Monday, January 31, 2011

Tip Survival Penulis: Peri Pentingnya Menjalin Hubungan Baik dengan Editor

Banyak faktor bermain serentak di sebalik kejayaan PTS menghasilkan buku-buku yang laris dalam pasaran.  Antara faktor-faktor itu adalah:

(i) Nama penulis sudah terkenal kerana beliau mempunyai banyak judul yang terbit.

(ii) Buku yang isi kandungannya memenuhi kehendak pembaca, bahasanya kemas dan mudah difahami, serta judul dan desain kulitnya cantik.

(iii) Penulis mempunyai blog yang popular.

Ada satu lagi faktor yang penting, iaitu penulis perlu pandai menjalin hubungan kerja profesional yang akrab dengan editor-editor yang menguruskan penerbitan buku-bukunya.

Banyak penulis menyangka mereka tidak perlu menjalin hubungan akrab dengan editor. Mereka percaya manuskrip yang baik tentulah akan dengan sendirinya dipilih oleh editor dan akan diterbitkan dan laku keras dalam pasaran.

Namun, manuskrip yang baik hanya salah satu faktor kejayaan buku. Banyak buku yang baik isinya tidak laku dalam pasaran. Manakala banyak buku yang buruk isinya sangat laku dalam pasaran.

Editor-editor PTS diwajibkan mencapai KPI (key performance index) yang ditetapkan ke atas masing-masing editor. Setiap bulan mereka mesti menghasilkan sekian banyak judul yang dijual sekian banyak ringgit. Jika buku terbit tetapi tidak laku dijual, KPI prestasi mereka terjejas, dengan itu komisen mereka terjejas, dan bonus mereka terjejas.

Semua penulis PTS yang buku-bukunya berjaya terjual lebih RM200 ribu setahun mempunyai hubungan akrab dengan editor-editor mereka. Penulis-penulis itu berusaha membantu editor mereka mencapai KPInya. Mereka tahu manuskrip bagaimana yang dimahukan oleh editor dan mereka berusaha menghasilkannya. Mereka juga tahu jadual perancangan kerja editor mereka dan mereka bekerja bagi mematuhi jadual kerja editor masing-masing.

Salah satu cara mencari peluang bagaimana hendak berkenalan dengan editor adalah dengan selalu menghadiri bengkel-bengkel penulisan PTS. Lazimnya akan ada editor PTS yang hadir, maka di situlah penulis dapat memperkenalkan dirinya dan menjalin hubungan profesional.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(0) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: AHAD 6 Mac 2011: Kursus Penulisan Fiksyen: Novel Kanak-Kanak dan Remaja Awal (6 - 12 tahun) Previous entry: Enam Judul Brian Tracy akan Diterbitkan

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.