Tip untuk Penulis-Trainer PTS: Kecacatan Karisma Mr. OK, Mr. So-So, dan Mr. Right
Trainer yang memiliki karisma berpeluang menikmati yuran profesional yang lebih tinggi daripada harga biasa dalam pasaran.
Banyak faktor bergabung lalu menghasilkan karisma. Wajah yang tampan sahaja tidak dapat menghasilkan karisma. Wajah tampan yang disertai faktor-faktor lain barulah mencipta karisma.
Dr. Sheikh Muszaphar adalah seorang yang tampan dan karismatik. Tetapi jika wajah beliau yang tampan itu dimiliki oleh seorang juruukur, maka wajah itu menghasilkan juruukur yang handsome sahaja, bukan juruukur yang karismatik.
Dr. Muszaphar karismatik kerana beliau memiliki kombinasi wajah tampan, tinggi, seorang doktor dan seorang 'angkasawan'. Disebabkan beliau memiliki karisma maka beliau dapat meletakkan yuran profesional yang lebih tinggi daripada harga pasaran.
Karisma adalah sesuatu yang dapat dirosakkan dari sudut pandang orang yang menilainya. Sebagai contoh, bagi orang yang cuma melihat foto Dr. Muszaphar, dia melihat angkasawan itu sebagai seorang yang karismatik. Tetapi, selepas mendengar angkasawan itu berucap dia mungkin tidak lagi menganggap angkasawan itu karismatik.
Banyak faktor dapat merosakkan karisma seseorang, seperti skandal, jatuh miskin, hilang populariti dan banyak lagi.
Salah satu faktor yang boleh mencacatkan (bukan merosakkan) karisma seseorang trainer adalah 'habit mulut' semasa bercakap di depan peserta kursus.
Habit mulut adalah kata-kata, ataupun bunyi-bunyi bukan-bahasa (seperti "aa... aa..."), yang terkeluar dari mulut secara refleks.
Ada orang yang diberi nama-nama jolokan oleh orang-orang di sekeliling mereka berdasarkan habit mulut mereka.
Jika seseorang itu selalu menyebut "OK... OK..." apabila bercakap, maka dia diberi jolokan "MR. OK".
Jika seseorang itu suka menyebut "so... so..." semasa bercakap, maka dia diberi nama jolokan "MR. SO-SO".
Jika seseorang itu suka menyebut "Right?... Right?" maka dia diberi jolokan "MR. RIGHT".
Nama-nama jolokan, seperti "Mr. Ok". "Mr. So-so", ataupun "Mr. Right", (termasuklah nama panggilan kampungan seperti "Pak Din" ataupun "Pak Lah"), tetap mencacatkan karisma.
Patutlah Nabi Muhammad tidak membenarkan kita memberi nama jolokan yang tidak cantik maknanya kepada orang lain.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Assalamualaikum Sifu,
Entri ini mengingatkan kita kepada seorang peguam yang terkenal tahun lalu yang kini digelar `Mr Correct` oleh orang awam. Kertas putih yang membabitkan peguam bekas Perdana Menteri itu nampaknya sudah mula dilupakan orang.
Tahun ini pula seorang `pembesar` di Dewan Rakyat mendapat jolokan `Mr Reject` kerana tindakannya yang sentiasa menolak kesemua usul yang dikemukakan pembangkang.
Selain jolokan umum itu saya serta keluarga di rumah pun mempunyai beberapa jolokan kepada beberapa personaliti televisyen termasuk seorang ustaz.
Kami memberikan jolokan `Ustaz Konteks` kepada seorang ustaz yang berceramah di tv kerana terlalu kerap menyebut perkataan itu. Kadangkala dalam sepuluh ayat-ayat yang dituturnya terdapat tiga atau empat perkataan `konteks` itu. Bagaimanapun, kami sekelurga memang sukakan slot Ustaz Konteks tersebut.
Manakala seorang gadis bukan Melayu yang menyampaikan berita berbahasa Inggeris pula terlalu banyak menggunakan perkataan `point` terutama bila membaca berita saham dengan sengauan yang menarik. Kami panggil dia sebagai `Miss Point`. Memanglah, kebetulan dalam saham banyak membabitkan nombor perpuluhan.
Kepada kedua-dua personaliti itu kami mohon maaf jika jolokan itu menyinggung mereka.
Post a comment