Monday, December 27, 2010

Tip Survival Penerbit: Memilih Buku untuk Jadual Kempen Promosi dalam Slot Radio dan Televisyen

Stesen-stesen radio dan televisyen mempunyai slot-slot yang memberi peluang kepada penerbit buku bagi mengiklankan penulis dan karya mereka secara percuma. Sebagai contoh, rancangan bual-pagi, Malaysia Hari Ini (TV3), Nasi Lemak & Kopi-O (TV9) Selamat Pagi Malaysia (TV1 RTM), dan Asalamualaikum (TV Al-hijrah) ada memberi slot kepada penulis buku yang diundang sebagai tetamu.

Slot seperti itu sangat berguna bagi tujuan mempromosi penulis dan sekaligus buku-buku mereka.

Penerbit rancangan bual-pagi mahukan tetamu undangan yang menulis buku-buku yang sesuai dengan apa yang sedang berlaku dalam masyarakat.

Panduan memilih judul buku:

(i) Jadual tahunan

Sepanjang tahun, ada peristiwa-peristiwa yang sentiasa berulang seperti bulan puasa, bulan raya, bulan haji, musim peperiksaan sekolah dan lain-lain. Apabila tiba musim peperiksaan sekolah, penerbit rancangan radio dan TV mahukan penulis yang menulis buku motivasi belajar. Apabila tiba musim haji, mereka mahukan penulis buku panduan haji.

(ii) Sempena kempen kerajaan

Ada masanya kerajaan melancarkan kempen-kempen khusus, sebagai contoh kempen kesedaran masyarakat tentang keselamatan jalanraya. Penerbit rancangan radio dan televisyen mahukan penulis yang mempunyai buku selaras dengan tema kempen-kempen seperti itu.

(iii) Isu yang sedang hangat dibincangkan dalam media

Sekali-sekala, media bercetak seperti akhbar riuh membincangkan sesuatu isu. Sebagai contoh, apabila ada akhbar yang menyiarkan topik penyakit gemuk dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah, penerbit radio dan TV berminat dengan penulis yang menulis buku kesihatan kanak-kanak.

(iv) Musim-musim percutian

Apabila tiba musim percutian, penerbit radio dan TV berminat dengan penulis buku pelbagai aktiviti yang dapat digunakan bagi mengisi masa lapang yang banyak, seperti buku panduan sukan lasak, kraftangan, bertanam bunga dan lain-lain.

Nota: Foto hiasan diambil dari Facebook Cikgu Mohd Razali Kamaruddin, penulis buku "Belajar Sedikit Dapat Banyak". Beliau muncul di skrin televisyen bagi mempromosi buku beliau sempena musim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dalam slot itu beliau membawa bersama seorang pelajar yang berjaya mendapat semua A dalam peperiksaannya, berkat menggunakan tip belajar dalam buku beliau.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Tip Survival Penerbit: Buku dalam Siri yang Sama Mesti Mempunyai Citra Kaver yang Serupa Previous entry: Tip Survival Penulis Novel Remaja: Buku Bersaing dengan Topap

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.