Tip Survival Penerbit: Memilih Saiz Buku
Banyak faktor memainkan peranan menentukan kejayaan buku dalam pasaran kedai buku. Saiz buku adalah salah satu faktor yang boleh menyebabkan sesuatu buku itu laku dijual di dalam kedai-kedai buku ataupun sebaliknya.
Katakanlah, kita merancang mahu menerbitkan novel, tetapi bukan novel cinta seperti persisnya novel-novel Alaf21. Katakanlah, novel yang akan diterbitkan itu adalah novel sastera berat.
Jika kita mahu menggunakan saiz yang serupa dengan saiz novel-novel Alaf21, novel itu akan dipamerkan oleh pekedai di rak yang sama dengan rak novel-novel cinta Alaf21.
Apabila novel kita itu duduk sebaris dengan novel-novel cinta Alaf21, hal itu mempunyai kelebihan dan kelemahannya sendiri. Kelebihan yang paling jelas adalah, novel itu diletakkan di tempat yang strategik. Pembeli novel-novel Alaf21 akan ternampak novel itu, harap-harap mereka akan membelinya.
Kelemahan duduk sebaris dengan novel-novel Alaf21 adalah bakal pembeli mempunyai persepsi novel kita itu serupa sahaja isinya dengan novel cinta Alaf21. Pembeli buku yang tidak suka pada novel Alaf21 tidak akan ke rak itu. Maka mereka takkan terjumpa buku kita.
Lazimnya purata pembeli novel cinta membeli antara 1 ataupun 2 judul sahaja sebulan. Tetapi pada hari ini jumlah novel cinta yang diterima oleh kedai-kedai adalah 25 judul setiap bulan. Akibatnya, rak-rak novel cinta sudah sempit.
Apabila berdepan dengan pilhan yang terlalu banyak, manusia malas hendak menyemak setiap pilihan sebelum membuat keputusan. Lalu secara heuristik, mereka berpatah balik kepada pengalaman lalu, yakni memilih nama-nama pengarang yang mereka sudah selesa, kerana mereka tidak mahu mengambil risiko terbeli novel tidak bermutu. Jalan paling selamat adalah memilih nama-nama yang sudah terkenal.
Jadi, lebih baik kita tidak menggunakan saiz yang serupa dengan novel-novel cinta Alaf21, ya tidak ya, novel kita bukan sebarang novel cinta, tetapi novel sastera berat. TETAPI, jika kita menggunakan saiz yang lebih besar, sebagaimana saiz novel-novel DBP, novel kita itu akan diletakkan di rak lain sebab novel itu tidak muat jika hendak diletakkan di rak novel Alaf21. Akibatnya, novel kita duduk tersorok dan terselit di antara buku-buku agama, buku motivasi, keibu-bapaan, bisnes, politik dan lain-lain lagi.
Salah satu tingkah laku pembeli novel cinta adalah mereka itu tidak pergi melihat-lihat buku yang dipamerkan di rak-rak selain rak novel cinta sahaja. Mereka tidak pergi ke rak kategori lain. Jadi mereka tidak akan ternampak novel kita itu.
Penerbit pula tidak dapat mencadangkan kepada kedai supaya menyediakan rak khas untuk novel-novel sastera berat. Di rak mana tuan kedai mahu mempamerkan sesebuah buku, itu adalah hak tuan punya kedai. Banyak faktor diambil kira oleh kedai sebelum dia mahu membuka rak khas untuk sesuatu kategori buku.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Untuk novel cinta Islami, saya lebih suka bersaiz kecil seperti novel Syahadat Cinta, Musafir Cinta dan lain-lain. Ini kerana saiznya yang kecil dan ringan mudah dibawa kemana-mana. Ianya begitu ‘handy’.
Post a comment