Trend Pasaran Terbaru dalam Sektor Novel Ramaja

Sudah 5 tahun lamanya PTS menjadi penerbit kategori buku remaja yang paling aktif dalam pasaran.
Buku-buku remaja PTS memenuhi rak-rak remaja di kedai-kedai buku. Peminat novel remaja PTS sudah cukup banyak. Nama-nama besar dalam sektor ini pun sudah muncul, seperti Ain Maisarah, Farihah Iskandar, Ezee Rahmani, Aizam Aiman, dan Ainin Naufal.
Analisis TOP 30 jualan buku PTS bagi bulan Jun 2010 yang lalu menunjukkan hanya 1 judul buku remaja (Sarah dan Duit Raya) yang termasuk dalam senarai itu. Apakah maknanya ini?
Menurut Tn. Arief Rahmad, pengarah urusan PTS, data TOP 30 itu bukan bukti bahawa buku-buku remaja PTS tidak laku lagi.
"Buku-buku remaja masih laku," kata beliau. "Kita jangan tersalah membaca data. Pasaran buku remaja masih besar. Namun pasaran itu sudah stabil. Ia serupa dengan trend dalam pasaran novel cinta popular hari ini."
Katanya, "Dalam pasaran yang sudah stabil, produk-produk remaja yang ada sudah menjadi produk 'regular'. Buktinya, jumlah jualan buku remaja PTS kalah kepada buku-buku resipi!" sambil ketawa dan menggeleng-gelengkan kepalanya seolah-olah beliau sukar mempercayai data jualan itu.
Apabila ditanya apakah yang diperlukan bagi melonjakkan jualan buku-buku remaja PTS, beliau berkata, "PTS memerlukan penulis baru dan produk baru yang mampu menjadi 'star' dalam pasaran buku remaja."
Katanya lagi, "Jadi, PTS sangat memerlukan inovasi produk. PTS memerlukan pengarang yang inovatif, yang menghasilkan sesuatu yang lain daripada produk-produk sedia ada."
Beliau memberitahu bahawa PTS akan terus memainkan peranannya sebagai pemain utama dalam sektor buku remaja, di mana setiap bulan PTS akan menerbitkan judul-judul baru mengikut kemahuan dan citarasa peminat-peminatnya.
Menurut beliau, "PTS telah membuka Laut Biru pasaran buku remaja, dan PTS akan terus menjaga kedudukannya sebagai penerbit No. 1 dalam pasaran itu."
Katanya, "Sebagaimana pasaran novel cinta popular sudah menjadi pasaran yang matang (matured market), nampaknya pasaran novel remaja juga saat ini sudah matang. Orang fikir novel cinta, orang ingat ALAF21. Orang fikir novel remaja, orang ingat PTS ONE."
"Mana-mana penerbit yang berjaya mencipta inovasi produk remaja, penerbit itu mempunyai peluang mencuri peminat-peminat PTS ONE...." kata pengarah urusan kumpulan PTS itu.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment