Friday, December 29, 2006

Trik Basi Penulis Penipu

Seorang jurufoto yang bertugas dengan sebuah syarikat media datang ke PTS membawa manuskripnya tentang teknik kejurufotoan.

Editor perolehan PTS, En. Ikram, yang melayan kedatangan jurufoto itu menjawab semua pertanyaannya berkenaan hakcipta dan royalti. Adalah dasar PTS tidak membeli hakcipta penulis demi menjaga kepentingan para penulis sendiri.

Jurufoto itu puas hati dengan penerangan itu tetapi dia tidak mahu menyerahkan manuskripnya, atas alasan beliau hendak berfikir dahulu.

Tiga hari kemudian jurufoto itu menelefon En. Ikram dan memberitahu sebuah syarikat penerbit XYZ sanggup membeli hakcipta manuskripnya dengan harga RM8,000. Katanya lagi, kalau PTS mahu, dia boleh jual kepada PTS 10,000.

Dia pun membuat temujanji mahu berjumpa lagi dengan En. Ikram. Mereka pun berjumpa tetapi En. Ikram memberitahu konon beliau "akan tanya bos dulu" sebab beliau cuma hendak tengok sahaja lagak si penipu ini.

Kita di PTS pun ada network dengan staf penerbit-penerbit lain, bak kata pepatah, burung sebulu terbang sama, yakni orang penerbitan berkawan dengan orang penerbitan.

Apabila kita tanya kenalan kita di penerbit XYZ itu, rupa-rupanya si jurufoto memang ada pergi ke sana, tetapi dia beritahu kononnya PTS sudah sanggup beli hakciptanya RM8,000, jadi kalau penerbit XYZ mahu, dia sanggup jual RM10,000.

Sampai sekarang si jurufoto itu tidak menghubungi En. Ikram.

.

.

 

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Dalam Kategori/Fakulti : • Nasib Penulis
(7) Diskusi Kuliah | Permalink
Next entry: Penulis cum Usahawan Previous entry: Nasib Penulis: Buku Laku tetapi Pengarang Berhutang kepada Penerbit
alang kelana  on  12/30  at  02:03 AM

Assalamu’alaikum Puan Sifu,

Ini macam helah yang kita pernah dengar sahaja. Dia sangka dia ‘pro’ tetapi sebenarnya, penipu amatur bertaraf ‘beginner’ sahaja…
——-

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  12/30  at  02:16 AM

“Dia pun membuat temujanji mahu berjumpa lagi dengan En. Ikram. Mereka pun berjumpa tetapi En. Ikram memberitahu konon beliau “akan tanya bos dulu” sebab beliau cuma hendak tengok sahaja lagak si penipu ini.”

(tetapi En. Ikram memberitahu konon beliau “akan tanya bos dulu” sebab beliau cuma hendak tengok sahaja lagak….)   
Maknanya En Ikram pun penipu kalau ada KONONNYA tu…

Tun Dr. Kang  on  12/30  at  03:22 AM

Mengulang sejarah. Percubaan seperti ini pernah berlaku dan akan sentiasa berlaku, di mana-mana sahaja.

Satu lagi yang biasa: “Dah ada orang tawar RM1,000.00, tapi kalau encik nak, saya beri RM700.00.” Orang yang paling bodoh pun tahu, itu adalah trik. Takkan orang dah menawar RM1,000.00 tak dilepaskan, mengejar yang RM700.00.”

Pernah baca buku tentang ‘dealing’ karya Willian Ury. Dua perkara penting dalam dealing:

1. Jangan terdesak dan mendesak
2. Jangan sekali-kali “sekali jadi”—menangguhkan ada banyak kelebihan (hanya dalam dialing saja)

Perkara penting begitu tidak diajar dalam buku Dr Ayam.

Fable Fox  on  12/30  at  04:47 AM

Adalah lebih baik untuk membina kredibiliti daripada memusnahkan kepercayaan. Hai….

Puan Ainon Mohd.  on  12/30  at  08:52 AM

Sdr Ba’e,

Setiap kumpulan profesion mempunyai ‘sub-bahasa’ mereka sendiri untuk menyatakan maklumat buruk.

Macam orang tua-tua, jika hendak menolak pinangan, mereka akan kata kononnya, “Terima kasih atas niat baik tuan hendak memetik bunga kami, tapi bunga kami masih terlalu mudah, bertanak nasi pun masih hangus.” yang bermakna “Pinangan tuan kami tolak.”

Orang politik pula akan berkata kononnya, “Perkara ini akan kami bawa kepada pucuk pimpinan.” yang bermakna, “Permohonan tuan kita tolak.”

Di kalangan pegawai pula mereka akan berkata konnonnya, “Saya akan tanya bos saya dulu.” yang bermakna, “Saya tak setuju.”

Ayat-ayat itu disebut dengan istilah ‘eufemisme’ yakni ‘bahasa lunak yang digunakan bagi melembutkan berita buruk’. Ia adalah sejenis ‘kod’ yang difahami oleh kedua-dua pihak.

Jadi apabila ibu bapa gadis itu berkata kononnya “Anak saya bertanak nasi pun masih hangus.” mereka bukan berdusta. Ayat itu adalah sejenis ‘kod’ yang difahami apa makna di sebaliknya.

Jadi, apabila En. Ikram berkata, “Nanti saya tanya bos saya daghulu.” beliau menggunakan ‘kod’bahasa yang bermakna “Saya tidak setuju.” Si jurufoto itu pun faham ‘kod’ itu bermakna En. Ikram tidak bersetuju membeli manuskripnya pada harga RM10,000, lalu dia tidak datang lagi ke PTS. Dia tahu trik-nya hendak mengenakan PTS tak jalan.

[email protected] Millennia  on  12/30  at  10:07 AM

Assalamualaikum,

En. Ba’e, dalam kes ini memang Ikram ada bertanya dengan saya, pengurusnya di PTS Millennia Sdn Bhd hal ini dan saya yang menolaknya. Pihak PTS mempunyai dasar yang jelas iaitu kami tidak akan membeli manuskrip, kami hanya menerima mereka yang inginkan royalti sahaja.

Mungkin ramai bertanya MENGAPA? Jika pihak PTS inginkan untung lebih baik beli manuskrip. Apabila berlaku begitu hak penulis hilang sama sekali. Pihak PTS tidak perlu bayar apa-apa bayaran lain termasuk royalti jika buku tersebut tetap diulang cetak berulang kali. Pihak PTS tidak mahu menindas penulis.

Apabila sistem royalti dipersetujui, dengan sendirinya hak penulis terjamin. Royalti berterusan hingga ke akhir hayat ditambah 50 tahun selepas mati (Ikut Akta Hak Cipta dan Konvensyen Berne). Boleh dimakan hingga ke anak cucu.

.(JavaScript must be enabled to view this email address)  on  06/14  at  05:40 PM

Assalamu’alaikum,

I agree with Sdr Ba’e ..

Firman Allah dalam surah Fussilat ayat 34, “Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

Wallahu’alam.

Gunakan Bahasa Melayu sepenuhnya bagi menghormati perjuangan UNIKA.

Page 1 of 1 pages

Post a comment

Commenting is not available in this weblog entry.