itu kepada orang yang banyak menulis dan menerbitkan ulasan-ulasan buku dalam media seperti akhbar dan majalah. Mudah-mudahan beliau suka buku itu dan menuliskan ulasannya lalu ulasan itu terbit.

(2) Menghadiahkan buku itu kepada penerbit rancangan radio dan TV, mudah-mudahan mereka suka dengan buku itu lalu mengundang pengarangnya muncul di radio dan di TV sebagai tetamu dan buku itu diperkenalkan kepada pendengar dan penonton.

(3) Menghadiahkan buku itu kepada editor majalah dan kolum sastera dalam akhbar, mudah-mudahan buku itu dijadikan bahan artikel dan berita. Ini adalah cara yang amat berkesan sebab gambar pengarang dan kulit buku dapat dijadikan hiasan pada artikel itu. Lazimnya gambar itu disiarkan 4-warna!

Tiga cara promosi di atas adalah berkesan dan amat murah.

Bagi mendapatkan kerjasama pengulas buku, penerbit rancangan radio, TV, editor kolum sastera, dan editor majalah, yang diperlukan adalah kemahiran menjalin dan mengekalkan persahabatan.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Pengurusan Syarikat
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Lagi Teknik Backstory dalam Sai-Fai Previous entry: Mengapa pada Musim Raya Baju Laku, Kasut Laku, Buku pun Sama Laku

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.