Friday, August 29, 2008

Makin Kerajaan Kempen Bahasa Inggeris, Makin Mendatar Jualan Buku Inggeris

Kedai buku hanya menjual buku-buku yang laku. Disebabkan buku Melayu sekarang sangat laku, maka kedai-kedai buku semakin banyak mempamerkan buku-buku Melayu. Pada saat ini permintaan bagi buku-buku Melayu sedang berkembang dengan menggebu-gebu. 

Demikian juga halnya dengan buku-buku Cina. Jualan judul Cina sedang berkembang pesat sehinggakan ada gosip yang mengatakan MPH pun mungkin akan membuka seksyen buku Cina.

Jika MPH pun sedang membesarkan syeksen Melayu, dan sedang memikirkan bagaimana ia dapat memasuki sektor pasaran buku Cina, perkembangan ini bagaikan 'tidak masuk akal' bagi para pejuang bahasa Inggeris.

Memang sekali fikir adalah tidak logik permintaan buku Inggeris mendatar sedangkan media massa asyik menggembar-gemburkan peri pentingnya bahasa itu.

Bertambah tidak logik jika difikirkan bahawa di Lembah Kelang dan bandar-bandar utama, jualan buku Inggeris sejak 5 tahun yang lalu mula mendatar, dan sampai saat ini masih belum naik-naik lagi!

Akal biasa mengatakan orang Cina adalah kaum yang paling kaya dan paling banyak duduk di bandar-bandar utama, maka logik mengatakan mereka tentu membaca buku-buku Inggeris, jadi, tidak logik jualan buku Cina dan buku Melayu naik manakala jualan buku Inggeris mendatar. 

Meskipun dianggap tidak logik, namun itu adalah realiti. Statistik jualan buku di kedai-kedai utama membuktikan fenomena tidak logik itu sedang berlaku. 

Meskipun kerajaan memberikan fokus kepada bahasa Inggeris, tetapi statistik jualan buku Inggeris sedang dalam keadaan mendatar, manakala jualan buku Melayu dan buku Cina sedang meningkat dengan pesatnya. Fenomena ini tidak disangka-sangka kerana logik akal biasa mengatakan kempen bahasa Inggeris tentulah akan meningkatkan jualan buku-buku Inggeris. Namun, sebaliknya pula yang sedang terjadi.

Yang sudah pasti MPH akan membesarkan lagi seksyen buku-buku Melayu. MPH sudah memberitahu PTS supaya menerbitkan lebih banyak judul-judul yang evergreen, yang laku sepanjang tahun dan setiap tahun selama beratahun-tahun.

Banyak orang menyangka jualan buku Melayu hanya panas berlaku bagi kategori novel cinta, tetapi sebenarnya peningkatan sedang berlaku dalam semua kategori buku. Isunya sekarang adalah, melainkan bagi novel cinta, kita kekurangan judul bagi semua kategori. 

Ada tiga faktor yang mendorong permintaan bagi buku Melayu yang semakin meningkat:

Pertama, kedai-kedai buku elitis yang dahulu tidak menjual buku Melayu kini sudah menukar dasar perniagaan mereka. Semua kedai buku elitis itu sudah menjual buku Melayu.

Kedua, jumlah kedai buku semakin bertambah banyak. Semua rangkaian kedai buku elit membuka cawangan baru masing-masing setiap tahun. Kedai-kedai buku indie juga semakin bertambah.

Ketiga, lebih banyak orang mula masuk ke kedai-kedai buku dan membeli buku Melayu, dengan itu menaikkan permintaan bagi buku-buku Melayu.

Sebagai contoh, pada suatu masa dahulu, dasar perniagaan kedai elitis seperti MPH, yang motonya adalah 'The Best English Booksore', hanya menjual buku-buku Inggeris sahaja, tetapi kini sudah menjual buku Inggeris dan buku Melayu. Di lokasi seperti kompleks Alamanda di Putrajaya, kedai MPH di situ kini mempamerkan 70% buku Melayu dan 30% buku Inggeris.

Superstore buku yang terkenal, iaitu Kinokuniya di kompleks KLCC, dahulu hanya menjual buku-buku Inggeris dan Jepun, tetapi sekarang ia sudah membuka seksyen buku-buku Melayu.

Rangkaian kedai buku yang mempunyai cawangan paling banyak, iaitu kedai buku Popular, dahulu hanya menjual buku Cina sahaja, tetapi sekarang ia semakin memberikan perhatian serius kepada buku-buku Melayu.

Peningkatan jualan buku-buku Melayu amat ketara berlaku dalam kedai-kedai buku bandar-bandar utama. Yang paling tinggi peningkatannya adalah di Lembah Kelang, Johor Bharu dan Pulau Pinang.

Pada saat ini, trend positif ini sudah menular ke bandar-bandar sederhana besar pula, seperti Sungai Petani, Miri dan Taiping. Trend ini berlaku apabila rangkaian kedai-kedai buku elitis mula membuka cawangan di bandar-bandar seperti itu. Terbuktilah barang ke mana kedai buku elit pergi, maka di situlah buku pasaran buku Melayu berkembang.

Kedai-kedai bulu elit ini pula hanya membuka cawangan dalam kompleks membeli-belah.  Manakala kompleks membeli-belah hanya dibuka di bandar-bandar di mana di situ terdapat banyak golongan orang berduit. Jadi, sangat jelas kaitan antara trend jualan buku Melayu dengan peningkatan ekonomi setempat. 

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS

Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti :
(1) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Gosip Orang Bisnes: Macam-macam Idea Projek Melombong Emas di Kementerian Pelajaran Previous entry: Dato' Baha Zain Menulis: Ekologi Bahasa
Ice  on  08/31  at  01:02 PM

Sifu, saya terkejut jumpa “Robotan” di Borders, Damansara Mutiara, sebuah kedai buku orang putih di kawasan elit + expat.

Terima kasih tim promosi PTS! smile

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Name:

Email:

Location:

URL:

Smileys

Remember my personal information

Notify me of follow-up comments?

Submit the word you see below: