Monday, July 27, 2009

Tip Survival Penerbit: Strategi PTS Mengutip Hutang

Banyak penerbit telah tutup bisnes, bukan disebabkan buku-buku yang mereka terbitkan tidak laku, tetapi disebabkan buku-buku mereka sangat laku tetapi hutang tidak dapat dikutip.

Hutang penerbit dapat dikumpulkan ke dalam 4 kategori:

(i) Hutang semasa yang belum matang: Semua agen PTS diberi tempoh kredit 3 bulan. Buku yang laku dijual dalam tempoh itu akan dibayar hutangnya, manakala buku yang tidak laku dipulangkan ke setor PTS.

(ii) Hutang matang semasa: Hutang yang sudah sampai tempoh kreditnya, oleh itu mesti dikutip tepat pada masanya. 

(iii) Hutang matang tertunggak: Hutang ini masih belum dibayar walaupun tempoh kreditnya sudah tamat. Sesetengah agen sengaja melambat-lambatkan membayar hutang, ataupun membayar secara berdikit-dikit. Hutang jenis inilah yang menyebabkan aliran tunai kita tercekik. Jika masalah ini berpanjangan ia menyebabkan kita gulung tikar.

(iv) Hutang lapuk: Hutang yang tidak dapat dikutip disebabkan faktor-faktor seperti, (a) Berlaku kematian pemilik kedai, ataupun (b) Kedai buku itu sudah bangkrap (c) Kedai itu terletak terlalu jauh sehingga kos mengutip hutang lebih banyak daripada hutang yang hendak dikutip, (d) dan lain-lain.

Di PTS, pada saat artikel ini ditulis, jumlah semua jenis hutang yang perlu dikutip daripada agen-agen, pengedar dan kedai-kedai buku di seluruh negara adalah lebih sedikit RM8 juta. Daripada jumlah itu sekitar RM4 juta (50%) adalah hutang matang semasa (kategori ii), dan RM4 juta (50%) hutang matang tertunggak (kategor iii).

Pada tahun 2006, keadaan itu lebih buruk, yakni (60% - 40%), dan ia sangat membahayakan aliran wang tunai syarikat. 

Walaupun nisbah itu sudah bertambah baik, yakni 50-50, tetapi keadaan ini tidak cukup sihat bagi pengurusan PTS, dan banyak langkah sedang dilaksanakan bagi memperbaiki keadaan ini.

Langkah utama yang diambil adalah menambah jumlah pegawai sales.

Jika jumlah pegawai sales tidak banyak, mereka terburu-buru pergi dari satu kedai ke satu kedai bagi menyemak stok buku dan mengambil pesanan baru. Akibatnya mereka tidak mempunyai masa menjalin hubungan baik dengan pengurus kedai.

Walaupun tugas mengutip hutang adalah tugas pegawai credit controller, tetapi dengan lebih banyak pegawai sales, mereka mempunyai masa menjalin hubungan baik dengan pengurus kedai-kedai buku, seperti duduk minum kopi ataupun makan malam dengan mereka, di mana sambil minum-minum kopi mereka dapat berbincang tentang bisnes sambil mengingatkan pengurus kedai supaya menghantar cek hutang.

Dalam sistem pengurusan tradisional, kerja-kerja mengutip hutang adalah tugas pegawai credit controller, manakala tugas pegawai sales adalah menjual sahaja. Itulah sebabnya pegawai jualan tidak ambil pusing berapa hutang agen, pengedar dan pekedai kerana komisen pegawai sales dikira berdasarkan nilai jualan yang mereka capai.

Di PTS, sistem komisen PTS berbeza.

(i) Pertama, komisen jualan buku-buku PTS dikongsi oleh SEMUA anggota TimPTS yang sudah tetap jawatannya, bukan hanya dikongsi oleh pegawai jabatan sales sahaja.

(ii) Kedua, komisen dibayar berdasarkan jumlah hutang yang berjaya dikutip bagi bulan tersebut. Ini bermakna semakin banyak hutang yang dapat dikutip, semakin banyak komisen yang dibayar kepada semua TimPTS.

Sistem perkongsian komisen yang diamalkan di PTS itu mendorong semua anggota TimPTS tolong-menolong membantu tugas pegawai credit controller mengutip hutang. Yang paling kuat membantu adalah pegawai-pegawai sales, di mana setiap kali mereka keluar melawat kedai-kedai buku, mereka mengambil masa bagi menjalin hubungan baik dengan pengurus kedai dan mengingatkan mereka supaya tidak melambat-lambatkan menghantar cek ke PTS.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Kisah Bagaimana PTS Memperoleh Pembiayaan Membeli Bangunannya Previous entry: Tip Survival Penerbit: Sumber-sumber Kewangan Penerbit Buku

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.