Friday, February 23, 2007

Trend Mutakhir Pasaran Buku Inggeris

Nota: Kita siarkan surat Tuan Ibnurabi ini kerana informasi yang beliau berikan penting bagi penerbit dan penulis buku Melayu. Tuan Ibnurabi adalah seorang pakar retailing buku Inggeris dan Melayu. Berikut surat beliau:

"Bimbang di tempat yang betul, dan dengan fakta yang betul.

Yang saya bimbang permintaan untuk buku-buku Bahasa Melayu meningkat tetapi jumlahnya atau ‘range’-nya agak terhad, lebih-lebih lagi untuk buku yang berkualiti dan punya pasaran. Kehendak pembaca tinggi tetapi terdapat kekurang judul-judul yang memenuhi kehendak pembaca dan pembeli.

Realitinya, pasaran buku sastera Inggeris, sama ada berat atau picisan, tidak meningkat. Ia nampak gah cuma apabila ada fenomena seperti J.K. Rowling dan Dan Brown untuk genre baru, manakala JR Tolkien dan CS Lewis, iaitu penulis angkatan lama tetapi disegarkan semula.

Selain daripada itu permintaan buku Inggeris biasa-biasa sahaja, malah sekarang agak menurun disebabkan harga buku import ini agak tinggi. Kalau tahun 1999 dahulu harga untuk fiksyen ‘mass market’ mungkin lingkungan RM24-RM27, sekarang harga adalah RM33-RM40.

Kebanyakan pembaca sastera Inggeris ’setia kepada penulisnya’ contohnya nama seperti John Grisham, Julia Robert, Julie Garwood, Tom Clancy, dan sebagainya.

Dalam senario lain, sebenarnya pengimpot buku sastera Inggeris ini lebih bimbang dengan kemasukan buku-buku second-hand dan stok-stok dari ‘remainders’ yang banyak berpusat di Australia. Daripada segi harganya, buku-buku itu memang sangat murah. Lebih murah daripada harga pound sterling ataupun US dollar yang tercatat pada kulit buku-buku itu.

Kemasukan buku-buku second-hand dan remainders ini boleh perlahan-lahan mengancam pasaran buku impot itu sendiri, dan pasaran buku tempatan juga. Juga akan mengubah sikap dan persepsi pembeli buku

Mereka membeli buku apabila harga buku sangat murah. Maknanya, kalau ada jualan gudang setahun sekali, maka hanya sekali setahun mereka membeli buku, alasannya harga murah. Secara tidak langsung ini mendidik pembeli jangan membeli buku yang bagus dengan harga asalnya. Pembeli buku hanya akan membeli buku apabila ada “SALE”.

Impak impot buku-buku second-hand ke atas buku tempatan ialah daripada segi kepercayaan pembeli kepada harga buku tempatan yang ditetapkan oleh penerbit. Jika buku import boleh dijual dengan harga RM1-RM5 senaskah, mengapakah buku tempatan dan Bahasa Melayu harga RM20?

Pembeli akan berfikir harga buku tempatan sepatutnya lebih murah daripada buku impot, itu logik pembeli. Lainlah mereka yang terlibat secara langsung dengan dunia penerbitan dan penjualan buku. Mereka lebih faham tolak, campur, darab dan bahaginya.

Yang sangat penting sekarang ialah kita perlukan lebih banyak buku dan judul untuk pelbagai kategori pembaca buku Melayu. Contohnya buku untuk awal remaja dan remaja agak terhad.

Sebenarnya apa yang dibincangkan oleh ahli akademik itu sepatutnya mereka memberi saranan. Dengan kemasukan banyak buku sastera Inggeris ke sini, jadikan itu satu cabaran untuk semua menghasilkan lebih banyak karya yang bagus dalam Bahasa Melayu. Pasarannya 26 juta rakyat Malaysia. Kita ambil 10% sahajalah dari jumlah rakyat Malaysia untuk permulaan. Itu sekadar pendapat saya."

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Fakulti Pemasaran Buku
(4) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Analisis Trend Permintaan Mutakhir bagi Buku-buku Melayu: Permintaan Tinggi tetapi Judul Kurang Previous entry: Komen Ainon Mohd. tentang Apa Profesor UM Kata Berkenaan Isu Buku Sastera Inggeris
.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/23  at  02:38 AM

Saya bukan pakar tapi cuma sekadar berkongsi ilmu dan pengalaman, yang masih dan mahu menimba ilmu dan pengalaman.
——-

Puan Ainon Mohd.  on  02/23  at  02:45 AM

Tuan Ibnurabi,

Apakah kita dapat diberitahu informasi tambahan tentang trend pasaran buku Melayu?

Kategori apa yang sedang naik, yang sedang menurun, yang bakal naik dan lain-lain maklumat, supaya penerbit dan penulis dapat menggunakan informasi itu dalam menyusun dan mem-prioriti-kan kerja-kerja mereka.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  02/23  at  04:57 AM

Maklumat lain berkenaan pasaran buku Melayu sekarang ini berdasarkan kepada pasaran kedai buku atau ‘retail’.

Novel popular agak menurun sejak pertengahan tahun lepas. Ini mungkin kerana di pasaran ‘terlebih banyak’ buku novel popular yang hampir sama cerita dan plotnya.

Ini boleh memberi kesan negatif kepada novel popular yang berkualiti kerana prejudis pembaca terhadap novel popular yang terbanjir di pasaran.

Kalangan yang bertahan seperti penulis-penulis sudah punya peminat setia. Tetapi ia tidak sepanas dulu-dulu. Ada juga penulis ini kian hilang peminatnya kerana kualiti cerita.
Yang meningkat sekarang buku cerita remaja dan awal remaja. Dan saya jangkakan trend remaja sekarang mereka mahu lebih untuk buku kategori mereka. Makna lebih tebal buku, lebih menarik jalan ceritanya dan lebih banyak pilihannya (pelbagaikan genrenya).

Dua hari lalu saya sempat bercakap dengan seorang bapa yang mempunyai anak 3 remaja dan seorang ibu yang mempunyai 2 anak remaja. Mereka membeli-belah buku-buku untuk anak-anak, buku-buku cerita Melayu. Setiap bulan mereka datang membeli buku.

Komen dan pandangan mereka hampir sama. Mereka (ibu dan bapa) serta anak-anak suka membaca buku yang bukan dibuat-buat dan dipaksa-paksa ceritanya.

Kemudian seorang kanak-kanak perempuan bertanya buku misteri atau thriller dalam Bahasa Melayu. Saya pun menunjukkkan beberapa buku yang ada, dia kata semuanya sudah ada dalam koleksinya. Apa yang dia mahu yang lebih tebal. Yang nipis satu dua hari dia sudah habis baca.

Untuk buku umum pula, nampaknya sekarang judul motivasi agak kurang menyengat tetapi pembacanya ramai. Mungkin perlu lebih menjurus dan lebih berbentuk ‘how to’ atau ‘step by step’ untuk buku motivasi (semangat sudah terbakar tetapi tidak tahu caranya bagaimana ).

Contohnya sudah banyak di pasaran buku motivasi untuk orang berjaya, tetapi pembaca mahukan lebih, bukan yang sama. Kalau hari ini 55 petua, esok ada buku 56.5 petua pula.
Pembaca mahukan kelainan. Selain itu motivasi yang khusus seperti bisnes, keluarga, ibu bapa yang senang dibaca dan faham.
Buku kesihatan yang praktikal sama ada senaman, diet, petua. Ada memang ada, tetapi dalam Bahasa Inggeris, di mana cuacanya 4 musim.

Buku agama sekarang permintaan semakin naik dan tidak pernah turun. Untuk buku agama, rukun Islam tetap 5, rukun Iman tetap 6, begitu juga rukun Solat.

Cuma cara penyampaian yang akan menarik pembacanya untuk membeli. Seperti Panduan Solat Untuk Lelaki, dalam bahasa mudah dan praktikal.

Untuk kanak-kanak 7 tahun ke bawah, lain cara penyampaiannya, 10 tahun ke atas lain, dan untuk remaja pun lain.

Apa yang ada sekarang, panduan solat 7 tahun ke bawah hingga tua, serupa sahaja penyampaiannya.

Buku motivasi agama pun sedang masih hangat sekarang. Contohnya ‘Jangan Bersedih’ tetapi bahayanya semua terbit buku serupa. Mesti ada buku motivasi agama yang lain.

Buku profesional pula, biasalah pula, lebih kepada pengurusan kewangan peribadi, keluarga.

Dan buku mahu kaya dan bahagia, bagi yang sudah kaya tetapi tidak bahagia.

Web Sutera  on  02/26  at  04:10 AM

Saya amat setuju dgn pandangan Sdr. Ibnurabi, buku2 Melayu kekurangan genre, walaupun ada pasaran.

Walaupun Bahasa Melayu saya ‘buruk’ dan penulisan BM saya kurang mahir, tetapi saya masih merindui novel Melayu yang berat, kontemporari dan menjana pemikiran, yang juga turut melangkau sempadan negara.

Kita memang ada penulis hebat seperti SN Arena Wati, dengan fiksyen yang berat dan merentasi sempadan negara, namun sayang penerbit pula yang tidak pandai (bukan kurang pandai.. tapi MEMANG tidak pandai) untuk memasarkan nama besar itu. Sayang…

Sejak akhir2 ini SN Arena Wati terbitkan fiskyen beliau dengan Penerbit UKM, harga pula yang menjadi faktor, mahal sangat!

Dan saya juga memang peminat fiksyen Inggeris, setia dengan penulis yang diminati, minat Tom Clancy, Dan Brown, Dale Brown, Micheal Cricton, R.J. Pineiro, Clive Cussler, Neal Stephenson, Robert Ludlum, John LeCarre, Frederick Forsyth, sekadar beberapa nama. Juga amat mencari fiksyen yangg ditulis oleh penulis2 dari Asia dan Asia Tenggara.

Fasal jualan gudang dan faktor harga, memang saya menunggu jualan gudang MPH, Popular dan Payless Books setiap masa.

Salams
Web Sutera

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.