Tip Survival Penerbit: Mengapa Lebih Banyak Judul Baru Diterbitkan daripada Judul Ulangcetak
Istilah back-title bermakna buku-buku yang SUDAH terbit. Makin banyak judul back-title yang ada, makin stabil syarikat, yakni kemungkinan saudara gulung tikar apabila ekonomi meleset adalah kurang.
Tanpa ribuan back-title, apabila ekonomi meleset, sukar bagi saudara hendak survive sebab back-title yang banyak berfungsi sama seperti wang simpanan dalam tabungan saudara.
Jumlah minimum back-title mestilah 1000 judul, barulah syarikat saudara stabil. Back-title yang banyak memudahkan saudara memilih judul-judul back-title yang saudara dapat luncurkan semula ke dalam pasaran apabila berlaku gawat.
Sebagai contoh, apabila harga minyak naik dan ekonomi meleset seperti sekarang, orang tidak mempunyai banyak wang bagi membeli buku yang tebal dan mahal, tetapi ada kategori buku yang masih dibeli orang. Jangan terbitkan buku-buku tebal dan mahal. Terbitkan semula buku-buku harga rendah yang ada dalam senarai back-title saudara.
Justeru syarikat saudara mesti menerbitkan banyak judul baru, sebab semakin banyak judul baru, maka semakin banyak judul back-title saudara.
Pada peringkat penulis, saudara perlu mempunyai banyak back-title saudara sendiri. Bagi penerbit dan penulis, logik bisnesnya adalah serupa, yakni semakin banyak back-title saudara, semakin kukuh ekonomi saudara.
Jika semua buku saudara mahal-mahal belaka, pada zaman gawat buku mahal sukar dijual.
Apakah implikasi menerbitkan banyak judul baru setiap bulan?
Pertama, margin keuntungan saudara amat tipis, ataupun setakat pulang modal sahaja, disebabkan kos pracetak menerbitkan judul baru adalah tinggi. TETAPI, judul-judul baru laju bergerak!
Ertinya, judul baru lebih mudah dijual, justeru cash-flow syarikat saudara baik, sebab buku judul baru tidak lama berlonggok dalam setor. Cash-flow (duit tunai masuk, duit keluar) adalah nyawa syarikat.
Walaupun keuntungan menerbitkan judul baru adalah kecil, tetapi judul baru mudah dijual, maka duit masuk laju, maka setiap bulan saudara dapat membayar hutang pencetak, hutang bank, sewa pejabat dan gaji (duit keluar laju).
Di PTS, majoriti judul baru dapat dijual dalam tempoh 3 - 6 bulan. Ertinya kita dapat membayar hutang kepada pencetak dengan mematuhi tempoh kredit 90 hari.
Buku-buku ulangcetak laku, tetapi lambat bergerak. Selepas 90 hari, tempoh kredit pencetak sudah tamat, hutang mesti dibayar, tetapi buku ulangcetak masih banyak di dalam setor.
Apabila buku lambat bergerak, ini menyebabkan saudara tidak dapat membayar hutang pencetak. Akibatnya, pencetak tidak mahu mencetak buku-buku saudara selagi saudara tidak membayar hutang yang ada. Itulah sebabnya, tanpa buku baru, penerbit boleh gulung tikar.
Setiap bulan, nisbah buku baru dan buku ulangcetak adalah 7:3 yakni 7 judul baru, 3 judul ulang cetak. Dengan menerbitkan 7 judul baru yang dapat dijual dengan lajunya, saudara dapat membayar hutang mencetak buku-buku ulangcetak yang lambat bergerak itu.
Apabila syarikat survive, semua pihak yang menanggung risiko akan selamat. Mereka yang menanggung risiko adalah bank-bank, syarikat finance, pencetak, pemilik bangunan yang kita sewa, staf, EPF, SOCSO, orang ahli lembaga pengarah yang menjadi penjamin peribadi liabiliti syarikat kepada bank-bank, syarikat insurans dan takaful, pembekal alat pejabat, dan banyak lagi, (tidak dilupakan senarai penerima-penerima zakat syarikat).
Data inventori PTS menunjukkan, pada mana-mana hari, daripada 1000 lebih judul yang sudah diterbitkan, ada antara 80 - 100 judul buku PTS yang kehabisan stok. Pekedai merungut, penulis merungut, agen merungut.... Erm... Masalah PTS adalah buku-bukunya terlampau laku! (Sifu garu-garu kepala).
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment