Tip Survival Penerbit: Memilih Item untuk Promosi ‘Lead Product’

Istilah 'lead-product' adalah produk yang dipilih supaya dijadikan produk utama yang dipromosikan.
Sebagai contoh, pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 lalu, novel Salju Sakinah karya Zaid Akhtar dijadikan lead-product PTS.
Buat musim raya ini, novel Bukan yang Pertama dipilih sebagai lead-product bagi kategori novel-novel cinta Islami PTS.
Diharapkan, apabila pengunjung memasuki kedai buku bagi mencari novel Bukan yang Pertama, mereka akan terpandang lain-lain novel cinta Islami PTS yang dipamerkan sederet dengan novel Bukan yang Pertama.
Justeru, lead-product berfungsi sebagai umpan.
Kos mempromosi lead-product adalah besar disebabkan ia melibatkan kos (i) yuran iklan media, (ii) mencetak item-item marketing kit seperti poster, beg kertas, T-shirt (foto), book-mark, stiker dll., serta (iii) stok untuk pameran bulk-display, bagi semua outlet yang terpilih.
Berikut adalah kriteria memilih buku yang sesuai dijadikan lead-product:
(i) Buku yang dipilih sebagai lead-produk itu berpotensi laku keras.
(ii) Nama pengarangnya sudah sedia mempunyai reputasi baik dalam pasaran.
(iii) Peminat pengarang itu banyak sebagaimana yang sudah terbukti oleh jualan buku-buku yang terdahulu.
(iv) Pakejing fizikal judul itu impresif. Bukan yang Pertama adalah 800 halaman. Cover novel ini dihasilkan di Jakarta, di mana jabatan grafik PTS hanya membekalkan foto model yang dihasilkan di studio PTS oleh Pengarah Kreatif PTS, Tn. Hisham Salmin.
(v) Kempen promosi perlu dilancarkan pada tarikh yang sesuai.
(vi) Penerbit sudah menerbitkan banyak judul lain dalam kategori yang sama, supaya jualan judul-judul lain itu dapat ditingkatkan. PTS sudah menerbitkan 42 novel cinta Islami.
Semua 6 kriteria itu mesti ada serentak, baru berbaloi menjalankan kempen promosi menggunakan lead-produk. Jika tidak, kos besar yang ditanggung mungkin hangus sahaja.
Tiga perkara penting lain yang tidak-boleh-tidak mesti dilakukan apabila menjalankn kempen lead-product adalah:
(i) Mendapatkan banyak kedai buku utama di seluruh negara supaya memberikan kerjasama kepada kempen itu.
Kerja-kerja mendapatkan kerjasama daripada pengurus kedai-kedai buku perlu dilakukan lama sebelum buku dihantar kepada mereka.
Mereka mesti diyakinkan bahawa buku lead-product itu akan laku keras, itu sebabnya mereka perlu bersetuju menampalkan poster di dinding pintu masuk kedai, memberi ruang di depan pintu masuk untuk bulk-display dan apabila perlu, mengadakan acara book-signing oleh pengarang.
(ii) Menghantar stok tambahan yang banyak kepada setiap kedai buku terpilih supaya dibuat bulk-display. Ini bermakna buku itu mesti dicetak banyak, tidak cukup jikalau hanya 2 ribu naskhah.
(iii) Mendapatkan kerjasama daripada wartawan akhbar dan majalah, penerbit TV dan radio, dan pengulas-pengulas buku bagi mendapatkan liputan dalam media.
Disebabkan persiapan kempen promosi lead-product adalah banyak dan rencam, makanya tidak semua penerbit berupaya menjalankannya.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment