Tuesday, February 08, 2011

Tip Survival Penerbit: Trend Pasaran Novel Genre Ciklit PTS bagi Tahun 2010

Trend jualan novel-novel ciklit PTS menunjukkan pola yang baik. Pasaran ini sedang berkembang dengan sihat sekali. Fenomena ini mendorong lebih banyak penerbit dan penulis menceburi sektor ini.

Adalah diramalkan, dalam tempoh yang tidak lama dari sekarang pasaran sektor ciklit akan menjadi tepu, melainkan penulis-penulis ciklit berinovasi bagi menghasilkan produk-produk yang segar.

PTS membuka laut biru novel ciklit dan laut biru novel cinta Islami secara serentak. Hasilnya didapati pasaran novel ciklit adalah 3 kali lebih besar daripada pasaran novel cinta Islami. Ini tergambar jelas sebagaimana yang dapat dilihat daripada data jualan kedua-dua genre itu.

Jualan 15 judul terlaris novel ciklit PTS bagi tahun 2010:

1. Aku Mahu Superbibik (9,635 unit)
2. Projek Diet Ain Maisarah (7,280 unit)
3. Siapa Lebih Popular? (6,542 unit)
4. Aku, Dia & Gosip (6,360 unit)
5. Gadis Bubble Gum (5,841 unit)
6. Aku, Dia & Coklat (4,963 unit)
7. Aku, Dia & Glamor (4,846 unit)
8. Akukah Cinderella Itu? (4,729 unit)
9. Kita Hanya Di Seberang Jalan (4,361 unit)
10. Kelab Gadis Ayu (4,322 unit)
11. Gadis Lolipop (4,184 unit)
12. Sayalah Putera Mahkota! (3,972 unit)
13. Seperti Keju & Coklat (3,747 unit)
14. Semanis Tart Ceri (3,631 unit)
15. Lelaki Berkasut Merah (3,026 unit)

Data jualan 15 judul terlaris novel cinta Islami PTS bagi tahun 2010:

1. Nyanyi Sunyi (4,052 unit)
2. Kala Cinta Dan Wahyu Bersatu (3,288 unit)
3. Punya Cinta Ramadan (3,050 unit)
4. Bara Cinta Canberra (2,836 unit)
5. Wasilah Cinta Weera (2,779 unit)
6. Kasih Seharum Manisah (2,718 unit)
7. Ku Seru Nur Kasih (2,466 unit)
8. Tuhan Masih Mencintaiku (2,226 unit)
9. Salju Sakinah (2,104 unit)
10. Aku Bukan Malaikat  (2,001 unit)
11. Biarawati Qaseh Puteri (1,830 unit)
12. Qasidah Untuk Kekasih (1,680 unit)
13. Warkah Cinta Berbau Syurga (1,561 unit)
14. Menunggu Cinta Tuhan (1,211 unit)
15. Doa Insan Berkasih (1,066 unit)

PTS sedang melakukan analisis pasaran bagi mengetahui faktor-faktor yang mempengaruhi trend jualan kedua-dua genre di atas.

Dari hasil analisis dan perbandingan data di atas, dapat disimpulkan bahawa dari sudut logik bisnesnya, menerbitkan genre ciklit adalah lebih menguntungkan daripada menerbitkan novel cinta Islami.

Namun, pada waktu yang sama, ada kemungkinan bahawa data jualan novel cinta di atas tidak memberi gambaran saiz sebenar pasaran genre itu. Ada kemungkinan saiz pasarannya besar tetapi strategi bisnesnya yang belum betul, sehingga novel cinta Islami tidak laku banyak.

Kesilapan strategi mungkin berlaku pada pada perancangan produk (product planning) sehinggakan tidak kelihatan apa yang menjadi USP (unique selling point) novel-novel cinta Islami PTS dibandingkan dengan novel Ayat-Ayat Cinta.

i. Konsep produk - Penulis novel cinta Islami PTS tidak menawarkan konsep-konsep baru yang segar-bugar, yang berbeza daripada konsep Ayat-Ayat Cinta. Ini berbeza daripada para penulis novel ciklit yang tidak henti-hentinya menawarkan tema dan cerita-cerita yang segar.

Kejayaan AAC meninggalkan kesan negatif ke atas daya kreasi penulis novel cinta Islami. Habiburrahman El-Sherazy menerbitkan berbelas-belas judul. Namanya menguasai pasaran novel cinta Islami ala-ala Ayat-Ayat Cinta (AAC). Pengaruh AAC sangat dirasakan dalam novel-novel cinta Islami yang dihasilkan oleh penulis-penulis lain selepas AAC. Sebenarnya pasaran ACC sudah tepu, namun penulis lain masih terus menghasilkan manuskrip ala-ala AAC.

Contoh inovasi yang pernah berlaku dalam genre novel cinta Islami PTS adalah novel Nazri M Annuar, Karipap-Karipap Cinta (KKC). KKC menawarkan pembaharuan. Ceritanya segar, desain kulitnya juga menyimpang daripada desain-desain yang sudah klise. Terbukti jualan KKC baik, sehingga dijadikan filem oleh Osman Hafsham dengan mengekalkan judul itu. 

Kejayaan KKC dalam pasaran adalah indikasi produk-produk inovatif seperti itu berpotensi membuka laut biru.

Sayangnya, inovasi KKC itu tidak diikuti oleh penulis-penulis lain. Nazri M Annuar pula tidak produktif seperti halnya dengan Habiburrahman El-Sherazy. Dengan demikian, inovasi yang dilakukan oleh Nazri M Annuar itu gagal membangunkan trend pasaran dan pengikut.

ii. Desain kulit - Pereka desain kulit novel cinta Islami PTS tidak menawarkan desain yang keluar dari trend desain kulit Ayat-Ayat Cinta (wajah perempuan berpurdah).

iii. Judul novel - Ciri-ciri judul yang digunakan oleh novel cinta Islami PTS sangat serupa dengan judul ala-ala Ayat-Ayat Cinta.

iv. Bahan cerita - Tema utama dalam novel-novel cinta Islami PTS tetap 'perebutan cinta' sebagaimana dalam Ayat-Ayat Cinta. Tema perebutan cinta menjadikan novel-novel cinta Islami serupa sahaja dengan novel cinta popular, yang berbeza hanyalah ayat-ayat agama yang ditempelkan pada cerita-cerita itu.

Inovasi adalah aspek yang paling kritikal saat ini. Penulis novel-novel cinta tidak melakukan inovasi, hanya terikut-ikut sub-genre ala-ala AAC. Ini bukan hanya berlaku dalam kalangan penulis novel cinta PTS sahaja. Ini adalah fenomena umum. Ia berlaku kepada penerbit-penerbit selain PTS. 

Menurut Tuan Azari Hashim (foto), eksekutif senior di jabatan sales PTS, pada saat ini situasi yang berlaku di dalam kedai-kedai buku, novel cinta Islami PTS hanya menumpang tuah rak buku-buku PTS yang sedia ada di dalam kedai. Novel-novel itu tidak mempunyai appealnya sendiri, di mana jika sekiranya ia mempunyai appeal maka ia berdaya menjadikan pembeli mencari-carinya, sebagaimana halnya yang berlaku dengan novel-novel ciklit PTS.

Kita percaya saiz pasaran novel cinta Islami adalah lebih besar daripada saiz pasaran AAC. Pada saat ini pasaran itu mahukan -- dan sedang menunggu-nunggu -- kemunculan produk-produk alternatif selain produk ala-ala ACC.

Pasaran novel cinta Islami menunggu-nunggu inovasi berlaku. Faktor yang menyebabkan inovasi sukar berlaku dalam sektor novel cinta Islami ada pada konsep 'novel cinta Islami' itu sendiri. (Saya akan menulis entri khusus berkenaan topik ini.)

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Duta PTS Menjalankan Kempen 'Tahun Apresisasi SN A Samad Said' Previous entry: Genre Novel Remaja Amat Inovatif
Aliff Danial  on  02/09  at  09:48 AM

Assalamualaikum. Sesiapa yang berminat untuk membaca karya saya “Haikal Sabri dan Misteri Universiti Kota Lama” secara percuma, bolehlah muaturun ebukunya dari blog saya “aliffdanialbooks.blogspot.com”. Selamat membaca ya- Aliff Danial

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.