Wednesday, January 26, 2011

Tip Survival Penulis Novel: Elakkan Tema Basi Isu Semasa dalam Media

Penerbit novel dewasa meminjam wang dari bank bagi membiayai penerbitan novel. Mereka menggadaikan tanah dan rumah sebagai cagarannya. Jadi, penerbit hanya mahukan novel yang laku dijual supaya dapat membayar hutang bank dan membuat sedikit keuntungan.

Kalau novel dewasa mahu laku dalam pasaran, novel mesti menghidangkan bahan-bahan berfikir yang tidak dijual lambak dalam pasaran, ataupun bahan-bahan yang dapat dibaca secara percuma dalam internet.

Ini bermakna novel tidak boleh menawarkan bahan yang sudah banyak dikupas dalam akhbar, radio dan televisyen, yang disebut sebagai 'isu semasa'. Contoh isu semasa adalah kes penyakit misteri, kes huru-hara rumahtangga, kes cerai-berai, kes suami kejam, kes isteri tua menderita, kes bohsia, kes mat rempit, kes buang bayi, kes penipuan dalam internet, kes penderaan kanak-kanak, dan banyak lagi.

Kes-kes seperti itu tidak habis-habis dilaporkan dalam media tabloid. Ia juga menjadi bahan posting popular dalam media sosial seperti blog dan FaceBook. Akibatnya topik-topik itu menjadi tema klise, cerita basi, dan orang muak membacanya.

Penerbit memerlukan novel-novel yang bebas daripada pengaruh isu-isu semasa, justeru apa yang diperlukan adalah karya penulis yang tinggi daya kreativitinya, kuat membaca bahan ilmu, dan sentiasa berfikir secara serius, kritikal dan tajam, dalam proses mencari tema dan cerita, bukan karya yang dihasilkan dengan berfikir secara ringan-ringan sahaja.

Apa yang berlaku sekarang, banyak bahan-bahan yang dibaca dan ditonton dalam media menjadi buah fikiran penulis, dan kemudian bahan-bahan itulah juga yang dijadikan tema dan cerita dalam novelnya. Jika dalam drama televisyen banyak didedahkan cerita-cerita dari dalam kain datuk-datuk dan datin-datin, maka novelnya pun menceritakan hal-hal di dalam kain datuk-datuk dan datin-datin. Tema dan jalan cerita dalam novel serupa sahaja dengan tema dan cerita dalam drama-drama murahan televisyen dan cerita-cerita rintihan jiwa dalam surat khabar tabloid.

Pembaca novel membayar purata RM20 bagi membeli sebuah novel, wang yang diperoleh dengan susah payah, jadi mereka tidak mahukan tema klise dan cerita klise.

Biar pun kulit novel itu cantik dan judulnya menarik, namun cerita basi tetap cerita basi.

NOTA: Novel Nian Hati Salsabila mengemukakan tema dunia seorang jururawat. Novel Namaku Bukan Maria adalah berdasarkan tema kisah hidup Natrah.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Tip Survival Penerbit: Pasaran Novel Cinta Islami Mula Mendatar Previous entry: PTS akan Melancarkan Tahun Kempen Apresiasi Karya SN A Samad Said

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.