Tip Survival Penerbit: Pilih Lead-Writer
Product-line syarikat F&N adalah pelbagai minuman bergas. Lead-productnya adalah "Coca-Cola".
Lead-product atau produk utama berfungsi menjadi duta syarikat, oleh itu ia diberi peruntukan lebih bagi mempromosinya. Fungsi lead-product adalah menghimbau orang supaya datang dan membeli dirinya dan juga produk-produk lain yang ditawarkan.
Penerbit buku mempunyai 2 jenis produk. Pertama adalah penulis-penulisnya, dan kedua adalah buku-buku yang diterbitkannya.
Penerbit yang sederhana besar seperti PTS mempunyai lebih 300 penulis dan lebih 1000 judul yang sudah diterbitkan.
Sebagai strategi pemasaran, penerbit buku boleh meniru strategi pemasaran yang diamalkan oleh syarikat gergasi seperti F&N, yakni menggunakan strategi lead-product.
Bagi setiap kategori buku yang diterbitkan, pilih seorang penulis duta. Fungsi penulis duta adalah:
(i) Pertama, menaikkan brand syarikat penerbit, yakni ke mana-mana duta itu pergi, namanya dan nama penerbitnya sentiasa bergandingan.
(ii) Kedua, menaikkan jualan semua produk yang diterbitkan oleh syarikat penerbitnya.
Sebagai contoh, bagi produk-produk sastera remaja terbitan anak-anak syarikat PTS, maka PTS memilih AinMaisarah sebagai duta.
PTS mempromosi AinMaisarah supaya beliau mempunyai sebanyak-banyak peminat.
Apabila peminat AinMaisarah pergi ke kedai buku bagi mencari buku-bukunya, maka mereka akan terpandang barisan buku-buku pengarang lain dan akhirnya tertarik lalu membeli juga buku-buku lain itu.
Nama baik AinMaisarah diharap dapat menaikkan nama baik semua buku-buku PTS dalam kategori sastera remaja.
Penulis yang sesuai dipilih menjadi duta perlu memenuhi beberapa kriteria WAJIB dan kriteria BONUS:
(i) Penulis mempunyai latar belakang akademik, profesion, wajah, penampilan dan personaliti yang menarik supaya menjadi daya tarikan dan sumber inspirasi kepada peminat-peminatnya.
(ii) Penulis mempunyai karya-karya yang berpotensi evergreen dan dapat dijual melebihi 50 ribu naskhah setiap satu.
(iii) Penulis sanggup terlibat aktif dalam pelbagai aktiviti promosi yang dirancangkan oleh penerbit.
(iv) Penulis sanggup menjadi 'harta awam' di mana beberapa aspek kehidupan peribadinya mungkin menjadi pengetahuan umum.
(v) Penulis sanggup sentiasa kelihatan 'cantik-dan-baik' apabila berada di luar rumah, meskipun apabila pergi ke supermarket, sebab pada bila-bila masa sahaja, di mana-mana sahaja, akan ada peminatnya yang minta bergambar bersama -- berkat teknologi kamera hanfon.
(vi) Penulis aktif mengambil pelbagai inisiatif sendiri mempromosi nama baiknya supaya menjadi brand, dan mempromosi buku-bukunya.
(vii) Penulis mempunyai blog dan menubuhkan kelab peminatnya sendiri.
(viii) Penulis tahu melakukan 'viral marketing' dalam internet dengan mengeksploitasi pelbagai media komunikasi komuniti, seperti FaceBook, MySpace, Friendster, Twitter dan yang seperti itu.
(ix) Penulis pandai menjalin hubungan baik dengan wartawan dan orang media.
(x) Penulis fasih bercakap di depan khalayak menggunakan bahasa yang halus, betul sebutan dan tatabahasanya.
Semakin banyak kriteria di atas yang ada pada seseorang penulis itu, maka makin sesuai beliau dipilih menjadi lead-product penerbit.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Salam sejahtera buat Puan Ainon….
Moga Puan berada di dalam keadaaan gembira hendaknya.
Sempena sambutan hari guru semalam (maaf terlambat pula), Saya ingin mengucapkan Selamat Buat Puan Ainon yang saya anggap guru merangkap Sifu saya terutama di dalam bidang penulisan, latihan malahan perniagaan. Walau saya jarang dapat menghadiri kursus atau bengkel yang Puan kerap kendalikan (setakat ini hanya sekali sahaja) tetapi blog Puan ini sudah menjadi kuliah maya saya setiap hari. Terutamanya bab bahasa dan komunikasi. Banyak yang saya pelajari dari Puan Ainon.
Saya doakan agar Allah swt memberi keberkatan dan kemakmuran buat Puan supaya lebih banyak yang dapat Puan kongsikan dengan kami yang sentiasa ingin memperbaiki diri kami.
Salam buat Puan dan juga Prof Abdullah.
Amar
Post a comment