Hakcipta: Apabila Ulamak Berkata, “Saya waqafkan ilmu saya.”
Banyak individu yang aktif merompak harta intelek teks ucapan dan kuliah ulamak popular seperti Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Hadi Awang mempertahankan apa yang mereka lakukan itu dengan mengemukakan hujah bahawa kedua-dua tuan guru itu sudah 'mewaqafkan' ilmu yang mereka sampaikan dalam ucapan dan kuliah mereka.
Di sisi undang-undang hakcipta, 'ilmu' yang terkandung dalam teks ucapan dan kuliah itu disebut dengan istilah 'idea'.
Undang-undang hakcipta tidak melindungi 'idea', justeru 'ilmu' dalam teks ucapan ulamak-ulamak itu memanglah tidak dilindungi. Sesiapa sahaja boleh menyebar-luaskan ilmu-ilmu ulamak itu tanpa perlu meminta izin daripada mereka.
Apa yang dilindungi oleh undang-undang hakcipta adalah ayat-ayat yang dilafazkan oleh kedua-dua orang ulamak itu sewaktu mereka berucap ataupun menyampaikan kuliah.
Sesiapa yang mahu menjual ilmu-ilmu yang diajarkan oleh Tuan Guru Nik Aziz dan Hadi Awang, dia mesti menerangkan ilmu-ilmu itu dengan menggunakan ayat-ayatnya sendiri. Jadi, dia mesti menulis bukunya sendiri, di mana dalam buku itu dia menerangkan ilmu-ilmu kedua-dua ulamak itu. Kemudian dia juallah buku tulisannya itu, dan ambillah semua keuntungan daripadanya.
Jangan pula dia salin ayat-ayat dalam ucapan dan kuliah mereka, lalu dicetak menjadi buku, lalu dijual. Ayat-ayat itu adalah harta intelek hakmilik tuan-tuan guru itu, maka perbuatan menyalin dan menjual ayat-ayat mereka itu adalah perbuatan mencetak-rompak harta mereka berdua.
Banyak orang tidak faham perbezaan antara 2 konsep asas dalam undang-undang hakcipta, yakni konsep 'idea' dan konsep 'penzahiran idea'.
Undang-undang hakcipta tidak melindungi 'idea'. Yang dilindungi adalah bentuk-bentuk 'penzahiran idea'.
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Post a comment