Untungnya PTS Mengamalkan Dasar Bisnes Bebas-Rasuah
PTS adalah sebuah syarikat penerbit buku-buku yang mengamalkan prinsip bebas-rasuah.
Prinsip bebas-rasuah ini diumumkan kepada semua rakan-niaga PTS -- yakni para karyawan (penulis, penterjemah, pelukis, editor freelance dll), para pegawai bank, para pengedar buku, pekedai buku, kontraktor buku, pencetak dan sesiapa sahaja yang mempunyai urusan bisnes dengan PTS.
Disebabkan PTS sangat berpegang kukuh kepada dasar bebas-rasuahnya, maka PTS dengan sengaja tidak masuk tender kontrak perbekalan buku kepada kerajaan, meskipun PTS mempunyai sijil menjadi kontraktor kepada kerajaan. Dengan demikian PTS bergantung kepada jualan buku-bukunya di dalam kedai-kedai buku di seluruh negara.
Dari satu segi, dengan tidak masuk tender, PTS kehilangan peluang mendapat kontrak yang mungkin nilainya berjuta-juta ringgit setiap tahun.
Dari satu segi yang lain, PTS mendapat banyak keuntungan daripada dasar bebas-rasuahnya:
(i) Penulis-penulis yang anti-rasuah menjadikan PTS pilihan mereka.
Disebabkan mereka tahu PTS bergantung kepada jualan buku di kedai-kedai buku, para penulis itu bekerja kuat menghasilkan buku-buku yang kandungannya bermutu tinggi, yakni yang laku dijual dalam pasaran terbuka.
(ii) Pengedar buku, kontraktor buku, pekedai buku dan agen-agen buku suka mengedarkan dan menjual buku-buku PTS kerana mereka tidak perlu merasuah pegawai-pegawai PTS bagi mendapatkan layanan istimewa.
Dengan demikian berurusan dengan PTS menjadi murah dan telus sekali, kerana semua urusan dijalankan mengikut SOP (standard operating procedure) yang ditetapkan.
(iii) PTS survive dengan bergantung kepada jualan buku-buku dalam pasaran terbuka, justeru automatik PTS sangat mementingkan kualiti pada buku-bukunya.
Inilah faktor yang menjadikan buku-buku PTS diberikan pakejing yang menarik, diedit dengan profesional, maka hasilnya buku-buku PTS sangat diminati oleh pembaca buku-buku Melayu.
(iv) Kontraktor-kontraktor buku Bumiputera sangat suka PTS tidak masuk tender, sebab jika PTS masuk tentulah PTS mampu memberi diskaun sehingga 35% kepada kerajaan bagi buku-buku terbitannya sendiri.
Diskaun 35% itu sebaliknya diberikan oleh PTS kepada semua kontraktor yang membeli buku-buku PTS bagi dibekalkan kepada kerajaan. Jadi dapatlah kontraktor itu bersaing sesama mereka sendiri berapa diskaun mereka sanggup berikan kepada kerajaan.
Mengamalkan bisnes secara bebas-rasuah terbukti sangat menguntungkan, meskipun PTS 'rugi' kerana tidak mendapat kontrak kerajaan. Pada tahun pertama PTS beroperasi, nilai jualan buku-buku PTS adalah RM23 ribu. Sembilan tahun kemudian nilai itu mencecah RM27 juta (sebelum ditolak diskaun kepada kedai dan agen).
-------------------------------------------
Nota Kuliah:
Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
.(JavaScript must be enabled to view this email address)
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006

Saya tertarik dan hormat dengan kaedah PTS mengembangkan bisnes. Begitu telus dan beretika
Post a comment