Wednesday, May 24, 2006

Tips Memilih Penerbit

Inilah ciri-ciri penerbit yang berisiko gagal membayar royalti:

1. Individu yang baru cuba-cuba menerbitkan buku. Dia mungkin bukan penipu, tetapi disebabkan dia baru belajar menjadi penerbit, kemungkinan dia gagal dalam bisnes penerbitannya adalah besar, oleh itu risiko yang saudara ambil adalah amat tinggi.

2. Penerbit yang 'one-man show'. Dia membuat semua keputusan tentang manuskrip saudara. Dialah tawe, dialah yang pegang buku cek, dialah yang memilih manuskrip, dan dialah yang pergi ke bank. Individu seperti itu amat berkuasa dan jika dia hendak menipu saudara, memang mudah dia melakukannya, sebab semua rekod perniagaan dia simpan.

3. Penerbit itu kawan sendiri. Walaupun dia sahabat baik saudara, itu bukan jaminan dia akan berjaya menjaga kepercayaan saudara.

4. Penerbit yang tidak dikenali. Dapatkan dahulu maklumat apakah penerbit itu membayar royalti tanpa ditagih, dan apakah dia menyediakan dokumen perjanjian penerbitan.

5. Apakah ketua eksekutif penerbit itu seorang yang semata-mata makan gaji dengan syarikat tersebut? Jika benar, itu bermakna risiko saudara ditipu oleh orang yang makan gaji adalah rendah disebabkan dia hanya makan gaji. Lainlah kalau dia tuan punya syarikat itu, di mana apabila dia dapat menipu saudara, wang itu masuk ke dalam akaun peribadinya.

Memang risiko saudara ditipu oleh penerbit kecil sentiasa ada, tetapi bukan semua penerbit kecil adalah penipu. Kebanyakan penerbit kecil tidak dapat membayar royalti saudara disebabkan mereka gagal dalam bisnes.

Royalti: Teknik Penerbit Tipu Penulis

Penerbit saudara mempunyai pelbagai cara menipu saudara:

  1. Saudara diberitahu buku saudara dicetak 3 ribu naskhah, tetapi penerbit mencetak 5 ribu naskhah. Ini bermakna saudara tidak menerima royalti daripada 2 ribu naskhah itu.

  2. Penerbit memberitahu buku saudara tidak laku, tetapi buku saudara diulangcetak diam-diam.

  3. Saudara diberitahu buku saudara dijual kepada pengedar pada harga diskuan RM6 tetapi sebenarnya ia dijual pada harga RM7.

  4. Saudara diberitahu buku return yang rosak adalah 300 naskhah, tetapi sebenarnya cuma 20 naskhah.

  5. Penerbit menolak manuskrip saudara dengan alasan ia tidak sesuai diterbitkan, tetapi tidak lama kemudian penerbit menerbitkan bukunya sendiri yang seakan-akan manuskrip saudara.

  6. Apabila tiba musim membayar royalti, saudara diberitahu buku saudara yang laku dijual adalah 1 ribu naskhah, tetapi jumlah yang laku adalah 2 ribu naskhah.

  7. Penerbit mendapat kontrak membekalkan 1 ribu naskhah kepada projek kerajaan, tetapi perkara ini tidak dimaklumkan kepada saudara.

  8. Penerbit melesenkan buku saudara diterbitkan di Indonesia oleh penerbit Indonesia dengan perubahan pada nama pengarang, tetapi saudara tidak dimaklumkan.

Jikalau penerbit hendak menipu saudara, dia mempunyai banyak cara yang membolehkan saudara tidak dapat kesan dengan mudah. Itulah sebabnya saudara mesti berhati-hati memilih penerbit.

Royalti: Untung 10% Rugi RM10 ribu

Berapakah persen royalti yang saudara terima daripada penerbit saudara?

5%? 7%? 10%? 12.5%? 16%? 20%? Jumlah persen royalti boleh merugikan baik penulis mahupun penerbit. Ini terutama berlaku apabila si penulis baru kali pertama hendak menerbitkan karyanya dengan si penerbit itu.

Pernahkah saudara mendengar dialog seperti di bawah ini?

"Berapa persen royalti saya?" tanya si penulis.

"7%," jawab editornya.

"Tapi penerbit Polan-Polan Sdn. Bhd. menawarkan saya 10%!" si penulis membantah.

"Kami hanya mampu memberi 7% daripada harga buku yang dicetak di kulit belakang buku encik," kata si editor.

"Beginilah," kata si penulis.

"Saya tarik balik cadangan saya hendak menerbitkan karya saya dengan syarikat awak!"

Banyak penulis tidak benar-benar faham implikasi persen-persen royalti yang ditawarkan kepada mereka, ini termasuk juga penulis-penulis yang sudah ternama.

Mereka hendak mendengar jumlah angka persen itu: Apakah 10%? 12.5%? 20%? Banyak penerbit tahu benar kelemahan (baca, kebodohan akumen bisnes) penulis dan mereka mengeksploitasi kelemahan itu.

Ambil contoh-contoh kes berikut:

1. Sebuah penerbit menawarkan royalti 16%. Sekali pandang bunyinya sangat menarik. Tetapi penulis tidak peduli hendak bertanya 16% itu 16% daripada apa? Rupa-rupanya 16% daripada harga buku selepas ditolak diskaun kepada pengedar. Apabila tiba masa kiraan royalti barulah penulis tahu penerbit memberi potongan 50% kepada pengedar. Harga asal buku itu RM20, selepas ditolak diskaun pengedar harganya tinggal RM10. Penulis dibayar royalti 16% daripada RM10!

2. Sebuah pengedar menawarkan royalti 11% kepada penulisnya. Tetapi dalam dokumen perjanjian penerbitan tidak dituliskan berapa harga buku itu. Begitu juga harga itu tidak dicetak pada buku.

Pada suatu hari si penulis pergi ke kedai buku dan nampak bukunya di atas rak. Dia pun mengambil bukunya. Pada bukunya itu ditampal stiker harga. Pada stiker itu tertulis harga bukunya RM18. Apabila tiba masa menerima royalti, dia tidak puas hati kerana jumlah wang yang diterima lebih rendah daripada jumlah yang dikiranya sendiri iaitu 11% daripada RM18. Penerbit mengatakan jumlah wang itu betul iaitu 11% daripada harga jualan RM14. "Kalau kedai naikkan harga, saya tidak tahu!" kata tuan punya syarikat penerbitan itu.

3. Seorang penulis ditawarkan royalti 10% daripada harga jualan yang tercetak. Harga buku itu RM15. Tetapi apabila tiba masa mengira royalti, penerbit menolak 300 naskhah promosi dan 100 naskhah peruntukan bagi buku yang rosak. Setahu penulis itu si penerbit tidak menjalankan apa-apa program bagi mempromosi bukunya sehingga jualan bukunya amat rendah.

4. Seorang penulis ditawarkan royalti 14% oleh penerbitnya. Dia diberitahu cetakan pertama bukunya adalah 2 ribu naskhah sahaja sebab penerbit tidak yakin buku itu laku. Dia hanya sekali menerima royalti sebanyak RM1,500. "Buku tak laku," kata si penerbit. Tiga tahun kemudian, daripada seorang petugas setor yang bekerja dengan penerbit itu, dia mendapat tahu bukunya setiap tahun dicetak semula tanpa menukar "cetakan pertama 1999".

Apabila saudara hendak menyerahkan buku saudara kepada mana-mana penerbit, jangan buat keputusan berdasarkan persen-persen. Ambil kira faktor-faktor lain yang lebih penting sebelum membuat pilihan.

Royalti: Rancang Royalti Berulang

Apabila tiba bulan September, tibalah musim penulis menerima cek royalti daripada penerbit masing-masing. Beberapa penulis muda PTS akan menerima cek royalti pertama mereka tahun ini kerana karya mereka mula terbit pada tahun 2005.

Apabila saudara menerima royalti, cuba lihat adakah jumlah itu dapat dibahagikan seperti berikut?

a. 60% duit royalti yang saudara terima itu datang daripada buku-buku saudara yang terbit sebelum tahun 2000 (ertinya buku-buku yang usianya sudah lebih 5 tahun dalam pasaran)

b. 40% datang daripada buku-buku yang terbit antara 2001 hingga 2005 (buku-buku yang kurang 4 tahun dalam pasaran)

Nisbah 60% - 40% ini sangat penting bagi mengetahui sama ada perancangan royalti saudara itu membolehkan saudara hidup selesa ataupun tidak.

Jika buku-buku saudara tidak panjang hayatnya dalam pasaran, ini bermakna saudara terpaksa menulis buku baru setiap tahun disebabkan buku saudara hanya dicetak sekali sahaja. Satu kali tulis, satu kali cetak, satu kali dapat royalti.

Walaupun saudara pengarang buku, tapi saudara hidup macam mamak mee goreng, jika mamak berhenti menggoreng mee, duit pun berhenti masuk. Macam mamak itu, setiap kali saudara perlu duit, saudara terpaksa menulis buku baru.

Jika buku saudara panjang hayatnya dalam pasaran, saudara hidup macam pencipta lagu. Satu kali tulis lagu, banyak kali dirakamkan oleh berlainan penyanyi, banyak kali dicetak, banyak kali dimainkan untuk tujuan komersial, banyak kali dapat royalti.

Contoh penulis yang pendapatannya gaya ala mamak mee goreng adalah (dengan berbanyak-banyak maaf) adalah novelis A. Latip Talib. Beliau pernah memenangi pelbagai hadiah dan anugerah. Beliau sudah menerbitkan 11 buah novel, beberapa judul diterbitkan oleh DBP. Tidak sebuah pun novelnya yang pernah diulangcetak, meskpiun memang hadiah dan anugerah. Ini bermakna, pada tahun ini 2006, jumlah royalti yang diterima oleh A Latip Talib daripada judul-judul sebelum tahun 2000 adalah RM0.00, yakni 0%.

Bandingkan dengan 2 buah buku Hamedah Wok Awang (beliau belajar menulis selepas lumpuh akibat kemalangan jalanraya) dengan karyanya Cerita-cerita Motivasi untuk Guru dan Cerita-cerita Motivasi untuk Pelajar yang setiap tahun diulangcetak oleh PTS.

*****

Jika saudara belum pernah menerima royalti lebih RM2, 000 bagi satu judul buku cerita yang tebalnya cuma 150 halaman, jumlah itu saudara terima daripada penerbit saudara tiap-tiap tahun, sejak 15 tahun yang lalu, maka saudara tidak akan percaya ada karyawan dalam bidang penulisan dapat hidup selesa dengan menulis sepenuh masa.

Apabila bercakap tentang wang royalti, cerita yang banyak dibaca adalah cerita penulis-penulis novel cinta yang mendapat royalti ratusan ribu ringgit. Tetapi itu adalah sebahagian sahaja daripada seluruh cerita.

Peluang membuat duit ada di mana-mana, bukan hanya pada industri novel cinta.

Ada penulis menerima royalti lebih daripada RM100,000 setiap tahun bagi 30 judul buku motivasinya yang ditulis lepas satu, satu lagi, dalam tempoh 10 tahun.

Berdasarkan desas-desus yang kita dengar daripada sumber-sumber pasaran, kita membuat anggaran penulis Azizi Hj. Ali, seorang juruterbang profesional pesawat komersial, yang terkenal dengan 3 bukunya tentang bagaimana menjadi jutawan hartanah, sudah membuat keuntungan lebih RM700 ribu daripada buku-bukunya itu.

Kita kenal penyusun kamus, yang kamus-kamusnya diulang cetak setiap tahun, selama 13 tahun yang lalu, dengan jumlah royalti terkumpulnya lebih suku juta ringgit. Itu baru royalti bagi kamus-kamusnya sahaja!

********

Entri ini ditulis sebagai respon kepada Hafez Ziadi

Berapa gaji saudara sekarang? Katakanlah RM2,000 sebulan, yakni RM24,000 setahun.

Katakanlah buku saudara dijual pada harga RM15.00 senaskhah, royalti saudara adalah RM1.00 bagi setiap naskhah yang terjual.

Buku saudara itu perlu dijual 2,000 naskhah setahun, baru saudara mendapat royalti RM2,000 bagi buku itu.

Saudara perlu mempunyai 12 judul buku, di mana setiap 1 judul dapat membawa royalti RM2,000 setahun. Dengan itu pendapatan royalti saudara adalah RM24,000 setahun.

Buku-buku jenis apakah yang mudah ditulis dan mudah dapat dijual 2000 naskhah setiap tahun selama bertahun-tahun? Buku cerita evergreen!

 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Memilih Penerbit
(27) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Surat Ahmadinejad Previous entry: Mesti Tengok
Latiptalib  on  05/18  at  09:16 AM

puan ainon, saya dah tulis 11 buah buku ( tapi bukan diterbitkan oleh PTS) royaltinya dah lama tak dapat sebab sekali cetak sahaja. 

selepas ini saya nak tulis buku yang evergreent pulak…hehe.
——-

Puan Ainon Mohd.  on  05/18  at  09:50 AM

Tuan Latip,

4 buah novel Islami tuan yang akan diterbitkan oleh PTS itu evergreen!

Bagaimana kemajuan projek menulis semula “HAH”? (terpaksa rahsiakan dulu apa makna singkatan HAH…)

Latiptalib  on  05/18  at  10:29 AM

Puan Ainon Mohd

Alhamdulillah, gembira hati saya bila PTS nak terbitkan 4 buah novel islami saya serentak.

HAH dah bermula. terima kasih diucapkan kepada SIFU.

Najwa Aiman  on  05/18  at  05:16 PM

marketing pun memainkan peranan pada peringkat awalnya utk jadikan novel tu evergreen

Panaharjuna  on  05/19  at  12:19 PM

Sepuluh buah novel..err…ada hutang lagi berapa buah ya? hehehehe…

Anonymous  on  05/19  at  05:48 PM

Puan Ainon, maklumat yang macam puan tulis ni kita tak pernah diberitahu. Jadi kita percaya bulat2 cakap orang yang mengatakan jadi penulis tak boleh hidup.

Anonymous  on  05/20  at  09:52 AM

Anonymous 1,
Penulis yang tak boleh hidup ni adalah penulis yang tidak dibayar hasil penulisan mereka; walhal separuh mati mereka bertungkus-lumus ‘bekerja’ grin 

Tetapi selagi ada penerbitan (termasuk syarikat/penerbitan yang besar) cukup liat hendak membayar hasil kerja penulis, walhal mereka ini telah buat duit dengan karya penulis; selagi itu akan ada penulis yang tak boleh hidup. 

p/s : Ada rumours yang saya dengar memberitahu bahawa Rhythm Publishing adalah antara penerbitan yang liat membayar royalti penulis novelnya?  Betul ke?

Latiptalib  on  05/21  at  07:46 AM

Sdr Panaharjuna nak tulis 10 buah novel untuk PTS?. oh bagusnya hehe

Ghazali  on  05/21  at  09:20 AM

Ya, betul, tetapi bagaimana pula jika penulis diberi 7% (atau 5%) dan kes no 3 dan no 4 tetap berlaku kepada beliau? Lebih kurang sama sahaja ceritanya, bukan?

Apa yang penting di sini ialah penulis harus membaca dan memahami terma & syarat yang terkandung dalam surat perjanjian antara penerbit dengan penulis. Jika tidak bersetuju dengan sesetengah terma & syarat, bawa berbincang dan buat pindaan (atau tambahan) dengan syarat dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

annyss  on  05/21  at  10:45 AM

Puan Ainon,
Sangat setuju dengan entri puan ini. Ramai penulis tidak ambil kisah dengan isu-isu royalti, hak cipta dan perjanjian.

Kena buat satu seminar hak cipta, memahami perjanjian penerbitan kepada semua penulis (yang mahu dan ada kesedaran). Jika tidak semakin ramai penulis yang akan dipermainkan penerbit kacang hijau.

Tetapi siapa yang sanggup menjadi penganjur?

ICeSoul  on  05/22  at  02:48 AM

Salam Puan,mcamana nak tau buku tu akan dibuat cetakan kedua dan seterusnya?apa faktor yg menyebabkan ia diulang cetak dan berapa kuantiti untuk cetakan2 seterusnya? harap dapat tunjuk ajar

Puan Ainon Mohd.  on  05/22  at  04:20 AM

Sdr Icesoul,

Minggu lepas kita semua tertunggu2 sdr muncul dalam bengkel, maklum kita semua rindu betul nak jumpa sdr,terutama Sdr Zafran!

Tentang bagaimana sdr boleh tahu apakah buku sdr akan diulangcetak, itu adalah tugas penerbit memaklumkan perkara itu kepada penulis. Sdr sebagai penulis berhak membenarkan ataupun tidak membenarkan buku sdr diulangcetak, tetapi hal ini perlu disebut dalam perjanjian.

Tentang kuantiti ulangcetak, itupun sdr perlu dimaklumkan oleh penerbit, tetapi ini juga perlu disebutkan dalam perjanjian.

Puan Ainon Mohd.  on  05/22  at  04:28 AM

Puan Annyss,

Pada pendapat saya, DBP patut buat seminar hakcipta, tetapi walaupun saya sudah bercakap perkara ini kepada pegawai hakciptanya, hmmm…. macam masuk telinga kanan, keluar telinga kiri sahaja….

Saya juga sudah bercakap dengan orang terkuat GAPENA, hmmmm…. macam bercakap dengan DBP juga….

ghazali  on  05/22  at  08:58 AM

Puan Annyss,

Tentang seminar hak cipta, itu saya bersetuju.

Tentang perjanjian antara penerbit dengan penulis, ini agak sukar kerana perjanjian antara sesebuah penerbit dengan seseorang penulis itu adalah berbeza-beza. Perbezaan boleh berlaku daripada segi peratus royalti (jika penulis dibayar royalti. Jika penulis dibayar menggunakan konsep ‘outright purchase’, harganya juga mungkin berbeza walaupun manuskrip adalah daripada siri buku yang sama), kuantiti bilangan cetakan pertama dan kuantiti ulang cetak.

Apa yang penting di sini ialah penulis harus membaca dan memahami terma & syarat yang terkandung dalam surat perjanjian antara penerbit dengan penulis. Jika kurang faham atau tidak bersetuju dengan sesetengah terma & syarat, bawa berbincang dan buat pindaan (atau tambahan) dengan syarat dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

ghazali  on  05/22  at  09:14 AM

Encik Icesoul,

Tentang isu kuantiti ulang cetak, ini kadang-kadang agak sukar dibendung. Pada pendapat saya, isu ini lebih kepada kes ‘atas budi bicara penerbit’. Hal ini kerana walaupun telah tercatat dalam surat perjanjian kuantiti buku yang sepatutnya diulang cetak, ada kalanya penerbit terpaksa mengulang cetak lebih daripada kuantiti yang telah dipersetujui.

Kes ini boleh berlaku terutamanya apabila
1. buku itu menjadi ‘best seller’ secara tidak dijangka.
2. buku itu telah dipilih sebagai salah sebuah buku yang ‘terkena’ dalam seleksi perpustakaan atau lain-lain badan kerajaan. Dalam sesetengah pesanan, perpustakaan akan membeli dalam kuantiti yang banyak.

Cara yang betul dan jujur, penerbit haruslah memaklumkan kuantiti ini kepada penulis.

Cara yang tidak betul, ‘atas budi bicara’ penerbit.

Ida Rizyani  on  05/22  at  09:27 AM

Pihak PTS telah memulakan satu langkah yg sgt baik iaitu mendidik penulis mengenai perkara penting yg perlu diketahui pihak penulis. Sebab itulah saya semakin bersemangat menulis utk PTS..Syabas PTS.

Anonymous  on  05/22  at  09:55 AM

Anonymous 2,
Itu bukan rumours(mengenai Rhythm Publishing yang liat membayar royalti penulis novelnya)

Saya berani mengatakan ada penulis yang masih belum lagi dibayar royalti novelnya sehingga kini - termasuk saya.

Walaupun penulis dibayar ‘advance royalty’; tetapi royalti yang seterusnya, mereka terpaksa berhempas-pulas untuk mendapatkannya (kalau nasib baik, dapat; kalau tidak, menunggulah lagi) Bagaimana pula dengan penulis yang tidak tahu hak dan malu untuk menuntut?

Perlu diingatkan, Penerbitan Rhythm ini diberikan kuasa oleh DBP untuk mengeluarkan novel-novel karya sasterawan negara (Salina - A. Samad Said, Lepaskan Aku Kembali Ke Laut -Shaari Isa dll); Jika dengan penulis in-house sendiri pun mereka liat hendak membayar royalty, bagaimana pula dengan penulis yang karya mereka ‘difrancaiskan’ penerbitannya oleh DBP kepada penerbitan ini.  Nampaknya, sasterawan kita dikhianati lagi.

Yang benar,
Bekas penulis

ghazali  on  05/22  at  11:04 AM

Encik Anonymous,

Atas sebab inilah, ada sesetengah penerbit yang menawarkan alternatif kepada penulisnya, iaitu dengan membeli manuskrip secara ‘outright purchase’.

Namun, pada pendapat saya, cara ini lebih sesuai untuk buku yang tempoh hayatnya pendek seperti buku ulang kaji sekolah. Bagi buku am atau buku cerita, jika penulis mahukan cara ini, penulis mestilah memastikan bahawa bayaran yang diterima bagi setiap manuskrip yang dijual itu berbaloi.

Walau apapun, penerbit seharusnya menawarkan alternatif ini kepada penulis.

Biarkan penulis yang membuat pilihan.

mesin taip buruk  on  05/22  at  11:18 AM

Puan Ainon,

Nak tanya sedikit, bagaimana kita nak tahu penerbit macam mana yang selalunya buat kerja tipu penulis? Terima kasih.

Anonymous  on  05/22  at  11:32 AM

Puan,

Bagaimana pula dengan karya yang memenangi sayembara dan diterbitkan? Dapat hadiah sayembara sahaja, dan royalti tidak dapat? Jadi hak penganjur sekaligus penerbit?

Setakat yang saya tahu, tidak pernah ada perjanjian dalam hal ini.

anak novelis malang  on  05/22  at  12:12 PM

Puan Ainon,

Tokoh-tokoh sastera yang karya-karyanya diserahkan oleh DBP kepada penerbit RYTHM, tanpa mendapatkan persetujuan penulis adalah Dato’ A. Samad Said, Dato’ Shahnon Ahmad, Arena Wati, Dato’ Abdullah Husain, Dato’ Dr. S. Othman Kelantan, Allahyarham Keris Mas, Tan Sri Dr. Awang Had Salleh, Baharuddin Kahar, Hassan Ali, Dato’ Dr. Anuar Ridhwan, Ibrahim Omar, Azmah Nordin, Amil Jaya, Shaari Isa, Muhammad Rakawi Yusuf, Datin Rosmini Shaari dan Jong Chia Lai.

Adakah DBP berhak melakukan apa yang telah dilakukannya itu? Saya dapat tahu sampai sekarang 1 sen pun mereka belum pernah terima royalti dari Rythm.

Siapakah yang bersalah, DBP atau Rythm?

Puan Ainon Mohd.  on  05/22  at  02:08 PM

Sdr Anonymous,

Tentang nasib karya yang menang sayembara, sdr perlu baca syarat2 penyertaan sayembara itu. Adakah disebut dengan jelas karya yang memang akan menjadi hak penganjur?

Jika sdr hendak mencabar kesahan syarat itu, caranya adalah dengan membawa kes sdr ke mahkamah.

Hati-hati apabila masuk sayembara!

pena utara  on  05/22  at  03:48 PM

Puan Ainon, adakah penerbit Rythm tu yang dikatakan sedang nazak, sampai tak mampu bayar royalti pengarang? Bukankah syarikat itu sahamnya masuk BSKL, macam mana boleh nazak? Kalau penerbit besar pun tak bayar royalti, macam mana nasib penulis?

ghazali  on  05/22  at  09:51 PM

Puan Ainon,

Saya terpaksa tidak bersetuju dengan entri puan kali ini.

Adalah tidak adil untuk mengatakan ciri-ciri penerbit yang gagal membayar royalti antaranya ialah contoh 1 dan 2. Berdasarkan pengalaman saya yang telah beberapa kali berurusan dengan penerbit 1 dan 2, saya dapati kadang-kadang penerbit 1 dan 2 ini lebih agresif dan efisien daripada penerbit besar. Pembayaran royalti atau ‘outright purchase’ adalah tepat dan cepat. Sebarang keputusan yang dibuat tentang penerimaan atau penolakan manuskrip juga cepat diketahui.

Ini disebabkan:
1. Mereka baru hendak bertapak. Oleh itu, mereka perlu berusaha lebih keras untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan pihak penulis.
2. Daripada segi pembayaran, kita hanya perlu berurusan dengan pemilik syarikat. Urusan adalah secara direct. Penulis tidak perlu melalui pelbagai lapisan baharu wang dapat diperoleh.

Sebenarnya, penipuan daripada segi pemberian royalti ini bukan tertakluk kepada besar atau kecilnya sesebuah penerbit itu.

Sebenarnya, penerbit perlu tepuk dada dan tanya iman.

Nieys  on  12/02  at  10:01 AM

Saya suka dengan entri ini. Saya juga pernah tertipu dengan sebuah publisher. Saya anggap ianya sebagai satu pengajaran dan dugaan saya sebagai penulis. Kini, saya berazam untuk lebih berhati-hati..

Page 1 of 2 pages  1 2 >

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: